Apa Itu Chicken Pox? Ketahui Lebih Lanjut Berkenaan Simptom, Punca dan Cara Merawatnya


Chicken pox atau dikenali sebagai cacar air adalah sejenis penyakit yang biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak. Ia disebabkan oleh virus Varicella (kumpulan virus herpes) dan menyebabkan seseorang itu mempunyai ruam dan juga demam. Chicken pox juga merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh merebak dari seorang ke seorang.

Walaubagaimanapun, penyakit ini selalunya tidak bahaya dan akan baik dengan sendirinya. Tetapi bagi mereka yang sudah dewasa dan juga mengalami masalah lemah sistem imun. Mereka mungkin akan mendapat komplikasi daripada jangkitan kuman tersebut atau sebaliknya.

Bagaimana chicken pox/cacar air merebak?

Rebakan penyakit ini adalah melalui sentuhan atau titisan cecair daripada orang yang dijangkiti. Ia juga boleh berlaku melalui udara apabila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.

Di samping itu, rebakan juga berlaku melalui bahan tercemar dengan cairan cacar seperti pada pakaian atau tuala yang diguna oleh penghidap.

Buat pengetahuan semua, pengidap chicken pox boleh merebakan virus sehingga 48 jam sebelum ruam timbul dan boleh terus menjangkitkan orang lain sehingga cacar air menjadi kering dan berkeruping.

Simptom/Gejala

Simptom atau gejala yang selalu dihadapi oleh pesakit chicken pox adalah:

  1. Sakit kepala
  2. Rasa tidak sihat dan letih beberapa hari sebelum ruam timbul.
  3. Sakit-sakit badan, sakit sendi badan
  4. Batuk dan selesema
  5. Sakit tekak
  6. Sakit perut
  7. Tiada selera makan
  8. Demam yang diikuti dengan bintik-bintik merah atau ruam cacar pada kulit. Biasanya kawasan  bintik-bintik merah melibatkan muka, kepala, dada, belakang dan akhirnya seluruh tubuh. Ruam cacar timbul kurang dari 2 minggu selepas jangkitan berlaku.
  9. Bintik-bintik merah yang baru akan mula timbul dalam beberapa hari dan kemudian membentuk gelembung berisi air (blister). Apabila gelembung berisi air pecah, ia menjadi kering dan berkeruping. Rasa gatal sederhana atau teruk yang dialami menyebabkan pesakit akan menggaru dan akhirnya menyebabkan parut.

Komplikasi

Ruam atau cacar air chicken pox ialah masalah ringan bagi kanak-kanak dan kebanyakkannya akan putih. Kebiasaannya, ia akan berkurangan dalam jangka masa 2 minggu. Adakala penyakit ini boleh jadi teruk walaupun pada kanak-kanak yang sihat dan mengakibatkan komplikasi teruk termasuklah kematian. Kumpulan berisiko untuk jangkitan serta mendapat komplikasi teruk adalah:

  • Bayi yang baru lahir
  • Ibu mengandung. Ia menyebabkan kesan pada bayi dalam kandungan seperti tak cukup berat dan kecacatan anggota boleh berlaku.
  • Orang dewasa atau seseorang yang mempunyai sistem pertahanan badan (imun) yang lemah.
  • Penghidap radangan kulit (inflammation eczema).

Antara komplikasi lain yang berlaku termasuk:

  • Jangkitan kuman pada kulit
  • Jangkitan kuman pada darah
  • Radangan paru-paru
  • Sakit keradangan otak

Rawatan

Secara amnya, elakkan anak anda ke sekolah atau taman asuhan kanak-kanak sehingga ruam menjadi berkerak/berkeruping (lebih kurang 7 hari daripada permulaan ruam). Jika tidak, kemungkinan rakan-rakannya akan turut dijangkiti.

Selain itu, banyakkan minum air masak dan amalkan pengambilan makanan yang seimbang. Serta dinasihatkan sentiasa membasuh tangan. Pengambilan ubat paracetamol adalah untuk mengurangkan demam.

Untuk mengurangkan rasa gatal, anda perlu mandi dengan kerap. Sapu losen kalamine di tempat ruam. Elakkan menggunakan kuku untuk menggaru walaupun kuku pendek kerana boleh mencederakan kulit dan akhirnya meninggalkan kesan parut.

Di samping itu, pengambilan ubat anti histamine seperti diphendyramine, cetrizine dan loratidine boleh mengurangkan rasa gatal yang teramat sangat. Ubat antivirus untuk cacar air juga boleh didapati dan selalunya akan diberi oleh doktor kepada mereka yang berisiko mendapat jangkitan yang teruk, iaitu:

  • Berumur dalam lingkungan 12 tahun dan ke atas.
  • Penghidap penyakit paru-paru yang kronik.
  • Individu yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.
  • Bayi yang baru lahir.

Pencegahan

  • Cacar air boleh dicegah melalui suntikan pelalian. Untuk suntikan pelalian, perlu dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
  • Jika anda mendapat penyakit cacar air, elakkan jangkitan kepada orang lain dengan tidak pergi ke sekolah atau ke tempat kerja. Sehinggalah lepuh atau gelembung berisi air menjadi kering dan berkerak/berkeruping.
  • Bagi seseorang yang berisiko mendapat cacar air yang teruk seperti bayi yang baru lahir, yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, dan wanita mengandung. Kemungkinan mereka akan diberi antibodi dalam bentuk immunoglobulin atau acyclovir untuk memberi perlindungan segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat