Kerajaan Pakatan Harapan Secara Rasmi Hilang Majoriti

Sumber Rujukan : Sinar Harian

 

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara rasmi kehilangan majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat susulan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada pakatan itu.

11 ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga keluar parti untuk membentuk blok bebas.

Setakat jam 2 petang tadi, jumlah kerusi Parlimen Pakatan Harapan berkurangan kepada 101 berbanding jumlah kerusi asal dimiliki mereka sebelum ini iaitu 129.

Keseluruhan ahli Parlimen mewakili Bersatu ketika ini sejumlah 26 orang ditambah tindakan 11 ahli Parlimen PKR membentuk blok bebas.

Hal itu menyebabkan PH kehilangan 37 kerusi dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Status terkini PH itu diakui Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof yang menyifatkan dua keputusan besar dibuat Bersatu.

Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti

Kumpulan penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memainkan peranan penting terhadap perkara itu.

“Sesebuah parti atau pakatan parti boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sekiranya mereka menerima sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen daripada keseluruhan 222 ahli Parlimen.

“Ketika ini, kita lihat PH tidak lagi menerima sokongan majoriti. Jadi dengan keputusan Perdana Menteri meletak jawatan, segalanya terserah kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Berdasarkan keadaan semasa, komposisi terkini jumlah kerusi Parlimen bagi setiap parti dalam PH adalah PKR (39), DAP (42), Amanah (11) dan Warisan (9).

Di pihak pembangkang pula, komposisi terkini kerusi Parlimen bagi parti UMNO ialah 39, MCA (2), MIC (1), Pas (18).

Selain itu, kerusi Parlimen lain diisi parti UPKO (1), GPS (18), GBS (3), PSB (1) dan Bebas (1).

Difahamkan jumlah kerusi Parlimen dimiliki PH yang kini hanya dianggotai, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Dan juga bakal berkurangan lagi apabila Parti Warisan Rakyat Sabah (Warisan) dijangka membuat keputusan keluar PH pada bila-bila masa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan itu dan jawatan Pengerusi Bersatu sebentar tadi.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, surat perletakan itu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 1 petang tadi.

Dr Mahathir menghadap Agong jam 5 petang ini

Bagaimanapun, Dr Mahathir dijangka akan menghadap kembali Agong pada jam 5 petang ini di Istana Negara.

Peletakan jawatan ini dipercayai berkaitan dengan pergolakan politik yang berlaku dalam PH sejak mesyuarat Majlis Presiden Jumaat lalu sehingga timbul spekulasi pembentukan kerajaan gabungan baharu,

Selain itu, seramai 11 ahli Parlimen mengumumkan keluar daripada PKR dan PH bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Ahli Parlimen tersebut ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat) dan Ali Biju (Seratok).

Selain itu, Willie Mogin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau) turut mengumumkan keluar PKR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat