Pandu Kereta Manual Atau Automatik, Anda Rasa Yang Mana Bersesuaian Dengan Anda ?
MANA lebih bagus, kereta transmisi manual atau automatik (auto)? Ketika ramai pembeli mula beralih kepada transmisi auto, pilihan kereta transmisi manual mula mengecil. Dianggarkan cuma ada 20 peratus kereta transmisi manual baharu yang ada di pasaran dan terhad kepada kenderaan komersil.
Honda misalnya tidak lagi menawarkan transmisi manual untuk kereta massa mereka. Toyota masih ada, itupun terhad kepada model segmen B seperti Vios dalam varian paling rendah. Mujurlah pilihan masih banyak untuk kereta nasional. Tidaklah skil dan seni memandu manual pupus begitu saja.
Persoalannya, mana lebih bagus? Patutkah kita-pemandu manual-menyertai majoriti pemandu auto hari ini. Jangan risau, kami akan bantu anda buat keputusan!
AUTO TAWARKAN TEKNOLOGI TERKINI
Transmisi auto sudah tentu mudah dipandu. Mengatakan kereta auto kuat makan minyak juga sudah tidak relevan, kerana teknologi kecekapan bahan api sudah melayakkan kereta transmisi auto duduk sebaris dengan kereta manual. Malah, kereta auto hari ini datang dengan nisbah gear sehingga 9-kelajuan berbanding manual cuma 6-kelajuan. Teknologi transmisi juga berkembang maju seperti klac Kotak Gear Anjakan Terus (DSG) dan sistem Transmisi Variabel Berterusan (CVT).
Kereta sport auto lebih pantas dan mudah dipandu berbanding manual. Sebutkan treler tunda terbesar dan jentera off-road terlasak, semuanya superior dengan transmisi auto.
Bagaimana pula kos senggara? Auto mahal sedikit. Misalnya minyak gear auto perlu lebih kerap ditukar berbanding manual, tetapi ia masih bukan isu besar kerana tidak membabitkan kos yang terlampau mahal.
Sebaliknya, purata nilai jual semula kereta auto di pasaran kenderaan terpakai juga lebih tinggi berbanding manual. Dari segi ruang dalaman, kereta auto nampak lebih segak dengan tombol gear yang kompak dan kemas berbanding tombol gear manual yang ‘aneh’.
Apa lagi? Transmisi auto hari ini juga semakin pintar dengan bantuan input daripada pelbagai sensor yang mampu mengoptimumkan pertukaran transmisi. Kereta auto hari ini mampu memahami gaya pemanduan anda seperti merendahkan gear ketika memandu keluar simpang.
Kelemahannya, anda tidak boleh ‘jump’ kereta auto, tetapi masih lagi bukan isu besar kerana ada sesetengah kereta dibekalkan sistem pengurusan bateri (BMS) selain boleh dipasang di kedai aksesori kereta. Kereta auto mungkin lebih mahal berbanding manual, tetapi masih lagi dalam skala mampu milik. Apalah sangat jika mahu dibanding dengan nilai keselesaaan dan teknologi yang diberikan.
Dalam beberapa reviu pandu uji Subaru WRX baharu, ramai penulis automotif menyatakan betapa model WRX itu lebih baik dengan transmisi baru CVT Lineartronic. Sehingga ada mendakwa, lupakan manual. Cuma bayar lebih sedikit dan dapatkan WRX terbaik (baca: WRX CVT) selamanya.
Aduh, takkanlah tidak ada satu pun yang kereta manual boleh menang?
PEMANDU MANUAL SUKAKAN CABARAN
Memang betul teknologi transmisi auto sudah jauh meninggalkan manual. Namun, pemahaman ‘lebih baik’ itu sebenarnya subjektif jika hanya tertumpu kepada hal teknologi, mudah pandu, dan sebutkan apa saja kelebihan transmisi auto.
Bayangkan anda memandu WRX CVT di laluan panjang dan kini menghampiri satu selekoh tajam. Menerusi transmisi auto, anda cuma perlu memberikan tumpuan kepada titik brek, membrek, lepaskan brek ketika membelok dan pecut! Adrenalin anda cuma mencanak ketika melakukan 1-2 langkah pertama. Itu saja.
Menerusi transmisi manual, anda akan merasai apa yang dirasai pemandu auto, tetapi dengan tambahan cabaran, iaitu skil menukar gear. Anda bukan saja perlu mengambil kira titik brek, tetapi kemahiran teknik menukar gear dan gerakan kaki anda mesti tepat yang bukan saja ketika masuk simpang, tetapi juga ketika keluar. Anda perlu buat pertimbangan sendiri sama ada perlu menggunakan gear rendah atau tinggi kerana sedikit kesilapan dilakukan, anda sebenarnya sedang menempah katil di hospital.
Walaupun kereta auto ada menawarkan ciri pedal anjakan (paddle shift) semudah menggerakkan hujung jari yang mampu memberikan anda fiil manual, tetapi tetap tidak dapat mengatasi skil yang diperlukan untuk mengawal gear manual. Jadi sudah tentu keseronokannya tidak setanding menggunakan transmisi manual.
LEBIH CABARAN, LEBIH SERONOK
Masing-masing boleh berdebat dan berhujah tentang transmisi mana lebih bagus. Pasti ada saja pemandu auto yang membantah dan berkata, “Siapa kata memandu auto tidak seronok?”
Tetapi bukan itu maksud saya. Bagi saya, lebih cabaran sudah tentu lebih seronok. Ia seperti menaiki roller coaster dan terjun akrobatik dari pesawat. Masing-masing merasai pengalaman menempuh daya graviti yang sama. Ramai orang sukakan roller coaster kerana mengujakan dan selamat. Tetapi manakan sama dengan pengalaman terjun akrobatik dari pesawat. Anda akan rasa terancam, anda perlu mengawal diri sendiri dan apabila semuanya selamat, ia pengalaman paling hebat!
Mungkin anda sekadar pemandu manual biasa yang bukan memandu secara ekstrem dan tidaklah berani sangat. Jangan rasa rendah diri, anda sepatutnya berbangga kerana menguasai kemahiran yang tidak semua pemandu di Malaysia mampu dan sanggup melakukannya. Anda bukanlah seorang yang ambil mudah. Hidup bagi anda bukan sekadar bersenang-senang, ia perlu dinikmati.
Siapa lagi secekap anda yang boleh mendaki parkir bertingkat-tingkat dengan tenang. Anda juga masih mampu tersenyum sambil memijak klac dan menukar gear ketika jalan raya sesak teruk. Anda dengan bersahaja menurunkan gear ketika meluru masuk pondok tol dan menaikkan semula gear ketika melepasinya. Anda melakukan segalanya tanpa sedar dan menganggapkannya sebagai sesuatu yang tidaklah susah sangat pun.
Anda sebenarnya sedang mempertahankan tradisi, teknologi dan nilai sentimental lama dunia automotif. Sila tabik hormat buat pemandu manual!