Arsenal menang tapi hampa, Atletico bergelut sebelum mara
PARIS: Arsenal ditunjukkan jalan keluar dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah sekalipun mencatat kemenangan 2-0 pada aksi kedua peringkat 16 terakhir menundukkan tuan rumah, Monaco, awal pagi tadi.
Terikat secara agregat 3-3, Arsenal begitupun terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam saingan elit Eropah itu menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Monaco sebelum ini mencatat kemenangan 3-1 di Emirates.
Gol babak pertama menerusi Olivier Giroud dan Aaron Ramsey, 11 minit sebelum permainan berakhir seakan memberi peluang untuk Arsenal mencipta kebangkitan namun Monaco berjaya bertahan untuk meraih tiket ke suku akhir.
Penyingkiran menyaksikan pengurus Arsenal, Arsene Wenger terus kempunan trofi keagungan bola sepak Eropah itu yang menjadi idamannya.
“Kami tahu adalah sesuatu yang amat sukar untuk menjaringkan begitu banyak gol,” kata Wenger kepada BeIn Sport.
“Kami tidak begitu realistik dalam pendekatan kami.
“Bukannya satu soalan atau kami layak untuk mara namun adalah menjadi realistik dan kami melakukan begitu banyak kesilapan pada perlawanan pertama.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Monaco kerana mendapat tempat di kedudukan lapan terakhir kerana mereka bertahan dengan amat baik,” katanya.
Dalam satu lagi perlawanan awal pagi tadi, kelab Sepanyol, Atletico Madrid dipaksa bekerja keras oleh wakil Jerman, Bayer Leverkusen sebelum mara.
Atletico yang juga finalis musim lepas begitupun terpaksa mengharungi tambahan masa diikuti penentuan penalti selepas keputusan agregat terikat 1-1 hasil kemenangan di tempat sendiri sebelum mara menerusi keputusan 3-2.
Stefan Kiessling menjadi duri dalam daging Leverkusen apabila gagal menyempurnakan penalti.
Kekalahan Arsenal mengikuti jejak Chelsea turut tersingkir selepas tewas kepada kelab Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain., minggu lepas.
Chelsea turut tersingkir menerusi peraturan gol di tempat lawan. – AFP