Kerap Membuang Air Kecil Semasa Hamil? Ini 5 Perkara Yang Perlu Anda Fahami


Kerap membuang air kecil adalah ciri-ciri utama kehamilan bagi seorang wanita. Ini biasa berlaku terutamanya dalam trimester pertama dan ketiga. Malah, ia juga merupakan salah satu daripada tanda-tanda awal kehamilan yang biasa. Adakala ramai juga yang melalui masalah ini pada hujung kehamilan apabila kepala bayi sudah turun dan bersedia untuk lahir. Ia adalah disebabkan oleh sebahagian daripada perubahan hormon yang berlaku dalam badan anda.

Selalunya, masalah ini akan menyebabkan anda terpaksa beberapa kali berulang alik ke tandas, menganggu waktu tidur sebab asyik terjaga, dan susah nak keluar ke mana-mana.

Walaupun fakta bahawa kekerapan membuang air kecil semasa mengandung dilihat dalam majoriti wanita. Tetapi beberapa ibu-ibu mengandung masih belum fahami tentang perkara yang dialaminya semasa sepanjang tempoh tersebut.

Mengapa Anda Kerap Membuang Air Kecil Semasa Hamil?

Ini 5 perkara yang perlu anda fahami:

1. Punca kerap membuang air kecil di awal kehamilan

Dalam minggu-minggu terawal kehamilan, masalah ini sering berlaku pada golongan wanita hamil. Ia adalah disebabkan peningkatan jumlah darah atau cecair yang digunakan oleh badan untuk menapis untuk menapis buah pinggang, dan dikeluarkan sebagai air kencing.

Biasanya, anda mungkin akan merasakan simptom ini seawal beberapa minggu kehamilan. Malah, ia juga mungkin menjadi petanda kehamilan yang lebih jelas berbanding simptom lain. Contohnya seperti muntah-muntah, mual, mengidam atau rasa tak sedap badan.

2. Punca kerap membuang air kecil di hujung/akhir kehamilan

Dalam fasa hujung/akhir kehamilan, bayi dalam kandungan semakin membesar dan kian menurun ke posisinya sebagai persediaan hari kelahiran. Oleh yang demikian, keadaan ini memberi tekanan pada pelvis dan seterusnya meletakkan beban pada pundi kencing. Ini menyebabkan badan anda lebih banyak mengeluarkan air kencing.

Anda juga mungkin mempunyai masalah mengosongkan pundi kencing, menyebabkan anda terpaksa pergi ke tandas berulang kali dalam tempoh masa yang pendek.

Selain itu, anda juga mungkin akan terkencing sedikit ketika bersin, batuk, atau ketawa. Terutamanya jika pundi kencing anda berada dalam keadaan penuh. Untuk mengelakkan ia daripada berlaku, anda perlu membongkokkan sedikit badan ketika membuang air kecil untuk memastikan pundi kencing anda kosong.

3. Apa yang boleh membantu untuk mengurangkan kekerapan ke tandas?

Bagi mengurangkan kekerapan berulang ke tandas terutamanya pada waktu malam, anda boleh cuba meminum lebih banyak air pada waktu siang.

Jikalau nak minum kopi, teh, atau minuman berkafein yang lain, seeloknya minum pada waktu siang kerana semua minuman ini bersifat diuretik, iaitu meningkatkan pengumuhan air daripada badan.

4. Mungkin disebabkan masalah ‘kencing kotor’

Walaupun masalah kerap membuang air kecil ini adalah normal bagi kebanyakan ibu mengandung. Tetapi ada juga yang mengalaminya akibat jangkitan ‘kencing kotor’ atau urinary tract infection (UTI).

Masalah UTI ini boleh berlaku pada hampir 10% wanita hamil. Ia berpunca akibat jangkitan bakteria pada sistem urinari badan yang meliputi bahagian ginjal, ureter, pundi kencing, dan uretra.

Antara tanda kencing kotor termasuk:

  • Kerap membuang air kecil / tak lawas
  • Rasa pedih ketika membuang air kecil
  • Demam
  • Rasa sakit pada bahagian abdomen
  • Sakit belakang

Buat pengetahuan semua, masalah kencing kotor tidaklah merbahaya dan mudah untuk dirawat. Namun, ianya memerlukan rawatan awal kerana masalah yang berlarutan boleh menyebabkan komplikasi hingga menjadi punca kelahiran pramatang.

5. Adakah memberi kesan selepas kelahiran bayi nanti?

Menurut BabyCenter, masalah ini akan berkurangan tidak lama selepas bayi anda lahir. Dalam tempoh beberapa hari selepas kelahiran bayi, anda akan mengeluarkan lebih banyak air kencing dan lebih kerap ke tandas. Ini kerana badan anda sedang membuang segala cecair tambahan yang terkandung dalam sistem darah anda semasa hamil.

Selepas beberapa hari, keperluan untuk membuang air kecil dan kekerapan ke tandas akan kembali seperti sebelum anda hamil.

Kesimpulannya, sekiranya masalah ini mengganggu aktiviti harian dan tetap berterusan walaupun setelah melahirkan. Anda tidak perlu malu untuk memaklumkan atau membincangkan masalah ini bersama ahli keluarga dan doktor anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat