Ramli Merupakan Pengarah Baru SPRM Kelantan


KOTA BHARU: Ketua Penolong Ketua Pesuruhjaya (KPKPj) Ramli Ismail dilantik sebagai Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan yang baharu berkuat kuasa 1 Oktober 2018.

Ramli, sebelum ini adalah Pengarah SPRM Negeri Sembilan, menggantikan Datuk Moh Samsudin Yusoff yang bersara wajib pada 9 September lalu.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Pejabat SPRM Kelantan hari ini disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Jaafar Mahad.

Ramli ketika berucap dalam majlis itu berkata, beliau akan meneruskan kecemerlangan pencapaian SPRM Kelantan dari segi pelaksanaan fungsi dengan memberi tumpuan kepada rasuah sempadan, agensi penguat kuasa, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Katanya tumpuan itu selaras dengan misi dan visi yang digariskan oleh suruhanjaya ini.

Menurut Ramli, beliau juga akan memastikan SPRM Kelantan dan SPRM keseluruhannya terus mendapat keyakinan rakyat dengan memperbanyakkan inisiatif mendekati rakyat supaya mereka mengerti fungsi sebenar SPRM dan berani tampil ke hadapan bagi menyalur maklumat mengenai salah laku rasuah.

Ramli yang berkhidmat selama 16 tahun pernah bertugas di SPRM Putrajaya pada 2002 sebagai pegawai Badan Pencegahan Rasuah (BPR) sebelum berkhidmat di beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan ibu pejabat SPRM Putrajay. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Integriti di Telekom Malaysia (TM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat