Kenali Tun Daim Zainuddin : Pengasas International Commercial Bank (ICB)


Abdul Daim bin Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Tun Daim Zainuddin. Beliau juga merupakan ahli ‘Council Members Of Elders’ – selaku penasihat Jabatan Perdana Menteri & Ekonomi yang baru sahaja dilantik oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14.

Tun Daim merupakan anak kelahiran Derga , Alor Setar , Kedah Darul Aman . Dilahirkan pada tanggal 11 November 1938 . Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan seterusnya menyambung pelajaran sekolah menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid pada tahun 1949 hingga tahun 1953 . Seterusnya ,Tun Daim Zainuddin menyambung pengajiannya di Saint Xavier’s Institution , Pulau Pinang dan lulus ‘Cambridge School Examination’ pada tahun 1955 .

Kerjaya beliau bermula sebagai guru sandaran di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga tahun 1957 . Pada tahun 1959 , beliau lulus dalam Peperiksaan Peguam dalam jurusan undang-undang di Lincoln’s Inn , London hanya dalam masa 18 bulan sahaja . Tun Daim Zainuddin meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di University of Barkeley California pada tahun 1977-1979 di dalam bidang Perancangan Bandar dengan berbekalkan kelulusan yang ada . Beliau pernah menjawat jawatan Majistret di Johor dan Timbalan Pendakwa Raya di Perak .

Pada tahun 1966 , beliau membuka firma guamannya bersama Allen & Gledhill . Beberapa tahun kemudian , Daim , Gamani & Co ditubuhkan iaitu firma guamannya sendiri . Penglibatan beliau dalam industri perbankan bermula di Malaysia , iaitu sekitar awal tahun 1980 an . Pada tahun 1982 , beliau menguasai Malaysia_French Bank yang di beli dari kerajaan Perancis . Tun juga merupakan Pengerusi Paremba Bhd , Unit Perbadanan Pembangunan Banadar antara tahun 1979 dan 1984 .

Tun Daim Zainuddin dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 14 Julai 1984 setelah Perdana Menteri menawarkan jawatan itu kepadanya dan bermulalah era kegemilangan beliau sebagai pengurus dan pentadbir wang negara . Pelantikan beliau dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Setelah 6 tahun memegang jawatan Menteri Kewangan dan merasakan ekonomi Malaysia benar-benar teguh dan mantap, beliau meletakkan jawatannya pada 15 Mac 1991. Tetapi rehat beliau tidak lama. Beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Pertama selepas Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kabinet. Beliau turut mempelopori pemaju hartanah , Bukit Maluri dan Tanah Maluri . Beliau juga turut memiliki jumlah saham yang besar dalam United Malayan Banking Corporation (UCMB) dan Malaysian French Bank .

Beliau juga pernah menyandang jawatan pengerusi Fleet Holding Sdn . Bhd iaitu sebuah kumpulan media utama dan Syarikat Televisyen Malaysia Bhd (TV3). Tun Daim Zainuddin menguasai ICB Financial Group Holdings Ltd. (ICB) sebuah bank yang berjaya di Tanzania, benua Afrika. Bank ini mempunyai 59 cawangan di Indonesia, 23 cawangan di Afrika dan 9 buah di Eropah Timur. ICB kini memiliki dan menguruskan bank komersial di 12 buah negara termasuk di Asia, Afrika dan Eropah Timur. Tun Daim Zainuddin kini memiliki 151 844 000 unit saham dalam ICB yang beroperasi sejak 1994 dan disenaraikan di Pasaran Pelaburan Alternatif (AIM) Bursa Saham London yang kini mempunyai 130 buah cawangan bank di seluruh dunia. ICB menerima anugerah “Bank Terbaik 2006” daripada The Banker di London pada 2006.

PENGLIBATAN TUN DALAM USAHAWAN

Ketika Tun Daim Zainuddin menjadi graduan, beliau berazam untuk menjadi jutawan ketika berusia 35 tahun. Jadi bagi merealisasikan impian atau cita-citanya itu, beliau berusaha dalam dunia perniagaan yang boleh dikatakan majoritinya dikuasai oleh kaum Cina. Akhirnya, segala usaha beliau berbaloi apabila beliau berjaya menjadi jutawan pada usia 34 tahun. Projek yang membawa kepada kejayaan beliau adalah Projek Perumahan Taman Maluri di Cheras.

Antara rahsia kejayaan Tun Daim Zainuddin adalah “usaha mesti selari dengan impian”. Ramai usahawan mempunyai impian yang tinggi tetapi tidak berusaha bagi merealisasikan impian tersebut. Ini yang menyebabkan ramai usahawan cenderung untuk gagal atau kejayaan yang diraih hanya sementara sahaja.

Tun Daim Zainuddin melihat penubuhan International ommercial Bank (ICB) sebagai usaha menyambut cabaran Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menjayakan idea Kerjasama Selatan-Selatan yang dipelopori Tun Dr. Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu. Sebagai seorang yang berpengalaman sebagai ahli perniagaan dan mengetahui sedikit sebanyak selok-belok bidang perbankan, jadi Tun Daim Zainuddin mengambil keputusan untuk menubuhkan rangkaian bank di Eropah Timur dan Afrika bermula tahun 1993 iaitu selepas beliau bersara dari jawatan Menteri Kewangan.

Tentang bagaimana Tun Daim Zainuddin menjalankan perniagaannya ialah beliau hanya memilih atau mengambil pekerja yang mahir dalam bidang yang dikehendaki. Beliau akan memberikan garis panduan tentang apa-apa yang beliau mahu laksanakan dan beliau akan mengawasi prestasi mereka dari semasa ke semasa. Jika mereka menunjukan prestasi yang baik, mereka akan diberi penghargaan. Begitulah cara Tun Daim Zainuddin memupuk para pekerjanya agar mereka mementingkan kesetiaan, kerja keras, amanah dan efisyen.

Harapan Tun Daim Zainuddin adalah untuk melihat ICB menjadi sebuah bank yang berjaya dan dapat bersaing dengan kumpulan bank antarabangsa yang ternama. Pada Mei 2007, ICB berjaya menyenaraikan sahamnya di Bursa Saham London. Ini adalah salah satu kejayaan yang membanggakan dan ini juga membuktikan bahawa ICB telah mencapai tahap sehingga kumpulan ini diterima oleh pelabur antarabangsa sebagai syarikat yang berjaya dan setaraf dengan kumpulan bank antarabangsa yang lebih awal dibina.

Walaupun sebelum ini begitu banyak cabaran yang perlu Tun Daim Zainuddin hadapi ketika ingin membangunkan sesebuah bank lebih-lebih lagi di negara yang berlainan adat resam, budaya, bahasa, taraf pendidikan dan kemahiran kerja, tetapi beliau tetap berusaha bagi membuktikan bahawa anak Malaysia boleh bersaing dan berjaya dalam menjalankan perniagaan di luar negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat