Kali Ni Bawa Geng dan Pickup Truck Baru, Abang Viva Kini Sibuk Tolong Mangsa Banjir di Pantai Timur Pula!
Azwan Omar atau lebih dikenali warganet sebagai Abang Viva, kini sedang berada di Pantai Timur pula untuk membantu mangsa banjir di sana.
Menurut laporan akhbar tempatan, pemuda berusia 30 tahun dari Melaka ini sudah pun sampai di Kampung Pengkalan Ajal, Terengganu sejak Isnin lepas.
Kali ini, beliau teruja untuk membantu mangsa banjir menggunakan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang telah dihadiahkan oleh seseorang individu bagi memudahkan urusan kebajikan beliau.
“Banjir di Terengganu merupakan misi pertama saya dengan kenderaan ini. Pacuan empat roda ini membolehkan saya masuk ke kawasan yang Viva saya tidak dapat redah ketika banjir”, jelas Azwan.
Kali Ni Abang Viva Bawa Geng !
Misi bantuan Azwan kali ini juga agak berbeza kerana beliau tidak lagi bersendirian. Beliau kini ditemani oleh empat orang rakan sukarelawan yang turut membawa tiga buah kenderaan pacuan empat roda serta tiga buah bot untuk jalankan operasi menyelamat.
Populariti Azwan di media sosial juga membuatkan operasi menyelamatnya lebih lancar ekoran kerjasama yang diberikan oleh warga setempat yang turut membawanya ke lokasi banjir terutamanya di kawasan pedalaman.
“Sejak viral tempoh hari, lebih ramai orang kenali saya. Rasa segan tu memang ada tapi saya rasa lebih bersemangat untuk membantu kerana banyak maklumat diterima.
Orang kampung pun banyak bantu saya,” katanya yang sering mendapat sorakan dan tepukan dari mangsa banjir serta penduduk setempat.
Berdasarkan tinjauan di laman media sosial, Abang Viva serta rakan sukarelawannya kini sedang giat membantu warga Kelantan yang terkesan akibat banjir.
Selain memindahkan mereka dari rumah yang dinaiki banjir, Abang Viva juga didapati sempat membantu para pelajar yang sedang menduduki SPM di sebuah sekolah menengah yang bertempat di Pasir Mas.
Akaun Facebook Azwan yang kini diikuti oleh lebih 100,000 pengguna turut dihujani oleh komen positif dan ucapan terima kasih dari warganet.
Abang Viva mula mendapat perhatian warganet atas jasanya membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas sekitar hujung Disember lepas.
Kisahnya tular di media sosial apabila sanggup datang ke Selangor untuk menyelamatkan mangsa dengan berbekalkan wang RM 50 untuk mengisi minyak kereta Viva dan membeli makanan.