Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara 2017 Dijangka Naik
Malaysia menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini meningkat sedikit berbanding 4.2 peratus yang dicatatkan pada 2016. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar pertumbuhan itu juga dijangka terus meningkat pada tahun depan.
“Saya jangkakan ada sedikit lagi pertumbuhan pada tahun ini dan akan terus meningkat pada tahun hadapan. Meskipun dalam masa yang sukar bagi ekonomi global, Malaysia masih mencatat pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus,” katanya dalam ucaptama Forum Transformasi Global 2017 di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga meramalkan ekonomi negara berkembang antara empat sehingga lima peratus tahun ini yang menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang lebih berganda daripada kadar yang diunjur Dana Kewangan Antarabangsa bagi ekonomi maju pada tempoh yang sama.
Selain itu jelasnya, Malaysia juga harus meningkatkan kadar produktiviti daripada 2.3 peratus kepada empat peratus setahun dalam memacu hala tuju sebenar ekonomi negara pada masa depan.
Dalam hal itu Najib sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia kekal berada pada landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
“Itulah sebabnya, agensi penarafan utama seperti Fitch, Standard & Poor’s dan Moody’s mengiktirafkan Malaysia berada dalam kategori ‘A’.
“Malah, IMF, antara institusi yang dihormati di dunia baru-baru ini mengeluarkan laporan penilaian mengenai Malaysia dengan menyatakan ekonomi negara terus menunjukkan prestasi yang baik meskipun berlaku beberapa cabaran dan mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan ke arah mencapai status berpendapatan tinggi,” katanya.
Satu lagi contoh yang disebut Perdana Menteri ialah PriceWaterhouseCoopers yang dalam laporan terkininya mengunjurkan Malaysia akan berada pada kedudukan ke-25 KDNK tertinggi di dunia yang diukur oleh persamaan kuasa beli menjelang 2030 dan ke-24 pada 2050.
“Oleh itu, kedudukan 20 terbaik dalam capaian kita,” kata Najib.