Rumah Impian Bangsa Johor Mesti Berkualiti, Titah Sultan Ibrahim
Kos pembinaan rumah yang sangat tinggi adalah salah satu punca kenapa rata-rata rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri dan hanya mampu menyewa sahaja walaupun telah menyewa selama berpuluh tahun. Baru baru ini di Johor Bahru, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah membuka peluang kepada rakyat Johor untuk memiliki rumah sendiri dengan rumah yang mampu milik kepada mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri.
Penyediaan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) Yayasan Sultan Ibrahim adalah hasil cetusan idea Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar demi membantu rakyat yang masih belum memiliki rumah menerusi penubuhan YSI.
Baginda berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Prapelancaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim (YSI) di Galleria di sini, hari ini.
Turut berangkat Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Menteri Besar , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Johor Corporation (JCorp) menerusi syarikat dalam kumpulannya, Johor Land Berhad (JLand) akan melaksanakan pembangunan berkenaan di Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee.
Di Bandar Dato’ Onn, Rumah Impian Bangsa Johor akan dibangunkan di kawasan seluas 21.3 hektar dan membabitkan pembinaan lebih 520 unit termasuk 190 rumah teres, 130 rumah berkembar dan 200 rumah sesebuah. Pembinaan rumah tersebut dijangka siap pada akhir tahun 2017.
Rumah berkenaan ditawarkan dengan harga RM80,000 hingga RM100,000 seunit.
Manakala di Bandar Baru Majidee, sebanyak 320 unit rumah akan dibangunkan di kawasan seluas 2.75 hektar dan ia terdiri daripada dua blok yang masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman dan ia akan ditawarkan dengan harga RM150,000 seunit. Pembinaan ini dijangka siap hujung tahun 2019.
Terdapat satu projek sedang dirancang oleh Mutiara S’City Sdn Bhd di kawasan seluas 3.05 hektar di Bukit Saujana di bawah YSI pada masa depan dan ia bakal menawarkan 1,000 rumah.
Hasil Idea Sultan Ibrahim
Presiden dan Ketua Esekutif JCorp, Datuk Kamarizzaman Abu Kassim, berkata inisiatif itu bukan projek perumahan mampu milik semata-mata, tetapi juga inovasi baharu dalam sektor perumahan yang boleh mencetus perubahan dalam industri itu.
“Ia kerana RIBJ di jual pada harga jauh lebih murah daripada pasaran sekarang. Semua ini hasil cetusan idea Sultan Johor sendiri, malah bagaikan hadiah baginda kepada rakyat negeri ini sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor,” katanya.
Bayar Deposit RM1
Bagi tujuan itu, katanya Bank Rakyat bersetuju memperuntukkan dana RM 500 juta untuk pembiayaan pembelian rumah berkenaan yang hanya memerlukan pembeli membayar deposit RM1 dan tawaran pinjaman 100 peratus.
Yayasan Sultan Ibrahim yang ditubuhkan pada 14 Julai tahun lalu bertujuan menyalurkan bantuan untuk kebajikan rakyat Johor terutama berkaitan isu pemilikan rumah.
Rakyat Tunggu dan Beratur Sejak Awal Pagi
Lebih 5,000 anak Johor berkumpul dari seawal jam 8 pagi di pusat beli-belah berkenaan untuk mendapatakan maklumat dan mendaftar bagi permohonan Rumah Impian Bangsa Johor.
Mengikut tinjauan yang dibuat oleh pihak Berita Harian (BH) mendapati jalan sekitar pusat beli-belah itu terutama Jalan Duke, Jalan Trus, Jalan Abdullah Ibrahim dan Jalan Ungku Puan turut sesak teruk dengan kenderaan yang menghala ke lokasi majlis.
Suasana riuh rendah ketika orang ramai beratur untuk membuat pendaftaran di perkarangan pusat beli-belah terbabit, kemudian disusuli tepukan gemuruh apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tiba sambil melambai ke arah pengunjung.
Penduduk dari Bandar Selesa Jaya, M Arumugam, berkata beliau tiba di pusat beli-belah berkenaan pada jam 10 pagi bagi melihat sendiri dan mendapatakan maklumat RIBJ.
“Selepas mendapat maklumat berhubungan pengumuman RIBJ dalam akhbar dan media sosial, saya terpanggil untuk hadir dan melihat sendiri dengan lebih dekat projek terbabit.
Manfaat Rakyat Miliki Rumah Sendiri
“Ini projek yang bermanfaat kepada rakyat terutama Bangsa Johor yang belum memiliki rumah sendiri. Saya sendiri sudah berusia 50 tahun dan masih menyewa rumah kerana harganya terlalu tinggi,” katanya.
Beliau berbangga dengan inisiatif Yayasan Sultan Ibrahim merancang projek berkenaan, sesuai dengan sikap Sultan Johor yang berjiwa rakyat dan prihatin dengan kebajikan masyarakat.
Omar Hussien, 51, dari Kampung Bakar Batu, pula berkata beliau dan anaknya tiba seawal 8.30 pagi di lokasi majlis untuk mendaftar bagi mendapatkan unit kediaman RIBJ.
“Dengan projek RIBJ, saya memang sangat berharap pada umur sekarang dapat juga akhirnya memiliki rumah sendiri,” katanya sambil tidak putus-putus berterima kasih kepada Sultan Johor kerana prihatin dan mengambil berat kebajikan rakyat.
Syarat Pemilihan Pembeli
- Warganegara Malaysia, menetap 5 tahun di negeri Johor (keutamaan diberikan kepada rakyat Johor).
- Berumur 18 tahun ke atas.
- Permohonan rumah buat kali pertama.
- Bujang dan telah berkahwin.
- Satu permohonan bagi setiap pasagan yang telah berkahwin.
- Belum memiliki rumah sendiri.
- Jenis rumah yang ditawarkan mengikut pendapatan isi rumah.
-Rumah Impian Sultan Ibrahim (RM80,000 – RM100,000) pendapatan tidak melebihi RM 5,000 sebulan.
-Rumah Impian Bangsa Johor A (RM100,001 – RM150,000) pendapatan tidak melebihi RM 8,000 sebulan.
-Rumah Impian Bangsa Johor B (RM150,001 keatas) terbuka dan tertakluk kepada pemohon.
RUMAH IMPIAN SULTAN IBRAHIM
- Bandar Dato’Onn (Coronade Properties Sdn. Bhd.).
- Dijangka siap hujung tahun 2017.
- Rumah Teres (1030 kaki persegi) – 190 unit.
- Rumah Semi-D (1000 kaki persegi) -130 unit.
- Rumah Banglo (1300 kaki persegi) -200 unit.
- Dilengkapi dengan mesin basuh, peti sejuk dan sebagainya.
- Pendahuluan RM1.
- Pinjaman bank 100% oleh Bank Rakyat
RUMAH IMPIAN BANGSA JOHOR A
- Bandar Baru Majidee (Bandar Baru Majidee Development Sdn. Bhd.)
- Dijangka siap hujung tahun 2019.
- Apartmen 12 tingkat (1030 kaki persegi) – 320 unit.
- Strata.
- 2 Blok.
- Dilengkapi dengan mesin basuh, peti sejuk dan sebagainya.
- Pendahuluan RM1.
- Pinjaman bank 100% oleh Bank Rakyat
RUMAH IMPIAN BANGSA JOHOR B
- Bukit Saujana (Mutiara S’City Sdn. Bhd.)
- Jenis rumah akan diberitahu kemudian
- 1000 unit
- RM 297,000 – RM 429,000.
- terdapat 3 saiz :
-850 kaki persegi
-1000 kaki persegi
-1200 kaki persegi - Pinjaman bank 100% oleh Bank Rakyat
Prapendaftaran untuk Rumah Impian Bangsa Johor boleh di mohon melalui e-Mohon www.yayasansultanibrahim.org.my