Kad Pengenalan : Sejarah Dan Evolusi Memacu Kepintarannya

Kad Pengenalan Berubah Wajah 6 Kali : Sejarah Dan Evolusi Memacu Kepintarannya


Setiap negara mempunyai kad pengenalan tersendiri untuk setiap warganegara. Selain untuk tujuan pengenalan diri, ia juga memainkan peranan penting sebagai rekod rujukan oleh pihak berkuasa serta penting bagi aktiviti yang melibatkan perjalanan ke luar negara.

Pada awal penciptaan kad pengenalan 66 tahun dahulu, ia digunakan untuk menjaga keamanan negara daripada ancaman komunis.

Walaupun konsepnya ringkas, namun penggunaan kad pengenalan ketika itu berjaya mematahkan pergerakan kumpulan komunis yang mengganas pada waktu darurat.

Bagaimana Kad Pengenalan Wujud di Dunia ?

Sebelum Perang Dunia Pertama, hampir keseluruhan penduduk dunia tidak mengenali apa itu dokumen pengenalan. Keperluan terhadap dokumen itu hanya bermula selepas pengenalan sistem pasport oleh Raja Henry ke-6 di England yang dianggap antara butiran pengenalan terawal di dunia.

King_Henry_VI_from_NPG

Versi pasport Raja Henry itu diguna pakai sehingga abad ke-20 sebelum digantikan dengan dokumen pengenalan bergambar ekoran perkembangan dunia fotografi di Eropah ketika itu.

Bermula daripada itu, pelaksanaan dokumen pengenalan diri mula diperluas dan diperkenal dalam pelbagai reka bentuk, ketetapan, dan undang-undang.

Selepas melalui pelbagai peringkat evolusi, kebanyakan negara di dunia kini mengakui keperluan dokumen pengenalan diri sebagai pengesahan identiti sebagai rakyat sesebuah negara.

Sejarah Kad Pengenalan Di Malaysia

Sejarah Penggubalan Undang-Undang Pendaftaran Diri di Malaysia

Pada awalnya, urusan kelahiran, kematian, pengangkatan, kewarganegaraan dan perkahwinan diletakkan di bawah kerajaan negeri.

Sehinggalah pada tahun 1960, undang-undang persekutuan diperkenalkan. Sejak itu, Jabatan Pendaftaran Negara Tanah Melayu mengambil alih tugas ini untuk menawarkan perkhidmatan kepada orang awam mengenai perkara berkaitan pendaftaran.

Rekod-rekod kelahiran dan kematian yang telah direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran masih lagi dipelihara sejak hampir 150 tahun yang lalu.

Evolusi Kad Pengenalan di Malaysia

Berdasarkan perkongsian dari Jabatan Pendaftaran Negara, Kad pengenalan telah melalui evolusi selama lebih dari 70 tahun sehingga ia menjadi kad berteknologi tinggi yang kita kenali pada hari ini.

Daripada sekeping kertas biasa, ia kini dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri berteknologi tinggi dan lengkap dengan maklumat pemegang kad.

Jom kita selami evolusi kad pengenalan di Malaysia !

1948 (Kad Pengenalan Kertas/Kad Beras) 

Kad pengenalan kertas diperkenalkan di seluruh tanah Semenanjung oleh Kerajaan British bagi melindungi negara daripada ancaman komunis.

Ia juga dikenali sebagai ‘kad beras’ kerana sewaktu catuan makanan pada zaman darurat bermula pada 1948 itu memerlukan bukti pengenalan diri bagi mendapatkan beras.

Ciri-Ciri :

  • Mengandungi gambar hitam putih
  • Tidak bersalut
  • Mengandungi cap ibu jari kanan sahaja
  • Mengandungi maklumat asal penduduk tanpa status taraf kewarganegaraa
Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Mengambil Cap Jari Untuk Permohonan Kad Pengenalan

Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Mengambil Cap Jari Untuk Permohonan Kad Pengenalan

 

Proses Menyalut Kad Pengenalan Lama

Proses Menyalut Kad Pengenalan Lama

 

Kad Pengenalan Plastik Pertama Bernombor 0000001 Dimiliki Oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman

Kad Pengenalan Plastik Pertama Bernombor 0000001 Dimiliki Oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman

1960 (Kad Pengenalan Plastik)

Kad pengenalan plastik  telah diperkenalkan bagi menambah baik sistem sedia ada bermula di Semenanjung pada Ogos 1960.

Kemudian, penggunaannya diperluaskan ke Sarawak pada Mac 1966 dan ke Sabah pada Jun 1972.

