Tun M: Hukuman sebat lesbian, kerajaan negeri tidak mencerminkan KEADILAN ISLAM
PENDIRIAN KERAJAAN BERKAITAN HUKUMAN SEBAT PASANGAN LESBIAN
Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan ini telah membincangkan kes yang mana dua wanita telah disebat kerana melakukan hubungan yang luarbiasa (tabi’e). Pihak Kabinet berpendapat bahawa ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam. Sebaliknya kita tahu bahawa ini adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama kita perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara. Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam.
Sebab itu kami berpendapat bahawa, kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya.
Amatlah penting kita menunjuk agama Islam ini bukanlah agama yang bengis yang suka menjatuhkan hukum-hukum yang berat yang mengaibkan orang. Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam. Ini adalah pendapat kabinet Kerajaan dan kami harap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa.
Sedangkan kita selalu, apabila bermula (memulakan) sesuatu dengan “Bismillahirrahmanirrahim”, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali. Inilah pendapat Kerajaan Pakatan Harapan pada mesyuaratnya hari ini (5 September 2018).
Sekian, terima kasih.