Digelar Leftover Women Jika Tak Berkahwin Sebelum Usia 27, Wanita Sheng Nu di China Sanggup Sewa Teman Lelaki Palsu Untuk Puaskan Hati Ibu Bapa
Sudah menjadi budaya masyarakat di China apabila seorang wanita yang berpendidikan namun tidak berkahwin untuk digelar sebagai Sheng Nu atau Leftover Women.
Gelaran ini jelas menggambarkan kedudukan seorang wanita yang kononnya tidak laku dan menjatuhkan maruah keluarga.
Macam Mana Gelaran Wanita Sheng Nu Muncul ?
Idea Sheng Nu pada mulanya digunakan untuk menggelar wanita yang kaya, berdikari dan mempunyai kerjaya yang baik. Namun di China, gelaran ini tidak memberikan maksud positif seperti yang disangka.
Tidak kiralah betapa berjayanya seseorang wanita itu, berapa tinggi sekalipun gajinya, wanita Sheng Nu ini tetap dilabel sebagai orang yang gagal hanya kerana tidak menjadi isteri orang !
Ibarat melumurkan garam pada luka, kebanyakan ibu bapa wanita ini juga terus-terusan mendesak anak perempuan mereka untuk mencari suami secepat mungkin demi menjaga maruah keluarga.
Ini menambahkan rasa bersalah dalam hati wanita bujang China kerana menganggap gagal menjadi anak yang baik buat ibu bapa mereka.
Bagi mengelakkan anak mereka digelar anak dara tua dan tak laku, ibu bapa di China sanggup menyahut seruan kerajaan dan sertai acara mencari jodoh tahunan.
Dalam acara tersebut, ibu bapa yang memiliki anak yang belum berkahwin akan berkumpul dan ‘memasarkan’ anak mereka seperti produk di pasaraya.
Butiran mengenai anak masing-masing seperti berat, tinggi, pekerjaan dan sebagainya akan ditulis dan dipamerkan secara umum demi mencari pasangan yang sesuai untuk anak mereka.
Wanita Sheng Nu Sanggup Sewa Teman Lelaki Palsu
Sebelum ini, kita pernah mengupas tentang wanita di China yang berlagak kaya untuk mencari suami, namun wanita Sheng Nu pula dilihat biasa menggunakan perkhidmatan teman lelaki palsu.
Akibat tekanan hebat oleh ibu bapa dan masyarakat, sesetengah wanita Sheng Nu sanggup menyewa lelaki bujang untuk dijadikan teman lelaki palsu.
Perkhidmatan yang laris pada Tahun Baru Cina ini dianggarkan berharga sekitar RM 1,000 sehari !
Kenapa China Sibukkan Urusan Perkahwinan Rakyat ?
Perkara ini juga sebenarnya berkait besar dengan kepercayaan kerajaan China mengenai aspek kekeluargaan.
Kerajaan menganggap institusi kekeluargaan adalah sangat penting untuk kemajuan negara. Namun, atas polisi 1 Anak 1 Keluarga yang diperkenalkan dahulu, keseimbangan populasi berdasarkan jantina pada hari ini dilihat sangat tidak seimbang.
Polisi tersebut telah menyebabkan kaum lelaki di negara China kini mencecah 30 juta orang lebih ramai berbanding kaum wanita !
Akibat statistik yang tidak seimbang ini, kadar kelahiran bayi juga kian menurun dan sedikit sebanyak telah memberi impak kepada ekonomi China.
Menurut penyelidikan seorang penulis yang mengkaji tentang fenomena sosial ini, kerajaan China didapati telah mencetuskan stigma Sheng Nu di kalangan masyarakat urban demi kepentingan negara.
Jelas penulis tersebut, kerajaan China lebih fokus untuk mendorong wanita di bandar berkahwin berbanding wanita yang tinggal di kampumg.
Hal ini kerana mereka percaya wanita Sheng Nu akan lahirkan generasi yang lebih cerdas dan berdaya saing.
Ini akan menjamin masa hadapan yang lebih cerah bagi China untuk menjadi negara yang maju dalam pelbagai aspek.
Bagaimana Wanita Sheng Nu Melawan Kritikan Masyarakat ?
Meskipun berdepan dengan kritikan hebat, wanita Sheng Nu di China tidak gentar dengan gelaran ini dan tidak tergesa-gesa untuk akhiri zaman bujang.
Namun sayang sekali kerajaan tidak dapat melihat sisi baik wanita Sheng Nu.
Dilaporkan 7 juta wanita bujang berusia 25 hingga 34 tahun di bandar utama China menyumbang sehingga 41% Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
Kenyataan ini sedikit sebanyak telah memberikan semangat kepada wanita China untuk menjadi lebih berjaya dalam karier masing-masing.
Mereka juga gemar menghias diri dengan barangan berjenama dan hadiahkan ibu bapa mereka barangan mahal agar mereka lebih dipandang lebih tinggi oleh masyarakat.
Laman membeli belah gergasi di China, Alibaba turut meraikan konsep wanita Sheng Nu sebagai cara hidup di samping memanfaatkannya bagi menarik lebih ramai pelanggan.
Sejak tahun 2009, Alibaba telah mencipta jualan Single’s Day bagi meraikan wanita bujang. Jualan pada Single’s Day juga berjaya melawan populariti Black Friday sebagai festival membeli-belah tahunan terbesar di dunia.
Mungkin sukar untuk wanita ini ubah persepsi masyarakat dan fahaman kerajaan. Namun, mereka tidak jadikan cemuhan orang sekeliling sebagai penghalang untuk berjaya.
Harga diri kita tidak seharusnya diukur melalui status hubungan seseorang. Sebaliknya, setiap individu haruslah dihargai atas kejayaannya dalam membina kehidupan sendiri.