Ciri-Ciri : 

  • Menawarkan keselamatan yang lebih baik
  • Bersalut dan diproses secara teragih
  • Dikeluarkan dalam 4 jenis warna bagi membezakan taraf warganegara.
  • Mengandungi maklumat yang lebih terperinci termasuk nombor kad pengenalan
  • Memaparkan gambar hitam putih serta cap ibu jari kiri dan kanan.

kad_pengenalan1

 

Orang Ramai Beratur Untuk Menukar Kad Pengenalan Kertas ke Kad Pengenalan Plastik

Orang Ramai Beratur Untuk Menukar Kad Pengenalan Kertas ke Kad Pengenalan Plastik

1990 (Kad Pengenalan Bunga Raya) 

Pada April tahun 1990, kad pengenalan bermutu tinggi diperkenalkan. Kad ini juga dikenali sebagai kad pengenalan bunga raya.  Gambar hitam putih digunakan dan hanya pada 1999 gambar berwarna mula digunakan.

images (1)

Sebelum 1990, nombor kad pengenalan warganegara adalah dalam bentuk A####### di mana # merupakan nombor siri 7-digit yang mana nombor terakhir dalam siri nombor tersebut turut sama mempunyai peranan pembezaan jantina lelaki dan wanita seperti sini nombor baru MyKad.

Set Nombor 12-Digit Mula Diperkenalkan

Bermula dari penggunaan kad pengenalan bunga rayalah set nombor 12-digit yang unik dalam format TTBBHH-NN-###J diperkenalkan sebagai nombor kad pengenalan untuk semua warga Malaysia.

Kumpulan digit pertama (TTBBHH) merupakan tarikh lahir pemilik kad pengenalan. Kumpulan kedua (NN) pula merupakan kod negeri lahir, iaitu 01-13 untuk negeri-negeri, 14-16 untuk Wilayah Persekutuan dan kod 71 jika lahir di luar Malaysia.

Bagi anggota polis, kod yang digunakan ialah 88 manakala untuk anggota tentera, kod yang digunakan ialah 99.

Namun begitu apabila seseorang anggota polis atau tentera menamatkan perkhidmatan mereka, nombor kad pengenalan mereka akan ditukar kepada kod nombor asal tempat kelahiran mereka.

Kumpulan nombor terakhir (###J) merupakan nombor siri yang dijana secara rawak oleh sistem komputer Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.

Sistem nombor kad pengenalan yang sudah diperkenalkan lebih 30 tahun ini masih dipelihara dan digunakan sehingga sekarang.

MyKad_identification_number.svg

 

KOD NEGERI
01, 21, 22, 23, 24 Johor
02, 25, 26, 27 Kedah
03, 28, 29 Kelantan
04, 30 Melaka
05, 31, 59 Negeri Sembilan
06, 32, 33 Pahang
07, 34, 35 Pulau Pinang
08, 37, 38, 39 Perak
09, 40 Perlis
10, 41, 42, 43, 44 Selangor
11,03,06, 45, 46 Terengganu
12, 47, 48, 49 Sabah
13, 50, 51, 52, 53 Sarawak
14, 54, 55, 56, 57 W.P Kuala Lumpur
15, 58 W.P Labuan
16 W.P Putrajaya
88 Polis
99 Tentera

Untuk membezakan di antara pemegang MyKad lelaki dan perempuan, nombor terakhir dalam siri nombor kad pengenalan telah di sesuaikan mengikut jantina pemegang.

Sekiranya pemegang MyKad mempunyai siri nombor terakhir berangka genap, jantina pemegang adalah wanita. Manakala jika pemegang MyKad mempunyai siri nombor terakhir berangka ganjil, jantina pemegang adalah lelaki.

Ciri-Ciri : 

  • Pengenalan sistem 12 angka unik
  • Gambar hitam putih (1990)
  • Gambar berwarna (1999)
  • Cap ibu jari kiri dan kanan
  • Mengandungi maklumat terperinci
  • Bersalut

2000 (MyKad) 

Sejajar dengan peredaran zaman, kad pengenalan pintar telah diperkenalkan. Kad pengenalan mula dikenali sebagai MyKad. Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Multimedia Super Corridor Malaysia (MSC Malaysia) yang dicetuskan oleh kerajaan bagi menghasilkan inovasi berteknologi tinggi di negara ini.

Ia merupakan salah satu pencapaian besar Malaysia kerana ia adalah aplikasi perdana koridor raya yang pertama dilancarkan secara rasmi.

