Tanjak Pakaian Warisan Melayu


Melayu

Tanjak, tengkolok atau destar merupakan busana yang dipakai pada bahagian kepala lelaki Melayu. Tanjak ini sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai majlis adat istiadat Melayu. Pada kebiasaanya tanjak akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta sebilah keris yang diselit bagi pakaian lelaki Melayu.

Sejarah Pemakaian Tanjak

Sebelum masuknya zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka, tanjak belum lagi dicipta. Pada masa itu, hanya sehelai kain digunakan. Kain tersebut diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas. Lama-kelamaan ikatan kain ini berubah dan menjadi semakin cantik dan kemas mengikut peredaran zaman. Ikatan tersebut diolah dan diubahsuai mengikut taraf seseorang itu.

Orang Melayu Melaka menggunakan idea kreatif mereka untuk mengubah helaian kain tersebut untuk digunakan sebagai penutup kepala. Dahulunya tanjak merupakan lambang bagi status seseorang. Pada ketika itu, hanya mereka yang berada sahaja yang mampu memakainya. Tanjak juga merupakan sebahagian daripada pakaian Raja dan Sultan.

Raja semasa zaman kesultanan Melaka menggunakan tanjak yang diperbuat dari kain sutera yang berasal dari China atau India. Orang kebanyakan pula menggunakan tanjak yang diperbuat daripada kain biasa.

Jenis-jenis Tanjak Melayu

Tanjak Dendam Tak Sudah

Tanjak Layang Mas

Tanjak Ayam Teleng

Tanjak Lang Menyosong Angin

Tanjak Mahkota Alam

Tanjak Merbah Berlaga

Tanjak Naga Emas

Tanjak Laksamana

Tanjak Tun Nila

Tanjak Pari Mudik

Tanjak Sebang Selat

Tanjak Tubang Layar

Pada kebiasaannya, rekaan tanjak ini akan berkait rapat dengan status si pemakai. Tanjak yang dipakai oleh rakyat biasa hanya berbentuk simpulan dan rekaannya telah diubah dari rekaan asal yang dipakai oleh raja. Bentuk tanjak yang dipakai oleh rakyat tidak boleh sama dengan tanjak yang dipakai oleh raja dan sultan.

Tanjak sekarang kebanyakannya dibuat menggunakan kain songket. Untuk pembuatan tanjak, kain songket berukuran 31 x 31 akan digunakan. Kain tersebut akan dilipat bersama kertas keras dan membentuk segi tiga sebelum ianya digosok dan dijahit. Dawai atau lidi akan dimasukkan bersama lipatan untuk membuat bentuk tertentu. Ini akan membolehkan tanjak terbentuk keras dan cantik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat