Bolehkah Air Lemon Campur Kopi Turunkan Berat Badan ? Jom Ikuti Penjelasan Dari Doktor Ini
Setiap orang pasti impikan berat badan yang ideal. Bagi mencapai matlamat ini, ramai yang tercari-cari petua yang boleh cepatkan proses untuk kuruskan badan. Selain tips penjagaan makanan, terdapat juga petua untuk turunkan berat badan tanpa senaman.
Antara tips yang viral di TikTok baru-baru ini ialah amalan minum air lemon campur kopi.
Ia dikatakan dapat kurangkan berat badan dengan berkesan. Namun, sejauh manakah keberkesanannya pada tubuh ?
Bagi memperjelas isu viral ini, Dr Syid telah berkongsi pendapatnya mengenai gabungan air lemon dan kopi.
Adakah Air Lemon Campur Kopi Baik Untuk Turunkan Berat Badan ?
Jelas Dr Syid, kedua-dua bahan ini ada manfaatnya masing-masing.
“Ramai memilih kopi untuk boost mood dan tingkatkan tenaga. Kopi mengandungi bahan aktif untuk tingkatkan kadar metabolisma seperti kafein, theobromine, thephylline dan chlorogenic acid serta merangsang sistem saraf agar badan dapat bakar lebih banyak tenaga ketika berehat.
Ada juga kajian yang menunjukkan kopi dapat mengurangkan selera makan. Ini pastinya memberikan kelebihan kepada orang yang sedang mengawal pemakanan.”
“Lemon pula adalah buah sitrus yang baik untuk kesihatan badan. Kajian juga mendapati lemon dapat tingkatkan metabolisma badan. Sebab itu, ramai minum air lemon pagi-pagi untuk bantu lancarkan pencernaan. Sistem penghadaman yang baik sangat penting kalau nak kurus.”
Belum Ada Kajian Yang Sahkan Keberkesanan Air Lemon Campur Dan Kopi
Sejak minuman campuran kopi dan lemon viral di TikTok, ramai yang percaya bahawa ia dapat membantu untuk percepatkan proses untuk turunkan berat badan.
Namun, belum ada kajian yang boleh buktikan keberkesanan gabungan minuman ini. Apa yang jelas, kedua-dua bahan ini ada kandungan antioksida yang tinggi dan boleh lindungi badan dari keradangan.
Tambah Dr Syid, tidak salah untuk seseorang mencuba tips yang viral ini. Tetapi senaman dan gaya pemakanan yang sihat perlulah diamalkan untuk dapatkan berat badan ideal.
“Bagi yang ingin mencuba, saya sarankan untuk ambil 30 minit sebelum senaman, InsyaAllah berfaedah untuk kesihatan”. ulas Dr Syid yang sering berkongsi ilmu kesihatan di laman Tanya Dr Syid di Facebook.