Pada akhir tahun 2000 MyKad mula digunakan di Semenanjung dan awal tahun 2002 ia mula digunakan di Sabah dan Sarawak.

kad_pengenalan2

Ciri-Ciri :

Kad diperbuat dari bahan polikarbonat

Dilengkapi dengan cip untuk elakkan pemalsuan.

mengandungi maklumat lengkap

2005 (MyKid)

Mulai 1 Januari 2005, semua bayi yang lahir turut diberikan kad pengenalan tanpa gambar berwarna merah jambu dipanggil MyKid. Perkataan ‘Kid’ bermaksud ‘Kad Identiti Diri’ dan juga bermaksud ‘budak’ dalam bahasa Inggeris.

Tujuan MyKid diperkenalkan adalah sebagai ganti Sijil Kelahiran, yang bermakna bayi tersebut tidak lagi mempunyai nombor sijil kelahiran, sebaliknya diberikan terus nombor kad pengenalan yang akan digunakan dalam MyKad.

mxcpmykid1

 

2006 (MyPR) 

Pada 1 Jun 2006, MyPR telah diperkenalkan sebagai mengganti kad pengenalan merah untuk pemastautin tetap Malaysia. ‘My’ membawa maksud yang sama seperti MyKad manakala ‘PR’ adalah singkatan kepada bahasa Inggeris, Permanent Resident.

mxcpmypr

MyPR berwarna merah sepenuhnya mengandungi semua data utama sama seperti pemegang MyKad.

Namun begitu di belakang MyPR mempunyai cetakan data mengenai negara asal pemegang MyPR termasuk nombor permit permastautin tetap.

Bermula dari tarikh 1 Jun 2006 juga, semua pemegang kad pengenalan merah lama diminta menukarkan kad mereka kepada MyPR sebelum 1 Julai 2007.

Penggunaan set nombor kad pengenalan 12 digit yang sama digunakan pada MyKad dan MyKid dan cuma dibezakan dengan kod tempat kelahiran mengikut tempat dilahirkan, biasanya kod 71 yang mewakili kelahiran di luar negeri.

2012

Mulai Januari 2012 MyKad telah dipertingkatkan lagi ciri keselamatan dan kecanggihannya.

Ciri-ciri baru yang ditambah baik pada MyKad ialah “ghost image” yang dihasilkan daripada teknologi turisan laser pada permukaan kad.

Selain untuk elakkan pemalsuan, ia juga dilengkapi  dengan perlindungan anti salin. Namun, rakyat Malaysia tidak diwajibkan untuk menukar tetapi digalakkan untuk berbuat demikian.

mykad012

Pengeluaran kad pintar ini dilihat menepati piawaian standard antarabangsa selain tidak mudah rosak dan telah ditambah baik kualiti material cip daripada bahan tahan lasak.

Identiti Digital Nasional (IDN) / Digital ID

Pada Oktober 2021, kerajaan telah mengumumkan inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID sejajar dengan keperluan semasa dan transaksi secara atas talian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, proses perancangan dan perlaksanaan IDN bermula pada tahun ini dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2024.

Menurutnya, IDN akan menjadi suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat Malaysia jalankan urusan dalam talian.

“Pengesahan individu secara digital ini adalah penting bagi mengelakkan penipuan identiti bagi urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ini kerana data, maklumat dan rekod penduduk berada di bawah jagaan dan bidang kuasa JPN.

“Selain itu, IDN merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Inisiatif ini adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa pendigitalan perkhidmatan kerajaan berteknologi dan berkapasiti tinggi secara end-to-end yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat, sekali gus memacu kepada perkembangan ekonomi digital negara.”

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, IDN tidak akan menggantikan MyKad sedia ada sebagai dokumen pengenalan diri, sebaliknya IDN akan memperkukuhkan keselamatan MyKad.

 Pada hari ini, MyKad berperanan sebagai teknologi merekod serta menyimpan data dan maklumat rasmi seseorang individu. Segala urusan rasmi dan proses perbankan juga perlu disertakan dengan kad pintar ini.
Ia bukan sahaja menyimpan maklumat asas diri malah mampu juga digunakan sebagai prasaran kekunci awam, merekod maklumat kesihatan diri dan juga untuk tujuan e-tunai (Touch ‘n Go).
MyKad yang kita kenali sekarang merupakan hasil evolusi bertahun-tahun lamanya. Ia juga boleh menjadi bukti perkembangan teknologi yang semakin pesat di negara kita.
Kini ia bukan sahaja berfungsi sebagai pembekal maklumat peribadi, malah ia juga mengandungi pelbagai aplikasi untuk kegunaan harian rakyat Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Terkini @ Daily Rakyat