Saya mengajak anda membetulkan fahaman tentang rezeki, yang selalu kita sempitkan
Saya melihat banyak orang post tentang nak dapat rezeki yang mudah. Nampak dari pentafsiran mereka bahawa rezeki itu adalah kebendaan, harta, kekayaan. Dapat bonus dalam budget itu dikata rezeki, dapat sedekah dikata rezeki, dapat hasil tanaman, tangkapan yang banyak dikatrezeki. Tafsiran ini sebenarnya sempit dan lebih dipegang oleh bukan Islam kerana pada Islam rezeki itu membawa maksud yang lebih luas.
Menurut tafsiran Islam
“Segala sesuatu yang bermanfaat yang Allah SWT halalkan untukmu, entah berupa pakaian, makanan, sampai pada isterimu. Itu semua termasuk rezeki. Begitu pula anak lelaki atau anak perempuan termasuk rezeki. Termasuk pula dalam hal ini adalah kesihatan, pendengaran dan penglihatan.”
Jadi rezeki itu adalah apa juga yang bermanfaat yang Allah halalkan bagi kita, mempunyai takrifan sangat luas. Kebendaan itu hanya satu bahagian kecil dari rezeki. Jadi bila memohon rezeki, jangan harap Allah turunkan sepinggan nasi, atau seketul emas, mungkin yang tiba adalah kesihatan yang baik, kelapangan waktu, pendengaran dan penglihatan yang jelas, anak yang ramai, jiran yang baik, hati yang lapang, hidup penuh rasa syukur dan berbagai nikmat Allah lagi.
Perhatikan firman Allah ini
“Barangsiapa betakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka – sangkanya.”
Jalan keluar dan rezeki yang tidak disangka bukanlah sekadar harta, tetapi segala nikmat Allah yang dikurniakan dan halal bagi kita. Jangan beramal ayat ini untuk mengharap kekayaan semata, anda telah menyempit nikmat Allah.
Abu Umamah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda.
“Sesungguhnya Ruhul Qudus (Jibril as.) mewahyukan kepadaku, bahwa seorang manusia tak akan mati kecuali setelah ajalnya sempurna dan rezekinya terpenuhi, maka bartakwalah kepada Allah dan baguskanlah dalam mencari rezeki….”Rasanya bukan setakat Allah menghentikan rezeki makan menyebabkan seseorang mati, tetapi bila dihentikan seluruh maksud rezeki pada hidup manusia iu, termasuklah hembusan nafas menyedut udara, dihenti degupan jantung, nikmat fikiran dan sebagainya.
Sebagai contoh, jangan melihat banyak anak sebagai rezeki dari aspek makanan sahaja. Anak yang banyak menjana peluang mendidik, kelak anak yang soleh boleh mambantu ibubapa dari dunia hingga akhirat, anak yang banyak mengisi ruang hidup ibubapa yang tidak kesunyian dipenghujung usia, anak yang banyak menjana kebahagiaan kerana melayan kerenah mereka adalah satu nikmat rezeki kepada hati, anak yang ramai In Shaa Allah akan menjana sumber kepada ibubapa dihari mereka hanya mengharapkan pemberian anak – anak kerana tulang 4 kerat tidak terdaya lagi. Semua itu adalah rezeki dari ramainya anak.
Saya mengajak anda membetul fahaman rezeki, janganlah menyempitkannya kerana ia, ibarat menafikan nikmat Allah yang lain sebagai rezeki. Hakikatnya apa juga nikmat Allah yang halal bagi kita menikmatinya adalah rezeki, tidaklah bermaksud kebendaan sahaja. Waallahu’alam
Penulis adalah Abd Ghani Haron.