Toksin Semut ‘Charlie’ 12 Kali Ganda Lebih Berbisa Berbanding Ular Tedung


Jika anda melihat serangga kecil yang secara zahirnya kelihatan seperti semut, tetapi mempunyai badan berbelang berwarna hitam anda seharusnya berhati-hati dengan serangga ini kerana ia mempunyai bisa dan sangat berbahaya.

Untuk pengetahuan anda dalam kalangan masyarakat Melayu, serangga ini turut masyhur dengan nama semut semai atau Charlie.

Namun pada hakikatnya, Charlie bukanlah dikategorikan dalam spesies semut, tetapi haiwan ini merupakan sebahagian daripada keluarga kumbang. Kebiasaannya, kumbang ini akan merangkak di kawasan sekeliling dengan menyembunyikan sayapnya.

Dalam situasi tertentu, sekiranya merasa terancam, kumbang ini akan mengangkat abdomennya ke atas menyerupai kala jengking untuk menakutkan musuhnya. Gigitan semut itu yang nama saintifiknya Staphylinidae boleh memberi kesan seperti bengkak, sakit dan gatal terutama kepada kanak-kanak.

Toksin Charlie dikatakan 12 kali ganda lebih berbisa berbanding bisa ular tedung

Walaupun serangga ini kecil namun mampu memberi kesan yang teruk kepada manusia sekiranya terkena bisanya. Dalam badan kumbang ini tersimpan cecair hemolimf atau toksin yang disebut sebagai “pederin” (C24H43O9N).

Toksin yang dihasilkan oleh serangga ini dikatakan 12 kali ganda lebih berbisa berbanding bisa ular tedung (Cobra). Malah, kumbang ini walaupun setelah dikeringkan dan disimpan selama 8 tahun masih kekal beracun.

Toksin ini sekiranya terkena pada bahagian kulit tubuh badan manusia, akan menyebabkan “dermatitis linearis”, “paederus (kumbang rove/ staphylinidae) dermatitis”.

Beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan

Semut Charlie ini tidaklah menyengat atau menggigit tetapi mengeluarkan toksinnya apabila dipicit atau ditekan. Toksinnya juga boleh dirembeskan pada tempat-tempat lain seperti cadar, baju atau pakaian lain.

Sekiranya anda melihat semut charlie ini hinggap di tangan, jangan menjerit atau berteriak kerana ini akan menyebabkan semut ini merasa terancam dan merembeskan toksin secara automatik.

Sebaiknya semut charlie ini ditiup sehingga pergi atau dibuang menggunakan alat atau tangan yang ditutupi plastik.

Antara kesan setelah terkena toksin ini adalah anda merasakan gatal-gatal, merah-merah pada kulit serta bernanah. Dan anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lebih lanjut jika keadaan anda alami lebih teruk.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat