Punca Penyebab Gout Yang Diabaikan
Dalam zaman moden sekarang penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat semakin kurang. Permakanan yang tidak seimbang mendatangkan penyakit yang membahayakan kesihatan sebagai contoh penyakit Gout.
Masalah Gout berpunca daripada kandungan asid urik yang tinggi dalam darah (hyperuricemia) serta masalah perkumuhan asid uric ini. Ia berkumpul menjadi kristal (tophi) pada tempat-tempat tertentu seperti sendi dan menyebabkan kesakitan. Antara makanan yang disarankan pantang sekiranya anda pesakit gout ialah makanan tinggi purin seperti makanan laut contohnya ikan bilis dan kerang, hati dan organ dan juga daging.
Antara sebab-sebab lain menyebabkan gout ialah kekurangan air (dehidrasi) dan juga pengambilan alkohol. Senaman berlebihan yang meningkatkan stres oksidatif perlu dielakkan. Amalkan senaman ringkas seperti senaman kekuatan dalam tempoh hanya 10-20 minit sehari terutamanya bagi pesakit gout.
Antara masalah yang dikaitkan dengan asid urik ialah :-
- Kencing manis.
- Tinggi Kolesterol jenis Triglyceride. (TG) dan VLDL dense bb gunpellet
- Masalah jantung.
- Masalah buah pinggang.
- Masalah metabolik dan hormon seperti PCOS dll.
- Darah tinggi.
Punca peningkatan asid urik darah yang saya ingin tekankan ialah disebabkan pengambilan gula fruktosa secara berlebihan. Gula fruktosa juga meningkatkan rintangan insulin dan sidrom metabolik yang mana peningkatan asid uric berkait rapat dengan masalah ini.
Antara sumber gula fruktosa yang paling banyak ialah gula buah dan juga gula sirap jagung tinggi fruktosa (HFCS). Gula HFCS terdiri daripada gabungan gula glukosa dan kandungan fruktosa yang tinggi sama ada 42%, 55% atau 90% komposisinya. Makanan yang mengandungi HFCS kebanyakannya ialah makanan proses antaranya:
- Minuman berkarbonat, air tin dan air kotak (termasuk “jus buah”).
- Pekatan jus
- Sirap koktel buah
- Emping jagung (cereal)
- Coklat
- Produk susu
- Roti, pastry, bijirin.
- Biskut
- Gula-gula
- Yogurt
- Sos cili, tomato
- Minuman segera (kopi dan lain-lain minuman pracampuran )
- TEH TARIK. susu pekat mempunyai kepekatan tinggi HFCS
Madu, kismis, kurma, buah-buahan juga mengandungi kandungan gula fruktosa yang tinggi jadi pengambilannya perlulah dikawal terutamanya bagi pesakit masalah metabolic seperti kencing manis.Gula fruktosa atau gula buah mempunyai nama yang sihat tetapi hakikatnya pengambilan secara berlebihan adalah sangat berbahaya berbanding gula lain. Ia dihasilkan daripada jagung yang diubah secara genetic (GMO) dan proses penghasilannya memerlukan 3 jenis enzim yang juga diubah genetiknya supaya lebih stabil. Gula fruktosa boleh menyebabkan ketagihan seperti kokain menurut kajian ke atas tikus di Universiti Princeton.
Apabila dihentikan gula fruktosa , tikus kajian menjadi resah dan gelisah serta menunjukkan tanda “withdrawal”. Seperti gula lain juga, gula fruktosa boleh meransang “rewarding sistem” di bahagian mesolimbik otak . Semakin banyak gula diambil, lebih banyak gula diperlukan untuk memenuhi keseronokan pengambilnya.
Selain itu, pengambilannya secara berlebihan juga sering berlaku kerana tidak seperti gula lain, gula fruktosa merendahkan kandungan leptin yang merupakan “hormon kekenyangan”. Gula fruktosa juga tidak mempunyai kesan mengurangkan hormone grehlin (hormone kelaparan) selepas makan berbanding gula lain. Ini mengakibatkan pengambilan makanan secara berlebihan menyebabkan masalah obesiti.
Berbeza dengan gula glukosa yang boleh digunakan dan diproses oleh semua sel badan manusia, gula fruktosa diproses hanya di organ hati. Metabolisma gula fruktosa juga pada hakikatnya sama dengan metabolism alkohol (arak) di dalam badan. Pengambilan HFCS terutamanya akan membebankan hati menyebabkan hati berlemak dan juga peningkatan lemak dalam darah. Hasil bahan kumuh yang berlebihan juga toksik kepada badan ialah seperti lemak trigliserida dan VLDL (antara penyebab utama masalah jantung), asid uric dan juga stress oksidatif.
Kesimpulannya pengurangan makanan tinggi gula fruktosa perlu selari dengan pengurangan makanan tinggi purin yang juga menyebabkan gout . Namun begitu, pendapat saya, elakkan dahulu gula fruktosa dan nikmati makanan laut, daging, hati dan organ lain secara sederhana kerana makanan tinggi purin kebanyakannya tinggi dan padat nutrisi. Lebihkan makanan padat nutrisi dan jauhi makanan yang memudaratkan kerana ini bertepatan dengan matlamat makan iaitu untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidupan.
Mungkin anda tercari-cari bagaimana cara untuk sihat klik artikel ini jika anda mahu sihat (Tip Untuk Sihat).