Terlebih Minum Air? Adakah Ia Boleh Mendatangkan Bahaya?


minum air

Kira sering mendengar perlu minum air banyak barulah ok. Tapi adakah kita tahu sebenarnya berapa keperluan air bagi seseorang. Adakah kita tahu minum air melebihi keperluan juga boleh mendatangkan bahaya.

Air memainkan peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama badan manusia. Setiap sistem dalam tubuh memerlukan air, bahkan sebahagian besar badan merangkumi cecair itu. Air mengawal suhu badan, pembawa nutrien dan oksigen, menyahkan bahan buangan, menolong menyahkan toksik daripada buah pinggang dan hati, melarutkan vitamin dan mineral dan menghalang badan daripada kecederaan.

Setiap hari badan manusia dewasa meminum lapan gelas sehari atau dua liter sehari. Namun tahulah anda jika badan terlebih kandungan air, ia boleh memudaratkan kesihatan. Pakar kesihatan percaya terlebih air dalam badan boleh menyebabkan hyponatremia yang memberi kesan kepada sel darah dan membengkak dan kekurangan tahap sodium. Lebih serius, mabuk air boleh menyebabkan serangan penyakit jantung secara tiba-tiba dan membawa kepada koma.

Bergantung Kepada Keperluan

Sekiranya seseorang individu itu lebih terdedah kepada cahaya matahari, aktif bersukan dan sebagainya, maka keperluan air akan menjadi lebih. Pengambilan air perlu dilakukan secara sederhana, tidak perlu berlebihan dan sudah tentu jangan berkurangan. Apa yang penting tidak dahaga serta kepekatan air kencing pada tahap yang seimbang. Seseorang individu yang terlebih minum air berdepan dengan risiko bahaya yang boleh memudaratkan kesihatan.

Risiko jika terlebih minum air?

Setiap sel dan organ di dalam badan memerlukan air untuk berfungsi dengan baik. Bagaimanapun, pengambilan air secara berlebihan boleh menyebabkan water intoxication (mabuk air).Atau dekenali sebagai keracunan air yang merupakan satu keadaan yang boleh menjejaskan otak disebabkan minum air dalam kuantiti yang banyak.

Ada dalam sesetengah kes,minum air dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan maut. Air yang diminum dalam jumlah yang berlebihan boleh mengakibatkan peningkatan air dalam darah. Air tersebut boleh mencairkan elektrolit dalam darah terutamanya natrium. Natrium membantu mengimbangi cecair antara bahagian dalam dan luar sel. Apabila tahap natrium jatuh di bawah 135 mmol/L, keadaan ini dipanggil sebagai hyponatremia.

Apabila paras natrium turun kerana terlebih minum air, cecair yang berada di luar akan masuk ke dalam sel menyebabkan pembengkakan. Jika keadaan ini berlaku kepada sel-sel otak, ia boleh menyebabkan risiko bahaya dan berpotensi untuk mengancam nyawa.

Bahaya terlebih air

Mabuk air berlaku apabila sel membengkak. Apabila sel otak menjadi bengkak, tekanan di dalam kepala akan meningkat.

Tekanan ini boleh menyebabkan simptom fasa pertama mabuk air, antaranya:

  • Sakit kepala
  • Loya
  • Muntah

Bagi kes yang serius, masalah ini boleh menyebabkan wujudnya gejala seperti:

  • Peningkatan tekanan darah
  • Kekeliruan
  • Gangguan pada penglihatan
  • Mengantuk
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Otot lemah dan kebas

Pengumpulan air secara berlebihan di dalam otak dipanggil edema serebral. Ia merupakan keadaan yang menjejaskan stem otak dan mengganggu fungsi sistem saraf pusat. Dalam kes yang serius, ia berisiko mengakibatkan sawan, kerosakan otak, koma serta kematian.

Pakar kesihatan juga mengatakan sememangnya tiada jumlah spesifik untuk menentukan keperluan air seseorang individu setiap hari. Tetapi ianya berbeza dan bergantung kepada berat, aktiviti fizikal dan harian yang dilakukan oleh setiap individu. Contohnya seperti atlet, individu dewasa berusia dan wanita hamil mungkin memerlukan air yang lebih dan tidak boleh sekadar bergantung kepada rasa dahaga semata-mata.

Pengambilan air dalam jumlah yang mencukupi amat baik untuk kesihatan. Tetapi harus diingatkan bahawa makanan yang diambil juga sebenarnya turut mengandungi air seperti buah-buahan. Jadi pastikan anda mengambil air mengikut keperluan badan anda. Elakkan daripada mengambil air secara berlebihan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat