KETAHUI TABIAT MEMBUANG AIR BESAR: Membawa Perubahan Besar Dari Segi Kualiti Hidup

Sumber Rujukan : metro

Ketahui tabiat membuang air besar: Fungsi usus besar ialah menyerap semua bahan yang ada di dalam usus terutama air. Dalam sehari, usus besar menyerap kira-kira sembilan hingga 10 liter air bersama makanan pepejal dan sebagainya yang sudah dicernakan.

90 hingga 95 peratus air diserap oleh usus besar dan yang tinggal akan keluar sebagai najis iaitu kira-kira 100 hingga 200 gram setiap hari.

Menurut Pakar Runding Perubatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana Dr P Rajesh Kumar, setiap individu perlu faham tabiat buang air besar yang normal atau sebaliknya dan ia berbeza bagi setiap individu.

“Kekerapan tabiat membuang air besar yang normal adalah kurang daripada tiga kali dalam sehari atau lebih tiga kali dalam seminggu. Jika tabiat buang air besar berlaku kurang daripada tiga kali seminggu, ia boleh dikategorikan sebagai sembelit dan lebih tiga kali sehari dianggap cirit-birit.

“Selain itu, najis yang normal pula berbentuk sosej manakala ia dikeluarkan dalam tekstur yang lembut seperti mentega kacang,” katanya.

Warna najis yang normal pula ialah daripada coklat kepada kuning keemasan. Kita boleh mendapati gejala tidak normal apabila najis bertukar warna kepada hitam atau hijau.

Najis berwarna hitam seperti rambut kebiasaannya mengandungi darah jika hijau bermaksud ada kuman. Namun, tidak semestinya najis berwarna hijau itu tidak normal kerana ada kalanya ia berlaku apabila individu itu banyak makan sayur.

Fungsi usus besar dan tabiat pembuangan air besar boleh terganggu disebabkan beberapa sebab dan yang paling utama dan biasa berlaku ialah sindrom kerengsaan usus (IBS).

Irritable-Bowel-Syndrome-final

Masalah kronik usus besar

Walaupun sindrom ini kerap berlaku dan mengganggu kehidupan, ramai yang tidak mahu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan. Sesetengah pesakit menganggap gejala yang dialami seperti perut kembung dan kejang serta cirit-birit adalah masalah biasa.

Namun, rasa sakit, tidak selesa dan masalah perut kembung benar-benar membuatkan individu itu berada dalam keadaan membimbangkan sekali gus mengganggu tugasan harian.

Doktor dapat mengenal pasti seseorang itu mengalami masalah IBS berdasarkan beberapa gejala yang biasa dialami dan sejarah kesihatan pesakit.

Dalam beberapa kes, pesakit mungkin perlu melakukan pemeriksaan lain seperti analisis najis atau ujian darah dan kolonoskopi untuk mengenal pasti masalah dihadapi jika terdapat gejala yang mencurigakan.

IBS membabitkan masalah yang berlaku pada usus besar. Ia bukan sejenis penyakit, namun dikaitkan dengan masalah usus sensitif yang berlaku kepada sesetengah individu.

IBS tidak menyebabkan perubahan dalam jangka hayat pesakit dan tidak membabitkan sebarang kepincangan dari segi struktur fizikal seseorang.

Pada masa sama, ia juga tidak membabitkan perubahan kekal dari segi fungsi usus. Namun, ia boleh mengakibatkan perubahan besar dari segi kualiti hidup pesakit dan dianggap sebagai masalah yang kronik.

“Walaupun ia jarang diambil perhatian, ramai tidak tahu masalah berkenaan dianggap kronik yang diikuti dengan beberapa gejala seperti sakit perut sama ada memulas atau senak, perut kembung, berangin dan tidak selesa.

“Gejala berkenaan akan diikuti dengan perubahan tabiat buang air besar iaitu kekerapan (menjadi lebih kerap atau kurang daripada biasa), bentuk najis atau tek-stur bahan buangan yang dikeluarkan.

“Kadangkala selepas buang air besar, gejala yang dirasai sebelum ini akan hilang. Semua ciri berkenaan perlu ada sebelum individu itu dikenal pasti menghadapi masalah IBS,” katanya.

Biasanya seseorang itu disahkan mengalami IBS jika semua kriteria berkenaan dihadapi berlarutan dalam tempoh tiga bulan atau lebih.

Jenis IBS

Ada empat jenis IBS iaitu IBS D (cirit-birit), IBS C (sembelit), IBS A (cirit-birit yang bersilih ganti dengan sembelit) dan IBS M (campuran).

Apabila perut menerima makanan, usus yang normal akan mengecut pada kadar tertentu. Berbanding pesakit IBS, usus boleh mengalami kekurangan jumlah pengecutan (sembelit) atau mengecut dengan lebih kuat hingga melebihi daripada kadar pengecutan biasa (cirit-birit).

IBS dianggap masalah kronik kerana ia akan berlarutan dalam masa lama terutama perubahan tabiat buang air besar. Malah, pesakit juga boleh mengalami gejala IBS sepanjang hidup jika tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Kebanyakan pesakit mengalami masalah IBS apabila memasuki lingkungan usia 30 hingga 35 tahun kerana ketika itu kebanyakan individu sudah mula bekerja dan timbul tekanan atau beberapa perkara lain.

Ada banyak penyakit yang mirip seperti gejala IBS seperti kanser usus dan jangkitan kuman atau parasit. Pesakit IBS jarang kehilangan berat badan dan selera makan serta najis tidak mengandungi darah.

Malah, gejala tidak berlaku pada waktu malam dan individu berkenaan dapat tidur dengan selesa seperti biasa selain bukan daripada keluarga yang mempunyai sejarah kanser usus.

Pesakit biasanya di bawah usia 50 tahun. Jika pesakit mengalami gejala sama seperti IBS, namun kehilangan berat badan dan terdapat darah pada najis, ia boleh dianggap sebagai gejala mencurigakan serta perlu disiasat.

Pencetus gejala IBS

IBS-INFOGRAPHIC-Large

IBS masalah kedua tertinggi dilaporkan dialami kebanyakan pesakit yang datang ke klinik untuk membuat pemeriksaan selepas selesema.

Ia memberi kesan ketara kepada ekonomi, pesakit dan sektor perubatan kerana kos yang harus dikeluarkan untuk mengenal pasti masalah atau punca IBS selain mengganggu kualiti hidup pesakit.

Walaupun kita tidak tahu punca utama rengsa usus boleh terjadi, ada beberapa perkara yang boleh menjadi pencetus masalah ini antaranya:

1. Masalah yang berlaku dalam usus

Secara genetik, dianggarkan 30 hingga 50 peratus pesakit memang ada masalah IBS. Selain faktor genetik, IBS boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria usus seperti keracunan makanan.

Walaupun jangkitan kuman sudah pulih, ia meninggalkan kesan iaitu usus akan menjadi lebih sensitif. Selain itu, IBS juga dikaitkan dengan masalah disbiosis iaitu ketidakseimbangan bakteria di dalam usus yang mencetuskan perubahan aktiviti normal saluran pencernaan.

Secara semula jadinya, di dalam usus manusia mempunyai bakteria baik yang membantu dalam mengekalkan kesihatan usus supaya berfungsi dengan lancar.

Ada sebab tertentu kewujudan bakteria baik tidak seimbang iaitu apabila kehadiran bakteria jahat menjadi semakin banyak dan mula mengganggu. Bakteria jahat yang tumbuh menggantikan bakteria baik menyebabkan jumlahnya semakin berkurangan hingga boleh menjadi pencetus kepada IBS.

Ada juga teori perubatan yang mengatakan IBS berlaku disebabkan alahan makanan, namun ia belum mempunyai bukti yang kukuh.

2. Masalah yang berlaku dalam pemikiran

Semua fungsi organ dalam badan dikawal oleh otak dan sama seperti usus. Jika otak tidak sihat, fungsi usus juga menerima kesan buruknya.

Walaupun struktur usus adalah normal, jika ia tidak berfungsi dengan baik, ia boleh menjadi pencetus kepada rengsa usus. Masalah kebimbangan melampau, tertekan, murung atau pernah menghadapi pengalaman buruk ketika kecil yang dibawa hingga ke usia matang boleh menjadi pencetus kepada usus sensitif.

Rawatan IBS

Rawatan untuk pesakit yang menghadapi masalah IBS bergantung kepada jenis gejala dialami, tahap kesakitan dan kesannya kepada kehidupan seharian.

Sebaiknya, setiap individu yang mengalami rengsa usus perlu mengumpulkan maklumat dirinya sebanyak mungkin untuk memudahkan pesakit dan doktor bekerjasama bagi mengenal pasti pencetus gejala yang dialami.

Kebanyakan doktor akan menasihati pesakit untuk menerima perubahan yang berlaku pada diri bagi mengatasi gejala dialami dan terus melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Gejala IBS boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ringan hingga sederhana dan teruk.

1. Ringan hingga sederhana

Kebiasaannya, doktor akan menasihatkan pesakit supaya mengubah cara pemakanan, namun ia bergantung kepada jenis IBS yang dihadapi. Misalnya, sembelit. Individu yang menghadapi masalah usus sensitif perlu minum air 1.5 hingga dua liter sehari, bersenam tiga hingga lima kali seminggu untuk memastikan usus bekerja dengan lancar dan mengamalkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan serat seperti buah-buahan.

Makanan tambahan seperti physilium atau serat yang boleh didapati di farmasi juga boleh dicuba. Jika individu itu mengalami IBS jenis cirit-birit, doktor akan mencadangkan pesakit untuk mengurangkan pengambilan makanan mengandungi keju dan susu atau pemanis tiruan seperti sorbitol bagi mengelakkan gejala dialami bertambah buruk.

Pada masa sama, atasi tekanan dengan meditasi atau mencari aktiviti digemari seperti bersukan atau bertafakur yang boleh dilakukan untuk mengurangkan tahap tekanan yang dihadapi. Posisi yang betul semasa membuang air besar juga boleh membantu pesakit.

2. Jika gejala dialami teruk, rawatan susulan akan dilakukan dan perlu mengambil ubat yang sesuai selain daripada langkah diatas.

Selain ubat, pesakit juga disyorkan untuk mengambil sumber probiotik yang boleh didapati di farmasi untuk mengembalikan jumlah bakteria baik dalam usus agar salur pencernaan kembali normal.

Cara Mengurangkan gejala IBS

Bagi sesetengah individu yang mengalami IBS, ada beberapa jenis makanan yang boleh mencetus gejala rengsa usus. Mungkin panduan di bawah dapat membantu mengurangkan gejala IBS yang dialami:

  • Kurangkan pengambilan minuman berkafein dan alkohol.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang berlemak dan diproses.
  • Elakkan mengambil makanan yang tinggi FODMAP seperti epal, pir, madu, susu, keju, kekacang (dal atau kacang panggang), kobis, brokoli dan bawang.
  • Makanan yang terkandung di dalam keluarga FODMAP terdiri daripada oligosakarida, poliol, fruktosa berlebihan dan laktosa. Pengurangan makanan ini akan membantu meredakan kembung perut atau angin. Walaupun makanan ini sihat dan berkhasiat namun ia tidak sesuai diambil pesakit IBS.
  • Makanan yang sesuai dengan pesakit IBS ialah pisang, anggur, oren, kentang, lobak merah, halia, nasi, oat dan minyak zaitun.

“Kesimpulan, IBS ialah gejala yang kronik dan boleh memberi kesan ketara pada kualiti hidup seseorang. Pesakit yang mengalami gejala IBS harus berjumpa dengan pakar gastroenterologi untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut kerana banyak penyakit berbahaya yang boleh meniru gejala IBS,” tegasnya

Tonton video di bawah yang menerangkan tentang bentuk najis memberi petunjuk kesihatan usus:

9 komen untuk “KETAHUI TABIAT MEMBUANG AIR BESAR: Membawa Perubahan Besar Dari Segi Kualiti Hidup”

  1. Jerry says:

    Saya ni mungkin boleh dikatakan mengalami penyakit IBS d (cirit birit). So, apa jenis pengambilan ubat yang boleh digunakan untuk merawat masalah ini? Sudah bertahun lamanya aku mengalami masalah sering saja membuang air besar sampai 4 hingga ke 8 kali sehari. Najis yang keluar hancur berwarna coklat.

  2. Zam says:

    Salam saya nak tanya. Abang saya mengalami sakit tyrod.. tubuhnya menggeletar. Dan tubuh badan sangat kurus.. beliau kerap ke tandas utk buang air. Sehari hingga 8 kali.. adakah itu tanda penyakit lain?

  3. Yie says:

    Anak berumur 8 thn, biasanya dia akan buang air besar 4-5 kali shari… Awal bulan July dia mulai buang air besar sehingga 35 kali…tapi tiada cirit birit, najis normal. minggu lepas saya rujuk ke klinik, doc berikan colimix syrup, antibiotik dan coldmax suspension (kerana ada sedikit demam) Tpi dia mgalami cirit birit(ke bilik air 15-25 minit sekali)Saya ke hospital (kecemasan, doc klinik yang syorkan) medical assistant berikan diphenoxylate hci 2.5g dan oral rehydration salts… Dia sembelit pula..sekarang saya berhenti berikan ubat.. Hari ini saja sudah 30 kali(setakat 3.16am) bila dia makan, basuh tangan terus ke bilik air. 2 minggu tidak ke sekolah.

  4. Hussaini hussain says:

    saya mengalami masalah buasir ,,,,,akan terjadi lepas saya buang air besar darah sukar berhenti ,,,,,,bila saya duduk lama masa bekerja darah akan keluar apakah cara yg terbaik utk saya ,,,,,,selesaikan masalah nie ? Adakah org yg mengalami buasir akan ada masalah penurunan berat badan minta pencerahan sikit ?

  5. Citot says:

    Hai saya nak tanya..mak sy dah seminggu sakit perut..smpaikan even baru makan jek perut serta merta memulas sakit and kerap jugak dalam minggu ni dia cirit..tp cirit yg dia x leh kawal lgsung takda sakit perut dan alih keluar jek najis becampur air smpai dia terpaksa pakai pampers sbb najis keluar tanpa signal and otot bhgian dubur macam x boleh nak kemut..sy terangkan straight to the point harap boleh beri pnjelasan sbb mak sy degil taknak pergi jumpa doctor..puas pujuk?

  6. Siti Rozana Matrus says:

    nak tanya abg sy dh hmpir 1 minggu lebih dah tak berak n sllu muntah2.. dia sllu sakit bahagian bwh perut n bahagian bwh kemaluan dia. dia ckp seolah2 bahagia bwh kemaluan dia di picit kuat sllu.. maaf klu ptanyaan sy ini kurang sopan.. sy mnta pendptan smua utk mslh ini scepatnya..

    1. mm Editor Daily Rakyat says:

      Rozana dah bawa jumpa doktor?

      Jika dapat di diagnose, selesai kes.

      Jika tak dapat, boleh bawa jumpa ustaz juga untuk pandangan lain

  7. Mat says:

    Salam..

    Sy dh masuk hari ke 3 berak kerap kali tp dlm kuantiti yg sikit..perut rasa memulas mau BAB tp x kuar..knape jd cmtu..utk makluman..sy dlm 3 mggu ni mngalami buasir yg teruk..adakah buasir menyebabkan sy jd cirit n sembelit?..pohon bantuan..tk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat