Bolehkah Trade In Emas Lama Untuk Mendapatkan Emas Baru?
Pertukaran emas dan perak, (iaitu emas dengan emas atau perak dengan perak) perlu mematuhi dua syarat;
Antaranya ialah, Mesti sama timbangannya (*walaupun yang satu darinya lebih elok dari yang satu lagi, kerana kelebihan sifat tidak diambil kira oleh Syarak untuk mengharuskan tambahan selagi kedua-duanya masih dari jenis yang sama),
Dan yang kedua, Mesti secara tunai (tidak boleh bertangguh)
Jika pertukaran berlainan jenis (seperti emas dengan perak, atau emas dengan wang), perlu memenuhi satu syarat sahaja di atas, iaitu; mesti berlaku secara tunai. Jika sama timbangan/berat tidak disyaratkan, maka boleh berlaku lebihan/kurangan pada tukaran.
Hadis Nabi SAW berkata; “Pertukaran emas dengan emas dan perak dengan perak hendaklah sama dan secara tunai. Sesiapa menambah atau minta ditambah (timbangan), maka dia telah melakukan riba di mana yang mengambil dan yang memberi keduanya berdosa” (Soheh Muslim; 1584). Dalam hadis yang lain; “jika berbeza jenis, juallah mengikut timbangan yang kamu kehendaki asalkan secara tunai” (Soheh Muslim; 1587).
Menurut jumhur ulamak; syarat di atas merangkumi juga pertukaran bagi emas/perak yang dijadikan perhiasan telah direka-bentuk menjadi gelang, rantai, anting-anting dan sebagainya.
Oleh demikian, jika emas lama itu hendak ditukar direct dengan emas baru, mesti dengan berat yang sama. Tidak harus dikenakan sebarang lebihan/tambahan sama ada berupa emas juga atau berupa wang kerana tambahan itu dianggap riba oleh Syarak (kerana pertukaran berlaku dengan yang sama jenis).
Untuk mengelak riba ini, hendaklah pertukaran dibuat dengan wang terlebih dahulu (kerana jika pertukaran bukan dengan yang sama jenis, tidak disyaratkan sama timbangan sebagaimana yang dijelaskan tadi), iaitu emas lama dijual dulu dengan menerima RM (Ringgit malaysia), kemudian dengan RM yang diperolehi itu dibeli emas baru.
Segelintir ulamak (antaranya Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim) mengecualikan dua syarat tadi bagi emas/perak yang telah menjadi perhiasan. Menurut mereka; emas yang tertakluk dengan syarat-syarat tadi ialah emas dan perak yang menjadi mata-wang (yakni dinar atau dirham). Adapun emas yang direka-bentuk (menjadi perhiasan), ia bukan lagi mata-wang, akan tetapi telah menjadi barangan, maka tidak terikat lagi dengan syarat tadi.