Kenali Alopecia, Penyakit Yang Buat Isteri Will Smith Botak Hingga Jadi Bahan Gurauan di Anugerah Oscar
Semalam netizen seluruh dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di siaran secara langsung Anugerah Oscar. Anugerah berprestij tersebut menyaksikan tindakan Will Smith yang telah tampil ke pentas dan menampar pelawak, Chris Rock yang menjadikan rambut botak isteri pelakon itu, Jada Pinket Smith sebagai bahan gurauan.
Pinkett telah disahkan mengalami alopecia pada tahun 2018 dan sudah mengumumkan kepada semua tentang keputusannya untuk membotakkan kepala akibat penyakit itu.
Penyakit apakah yang dialami Pinkett sehingga membuatkan dia bertindak untuk membotakkan kepala sampai licin ?
Apakah Penyakit Alopecia ?
Kalau nak tahu, alopecia merupakan salah satu penyakit autoimun. Alopecia berlaku apabila sel darah putih dalam badan menyerang sel-sel di folikel rambut.
Keadaan ini akan memperlahan proses pertumbuhan rambut sehingga mengakibatkan rambut semakin menipis. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba dalam waktu yang singkat.
Memetik Medical News Today, dalam kebanyakan kes, alopecia akan menyebabkan keguguran rambut di beberapa bahagian kepala atau badan.
Jika dilihat dari atas, pesakit alopecia boleh dikenalpasti dengan masalah keguguran rambut yang berlaku secara bertompok.
Namun dalam kes yang lebih parah, penyakit ini boleh membuatkan seseorang mengalami keguguran rambut secara menyeluruh. Keadaan ini dikenali dalam terma perubatan sebagai alopecia totalis.
Penyakit ini boleh terjadi pada sesiapa sahaja namun ia biasanya berlaku sebelum seseorang mencapai usia 30 tahun.
Punca Alopecia
Sehingga ke hari ini, punca sebenar bagi penyakit ini masih belum dapat dikenalpasti. Pakar perubatan mengesyaki ia berlaku akibat faktor genetik.
Kajian lain mendapati pesakit dengan ahli keluarga yang turut alami penyakit autoimun lain seperti atopik dermatitis juga berisiko untuk mengalami alopecia.
Selain faktor genetik, punca lain yang boleh menyumbang kepada berlakunya alopecia adalah perubahan hormon, stres, penggunaan produk rambut, kesan dari kemoterapi serta pengambilan supplemen serta ubat-ubatan.
Gejala Alopecia
Berdasarkan perkongsian dari Public Health Malaysia, pesakit alopecia boleh menunjukkan beberapa gejala seperti berikut :
- Tompok botak kecil terhasil pada kulit kepala atau bahagian badan lain termasuk janggut dan bulu kening
- Pesakit alami keguguran rambut yang banyak dalam masa yang singkat
- Kuku jari dan kuku kaki menjadi merah, rapuh dan berlubang
- Keguguran rambut berlaku dengan lebih ketara ketika cuaca sejuk
Kenalpasti Masalah Keguguran Rambut
Meskipun alopecia jarang dihidapi oleh kebanyakan orang, namun kita masih perlu amalkan penjagaan rambut yang sihat untuk elakkan masalah keguguran rambut yang serius.
Faktor Keguguran Rambut Wanita :
Bagi wanita, masalah keguguran rambut biasanya berlaku atas salah satu faktor berikut :
- Pemakanan yang tidak seimbang
- Stress
- Penggunaan pemanas rambut secara kerap
- Keguguran rambut selepas bersalin
Faktor Keguguran Rambut Lelaki :
- Kaum lelaki pula boleh alami keguguran akibat faktor berikut :
- Genetik
- Umur
- Ketidakseimbangan hormon
Jika tidak dijaga dengan baik, rambut boleh alami keguguran kekal sehingga sukar untuk tumbuh semula. Oleh itu, anda perlulah jaga pemakanan dan amalkan penjagaan rambut yang baik agar kesihatan rambut terpelihara.
Cara Semak Masalah Keguguran Rambut
Jika anda kurang pasti sama ada anda alami masalah keguguran rambut yang teruk atau tidak, anda boleh praktikkan cara mudah ini :
- Kumpulkan secubit rambut (kira-kira 60 helai)
- Secara perlahan, sisip rambut sehingga ke hujung
- Jika anda dapati terdapat lebih dari 6 helai rambut tercabut, maka sahlah anda ada masalah keguguran rambut.
Sekiranya anda mempunyai masalah keguguran rambut, jangan berlengah untuk dapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar. Jika ia dapat dikesan pada peringkat awal, maka mudahlah untuk masalah keguguran ini ditangani.
Selain memupuk kesedaran orang ramai tentang kewujudan penyakit alopecia, insiden semalam membuktikan penindasan kepada seseorang yang alami masalah kesihatan adalah tidak wajar untuk dilakukan.
Hanya tuan badan sahaja tahu betapa peritnya menghadapi penyakit yang dialami. Namun, kita juga tidak boleh melazimi kekerasan sebagai jalan untuk menyelesaikan sesebuah isu.
Apapun, semoga insiden semalam menjadi iktibar buat semua warganet dan menjadi pengajaran kepada semua untuk buat lawak berpada-pada. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Kejap lagi penampar sampai dekat muka, sakit pun dapat, malu pun dapat.