Kenapa Anak Jadi Biadap dan Kuat Melenting? Ini 5 Sebab Yang Ibu Bapa Perlu Take Note !
Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan anak yang behave dan mendengar kata. Namun tak tahulah kenapa sejak pandai bercakap ni, makin lama makin biadap pula perangainya. Kita juga yang penat terjerit-jerit setiap hari.
Nak marah selalu pun tak boleh, nak dibiarkan pun tak boleh. Kenapa anak jadi biadap ya sedangkan kita tak pernah ajarnya untuk jadi kurang ajar? Untuk mendidik anak, kita perlulah ketahui sebab mengapa anak-anak menjadi biadap.
Perkara ini telah diulas oleh pakar keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak, Taufiq Razif menerusi laman Facebook. Jom kita semak 5 sebab mengapa anak boleh jadi biadap ketika masih kecil.
Tak Boleh Salahkan Anak Je, Ini 5 Sebab Kenapa Anak Jadi Biadap
1. Anak Dalam Fasa Egocentric
Menurut Taufiq, anak yang berusia 2 hingga 4 tahun kini berada dalam fasa egocentric. Dalam fasa ini, anak memang susah nak dengar kata namun ia masih boleh dipertimbangkan lagi pada usia ini. Mungkin anak anda nampak macam biadap, namun sebenarnya anak ini sedang membina karakter diri.
Sebagai ibu bapa kita perlu banyak bersabar, tapi jangan sampai tak ditegur pula kesalahan anak. Jika anak berkelakuan biadap, tegurlah anak. Yang paling penting, beritahu sekali mengapa perbuatannya itu salah. Jangan pula tegur tanpa beritahu mengapa perbuatannya salah.
2. Anak Rasa Tak Selamat
Ada kalanya bila ibu bapa teremosi lebih, anak-anak boleh rasa tak selamat. Ini boleh menjadi punca hilangnya kepercayaan anak pada ibu bapa.
Semasa anak kecil, dia sangat memerlukan seseorang yang boleh dipercayai. Apabila anak rasa takut dan tak selamat, otaknya akan bertindak balas dengan 3 F iaitu :
Fight (melawan) : boleh menjadi punca kelakuan biadap
Flight : anak akan menjadi penakut dan pasif
Freeze : anak jadi keliru dan pendiam.
3. Pengaruh Luaran
Ibu bapa merupakan orang yang paling mudah membuatkan anak terpengaruh. Rutin kita yang terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk luangkan bersama anak membuatkan anak mencari sumber lain untuk diikuti.
Inilah yang membuatkan anak mudah terikut dengan pengaruh negatif dari luar seperti Youtube atau perkara lain yang boleh ditonton di Internet. Dalam kes ini, kita tak boleh salahkan anak jadi biadap, kerana ia berlaku disebabkan kita sendiri!
4. Ibu Bapa Pendengar Yang Teruk
Perangai biadap anak juga boleh berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak mendengar. Anak yang rasa tak didengari akan mula lakukan pelbagai cara untuk dapatkan perhatian. Berkelakuan biadap boleh jadi jalan terakhir untuknya berkomunikasi dengan ibu bapa.
Jelas di sini bahawa ibu bapa juga kadang kala gagal dalam membaca emosi anak-anak. Ada masanya anak perlukan penghargaan dari kita, ada masanya dia ingin dipuji atas pencapaiannya. Tapi kita tak dengar sebab terlalu sibuk dengan hidup kita saja !
5. Mirroring
Walaupun masih kecil, anak adalah peniru yang sangat hebat. Bila dia nampak kita kurang ajar dengan atuk dan nenek dia, dia akan lakukan perkara yang sama pada kita ! Bila kita tak dapat kawal emosi lalu bergaduh dengan pasangan, maka anak pun akan ikut jejak langkah kita.
Oleh itu, kita perlu elakkan tinggi suara dan bergaduh di depan anak-anak. Sebaliknya, tunjukkanlah sifat kasih sayang dalam keluarga untuk jadi teladan bagi anak-anak.
Apabila anak jadi biadap, jangan terlalu cepat menghukum. Sebaliknya, semak semula cara layanan kita pada anak-anak. Tanya semula pada diri sama ada anda banyak mendengar dan luangkan masa bersama anak atau tidak ?
Sebagai ibu bapa, kita juga perlu tunjukkan kelakuan yang baik untuk jadi ikutan buat anak-anak. Dalami ilmu parenting dan rujuklah pada pakar untuk kenalpasti masalah anda dengan anak-anak agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih berkesan.