SONTOT EMAS : Kenapa Dan Bagaimana Bank Negara (BNM) Bertindak Ke Atas Syarikat Penganjur Skim Haram?

Sumber Rujukan : Facebook/AlIrfanJani

Bila, kenapa dan bagaimana Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak ke atas syarikat atau penganjur skim haram? Haa, mesti ramai yang tertanya-tanya kan?

Ini adalah penjelasan daripada Bank Negara Malaysia(BNM).

*** (Oh ya, saya dah alih bahasa. Yalah, mana tahu ada pihak yang tak faham-faham lagi bahasa skema, kan.)

1. Kenapa pihak berkuasa sibuk-sibuk nak serbu penganjur skim haram tu?

Sebab kami nak lindungi kepentingan pelabur supaya tak labur lebih banyak wang dalam skim berisiko ini dalam syarikat haram tu.

Syarikat itu disiasat, kerana disyaki melakukan kesalahan ini:

  • Ambil deposit secara haram
  • Ubah wang haram
  • Elak cukai
  • Beri info palsu (pernyataan bercanggah)
  • Lantik ejen tanpa lesen
  • Gagal kemuka dokumen berkanun

2. Apasal nak risau pulak dengan model bisnes dia?

Kami bimbang, sebab syarikat/penganjur itu nampaknya dah anjurkan skim yang tak bertahan lama.

Sudahlah pelabur dijanjikan pulangan bulanan lumayan. Siap dengan jaminan emas mereka dibeli semula pula tu. Lagipun, skim itu bukannya dibiayai dari jualbeli emas sebenar, sebaliknya guna wang pelabur baru (berpusing).

Ok, macam mana kami ‘detect’? Tengok pada aset dan wang yang ada pada syarikat tu, biasanya tak sama jumlahnya dengan jumlah terkumpul dari pelabur.

3. Kenapa baru sekarang korang nak bertindak?

Kami ni bertindak jika dah ada bukti yang kukuh dan dipercayai. Kalau betul sah syarikat/penganjur tu buat salah, baru kami bertindak. Kalau bertindak melulu, boleh jejaskan bisnes yang sah.

4. Macam mana nak tahu status terkini dari pihak berkuasa?

Sepanjang siasatan, orang ramai akan dimaklumkan mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Rujuklah kenyataan rasmi yang dikeluarkan penguat kuasa undang-undang SAHAJA untuk info terkini.

5. Berapa lama nak tunggu habis disiasat ini?

Tempoh siasatan ni ikut tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti meningkat disebabkan ‘dimensi antarabangsa’ kes itu.

Kami berikan prioriti tinggi terhadap siasatan ini. Semua sumber perlu ‘dikerah’ oleh penguat kuasa untuk percepatkan siasatan.

6. Kenapa awak bekukan dan rampas aset mereka?

Pihak berkuasa diberi izin mengesan dan merampas aset syarikat/penganjur yang disyaki, bagi mendapatkan bukti.

Tujuannya, kami nak halang syarikat/penganjur dari sembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Selain itu, kami nak elak aset mereka lesap, sebab ia akan beri kesan buruk pada pelabur.

Agensi penguat kuasa diberi kuasa untuk bekukan aset mereka bagi elakkan mereka mengubah wang haram, semuanya tertera dalam:

  • Seksyen 44, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram
  • Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA)

7. Apa yang terjadi pada aset/emas yang dirampas itu?

Aset yang dirampas akan didokumenkan dengan teliti dan diambilkira serta disimpan di tempat selamat. Sekiranya ada prosiding jenayah, aset itu hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.

8. Boleh ke mangsa (pelabur) tuntut semula wang/emas mereka yang awak rampas?

Kalau awak nak tahu, aset yang dirampas ketika siasatan cuma boleh diuruskan atas perintah mahkamah SAHAJA.

Pelabur boleh failkan pada mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Info macam mana nak tuntut tu, nanti akan diberitahu lepas prosiding siasatan selesai.

*** Saya tak tanggung sebarang akibat, jika anda tidak merujuk ke sumber kenyataan asal dari BNM di link ini:

 

BONUS:

Satu tips macam mana nak tuntut balik wang/emas anda yang dirampas oleh BNM selepas syarikat/penganjur diserbu dan ditahan.

Jika anda adalah mangsa (pelabur), anda boleh kemukakan permohonan melalui Seksyen 61, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Akta itu boleh izinkan agensi penguat kuasa supaya pulangkan semula barangan dirampas kepada pihak ketiga yang bona fide (ikhlas dan jujur).

Ni bukan saya yang cakap ya. Ini peguam BNM yang cakap, namanya Muhamad Riduan Baba. (Sumber – Bernama)

 

2 komen untuk “SONTOT EMAS : Kenapa Dan Bagaimana Bank Negara (BNM) Bertindak Ke Atas Syarikat Penganjur Skim Haram?”

  1. Jack kidal says:

    Mintak kebenaran share yea tuan…info berguna ni…

    1. mm Editor Daily Rakyat says:

      Baik, silakan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat