Kadar Faedah Tak Masuk Akal dan Tak Patuh Syariah, GOPinjam Terima Respon Negatif dari Warganet Sehingga Digelar Ah Long Digital Berlesen
Touch ‘n Go baru-baru ini melancarkan produk kewangan terbaru iaitu skim pinjaman peribadi digital yang dikenali sebagai GOPinjam.
Dilancarkan pada 1 April 2022, skim pinjaman peribadi ini membolehkan pengguna yang layak untuk memohon pinjaman sehingga RM 10,000 dengan tempoh bayaran balik fleksibel dari 1 minggu hingga 12 bulan.
GOPinjam Tetapkan Kadar Faedah Tinggi
Kadar faedah yang ditetapkan juga sangat tinggi iaitu dari 8% hingga 36% bergantung kepada penarafan kredit individu, jumlah pinjaman dan tempoh masa.
Terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang merupakan pengguna Touch ‘n Go eWallet yang berusia antara 21 hingga 63 tahun, skim pinjaman GOPinjam layak untuk dimohon bagi yang berpendapatan sekurang-kurang RM 800 sebulan.
Pinjaman digital yang dilihat mudah lulus ini secara langsung akan membuka peluang kepada orang awam, khususnya bagi golongan yang dinafikan hak pinjaman mereka atau diblacklist dari senarai peminjam.
Untuk makluman, perincian bagi GOPinjam adalah seperti berikut :
- Jumlah pinjaman fleksibel antara RM100-RM10,000 bergantung kepada kelayakan
- Tempoh pinjaman fleksibel antara 1 minggu hingga 1 tahun
- Keperluan pendapatan bermula RM800 sebulan
- Pengeluaran masa nyata selepas penerimaan pinjaman
- Peminjam berusia 21 tahun hingga 63 tahun
- Pengenaan caj pembayaran lambat sekitar 1%
Memetik laporan dari Shariah Screener, pengguna boleh laksanakan permohonan pinjaman dengan 3 langkah mudah. Antara langkah awal adalah dengan menyatakan pendapatan bulanan bagi mengetahui pengiraan pinjaman boleh dilaksanakan.
GoPinjam Tak Patuh Syariah
Dibiayai di bawah CIMB e-Zi Tunai, skim pinjaman dengan faedah tinggi ini juga didapati tidak patuh syariah susulan ia adalah produk perbankan konvensional.
Netizen yang mengetahui tentang GOPinjam ini menyifatkan ia sebagai penindasan dan amalan riba yang terang-terangan selain melihat skim ini seakan perkhidmatan Ah Long yang berlesen.
Menerusi ruangan komen, netizen turut menasihat anak muda agar tidak terpengaruh dengan skim pinjaman mudah lulus ini kerana mengamalkan riba.
Rata-rata netizen berpendapat GOPinjam yang mempunyai kadar faedah tinggi serta tidak patuh syariah ini boleh makan tuan dan menyebabkan ramai orang muflis.
Meskipun tidak patuh syariah, pihak TNG eWallet memaklumkan bahawa mereka akan terus meneliti dan turut merancang penyediaan pembiayaan Islam dalam aplikasi pada masa akan datang.