Kelebihan Individu Introvert
Maksud perkataan introvert adalah pendiam, pemalu, seorang yang suka memikirkan dirinya sendiri daripada orang lain. Personaliti ini jelas dipengaruhi oleh genetik daripada ibu bapa.
Pandangan ramai terhadap individu yang berpersonaliti introvert sebagai tidak menarik, kurang bergaul, bosan dan tidak tahu hala tuju kehidupan. Namun sebenarnya ramai yang tidak tahu individu ini mempunyai banyak kelebihan berbanding extrovert.
Kelebihan Individu Introvert
1. Introvert sangat peka dengan sekeliling
Personaliti mereka yang tidak bergaul dan berada di “luar” kepompong manusia dapat memberikan perspektif yang unik dan peluang untuk mereka melakukan pemerhatian yang berharga dan berlainan dengan orang lain.
Sifat ini sangat membantu terutamanya dalam tugasan yang memerlukan keupayaan pemikiran yang kreatif. Buktinya, kebanyakan daripada saintis hebat, ahli muzik, pelukis dan penulis adalah daripada golongan introvert.
2. Lebih kreatif
Sifat introvert ini mampu memproleh kreativiti yang baik. Ahli psikologi, Mihaly Csikszentmihalyi mendapati bahawa remaja yang sukar untuk meluangkan masa bersendirian lebih kurang cenderung untuk mengembangkan kemahiran kreatif mereka.
Kebanyakan pelukis dan penulis melakukan tugas dan kerja mereka dengan baik apabila bekerja secara bersendirian berbanding kerja berkumpulan.
Penyelidik Reed Larson juga mendapati bahawa remaja berasa kurang sedar apabila bersendirian, dan ini membantu mereka berasa lebih selamat untuk mengambil risiko yang membuatkan mereka lebih kreatif.
3. Introvert mampu “mengecaj” diri sendiri
Tubuh badan manusia memerlukan rehat yang cukup untuk melakukan aktiviti harian. Justeru itu, setiap orang mesti mempunyai cara tersendiri untuk “mengecaj” diri apabila kepenatan atau keletihan.
Bagi individu introvert, mereka hanya perlukan masa bersendirian dalam proses mengecaj diri mereka. Berbeza dengan extrovert, mereka memerlukan sokongan orang lain untuk mengembalikan tenaga seperti bersosial.
4. Introvert memiliki rakan berkualiti
Secara terang terangan individu introvert mempunyai rakan yang sedikit. Namun, kelebihan individu ini adalah persahabatan mereka sangat akrab dan bermakna.
Selain itu, introvert mempunyai pelbagai perkara dalam minda mereka selain daripada hubungan kasual, jadi mempunyai rakan yang sedikit adalah mencukupi bagi mereka. Kurang rakan, kurang drama bagi introvert.
5. Pendapat yang berharga
Golongan extrovert mungkin akan bercakap apa sahaja yang terlintas di minda. Berbeza dengan introvert yang kurang bercakap dan hanya bercakap benda yang memerlukan sahaja.
Introvert merupakan seorang yang berfikiran yang mendalam. Oleh itu, apabila mereka menyuarakan pendapat, ia sangat berharga kerana kebiasaanya individu ini hanya membuka mulut jika perkara itu benar benar relevan.
6. Bijak melihat risiko
Secara semulajadinya individu ini lebih berhati-hati dalam sesuatu perbuatan atau perkara yang dilakukan. Mereka sentiasa berfikiran panjang dan bijak menilai risiko yang mampu merencatkan sesuatu perbuatan.
Sebaliknya bagi extrovert, mereka lebih cenderung untuk melakukan sesuatu tanpa menilai risiko yang bakal ditimpa.
7. Boleh bekerja di belakang tabir
Introvert tahu dan mampu mencapai matlamat mereka dengan cara mempengaruhi orang lain secara senyap. Bagi setiap extrovert, mereka akan dapat bekerja dengan lebih baik jika mempunyai introvert sebagai pembantu. Ia membantu dalam pelancaran sesuatu kerja tanpa membuang masa dengan hanya bercakap kosong ataupun bersosial.
8. Introvert lebih berdikari
kelebihan golongan ini yang sering bekerja bersendirian menyebabkan mereka lebih berdikari dan mampu menyelesaikan tugas tanpa bantuan. Kebolehannya ini merupakan aset penting bagi mereka. Golongan ini berpendapat bekerja secara berkumpulan adalah rumit dan perlahan.
Cerita-cerita kejayaan seperti Bill Gates yang mampu memaksa diri ke tahap maksimum dalam mencapai matlamat. Keupayaan untuk bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri, berbanding kepada pasukan adalah kualiti yang hebat bagi seseorang usahawan.
9. Introvert jujur dan tulen
Kebiasaanya introvert adalah individu yang jujur dan sentiasa merendah diri. Disebabkan sikap mereka yang memilih untuk bercakap, maka peratusan mereka bercakap jujur adalah tinggi.
Keaslian dan kejujuran ini biasanya jelas terhadap rakan perniagaan dan pelanggan mereka. Ciri-ciri tulen introvert adalah keupayaan mereka untuk memberikan pendapat jujur kerana tak suka berborak kosong.
10. Introvert menerima pandangan luar
Introvert faham bahawa pendapat dan idea mereka mungkin tidak sesuai dengan situasi tertentu, jadi mereka bersedia untuk mendengar pendapat orang lain. Ciri-ciri ini dipengaruhi oleh sifat ego mereka tidak memaksa untuk hanya melihat pandangan sendiri sahaja.
Dengan ini, mereka mampu memperoleh idea dan rakan yang baik serta menghasilkan tugasan atau projek yang menakjubkan.
Sumber: iluminasi.com