Adik-Beradik Pesakit Ramai Tapi Tak Boleh Jadi Penderma Organ, Doktor Ini Lega Makin Ramai Ada Kesedaran Tentang Isu Derma Organ
Isu derma organ kembali hangat atas perkongsian kisah di Facebook Hana Hadzrami, seorang pegawai perubatan yang gembira terhadap kesedaran derma organ yang meningkat di kalangan masyarakat.
“Hari ini saya terlibat dalam 2 pembedahan transplan buah pinggang jenis cadaveric. Semenjak 1 Februari saja dah ada 5 transplan buah pinggang berlangsung di hospital ini.” – Hana Hadzrami.
Dalam perkongsian itu, pesakit yang menerima organ dilaporkan masih muda. Kesemuanya berusia dalam lingkungan 20 ke 30 tahun dan mengalami kegagalan buah pinggang disebabkan pelbagai komplikasi.
Penerimaan Organ dari Penderma Hidup Lebih Baik Berbanding dari Penderma Yang Meninggal
Berkongsi lanjut, Hana Hadzrami turut menegaskan bahawa sebenarnya buah pinggang terbaik ialah dari penderma hidup (living-related) berbanding penderma yang meninggal.
Organ dari penderma hidup didapati lebih berkualiti dan lebih lama jangkahayatnya.
Masyarakat juga dilihat terbuka untuk menderma buah pinggang demi kesihatan yang tersayang. Ada suami yang derma untuk isteri, ada ibu yang derma pada anak, kakak pada adik dan sebagainya.
Namun masalah kesihatan boleh jadi faktor penghalang untuk ahli keluarga atau rakan terdekat menderma organ.
Dalam posting yang sama, Hana Hadzrani turut berkongsi kisah seorang pesakit yang ramai adik-beradik. Namun, seorang pun tidak layak untuk jadi penderma akibat tabiat merokok. Disebabkan itu, pesakit pun terpaksa mendapatkan derma organ dari pihak lain.
Itulah harga yang terpaksa dibayar akibat kesihatan yang tidak diurus dengan baik. Kesihatan merupakan nikmat yang tidak ternilai harganya. Jika tidak dijaga dengan baik, ia boleh merugikan diri sendiri dan ahli keluarga.
Mujurlah kesedaran pendermaan organ di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengurus klinikal Perolehan Transplan Kebangsaan, Pusat Sumber Transplan Nasional, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Hasdy Haron. Menurut beliau, statistik tahun 2021 menunjukkan 489,958 individu sudah mendaftar sebagai pengikrar derma ogan.
Di samping itu, pendaftaran untuk derma organ pada setiap bulan juga cukup memberangsangkan.
“Bagaimanapun, jumlah penderma organ sebenar (selepas kematian) hanyalah 745 orang” ulas Dr Hasdy.
Walaupun ia bukan lagi konsep yang baru, namun masih ada yang ragu atau takut untuk menjadi pengikrar derma organ.
Kata Dr Hasdy, terdapat banyak faktor yang menyebabkan ramai belum bersedia untuk berikrar sebagai penderma organ.
“Pada pendapat saya, ia mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan tentang pendermaan, atau sikap tidak mahu mengambil tahu atau memperoleh maklumat yang tepat.
Antara halangan lain ialah kefahaman mengenai pendermaan organ daripada konteks agama Islam secara umum, undang-undang serta aspek lain.” tambah Dr Hasdy.
Cabaran Keizinan Waris Penderma Organ
Walaupun kesedaran telah diterapkan kepada masyarakat Malaysia, prosedur derma organ menghadapi cabaran untuk mendapatkan keizinan waris.
Menurut Dr Hasdy, banyak masalah timbul berikutan banyak penolakan pendermaan organ daripada keluarga pengikrar sendiri.
“Ini kerana keluarga tidak mengetahui ikrar yang dilakukan pengikrar derma organ untuk menderma selepas meninggal dunia”.
Oleh itu, beliau menasihatkan pengikrar supaya memaklumkan kepada keluarga selepas mendaftar.
“Perkara ini perlu difahami daripada sudut undang-undang. Walaupun penderma organ sudah berikrar, kebenaran daripada waris masih diperlukan.
Selain itu, ada juga sesetengah keluarga waris yang merasakan pendermaan organ tidak perlu untuk dilakukan.”
Derma Organ Dari Sudut Pandang Islam
Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1970, derma organ hukumnya harus dan dibolehkan dalam bentuk tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan kebajikan.
Menderma organ merupakan amalan mulia kerana memberikan harapan kepada individu yang berada dalam senarai menunggu. Oleh itu, rakyat Malaysia perlulah fahami konsep ini sebaiknya untuk kebaikan semua.
Semua orang boleh mendaftar walaupun mempunyai masalah kesihatan. Kesesuaian untuk menderma organ akan ditentukan pada saat pengikrar meninggal dunia nanti.
Namun, tiada gunanya berikrar untuk derma organ namun prosedunya dihalang waris apabila pengkirar sudah meninggal dunia.
Pengikrar perlu jelaskan keputusan untuk derma organ dengan telus pada keluarga agar prosedur derma organ dapat berjalan dengan lancar pada masa akan datang.