Malaysia Bukan Hampir Muflis diBuktikan Oleh Pelaburan Saudi Aramco
Pelaburan besar Saudi Aramco yang bernilai AS$7 bilion dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor adalah bukti Malaysia bukan hampir muflis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaburan itu menunjukkan keyakinan syarikat minyak milik Arab Saudi itu terhadap Malaysia kerana adalah mustahil untuk mereka membuat pelaburan yang besar di sebuah negara yang hampir muflis.
Kata beliau, usaha sama itu bukan hanya menjana pertumbuhan baharu dan menggerakkan negara ke arah era baharu dalam teknologi dan pembangunan ekonomi, malah akan mewujudkan beribu-ribu pekerjaan baharu.
Saya banhkitkan isu ini kerana terdapat banyak laporan palsu sejak kebelakangan ini. Malangnya, pihak pembangkang di negara ini lebih gemar memilih untuk tidak berinteraksi dengan kerajaan bagi mendapatkan fakta yang betul.
“Mereka menyebarkan propaganda palsu seolah-olah negara hampir bankrap sehingga sedihnya ada antara maklumat itu menarik perhatian antarabangsa,” katanya dalam ucaptama Forum Transformasi Global 2017 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tindakan memperlekehkan negara juga disifatkan sebagai sabotaj ekonomi de mi kepentingan diri dan politik peribadi.
Jika ini memberi kesan terhadap persepsi luar negara, bukan pemimpin pembangkang yang akan terjejas tetapi rakyat biasa. Perjanjian Saudi Aramco juga hampir gagal dengan berita palsu berkenaan. Lagipun, ramai juga tidak menjangka bekas pemimpin berbohong mengenai negara sendiri.
“Jadi, apabila beliau (bekas pemimpin itu) memberitahu rakyat bahawa Malaysia sedang berdepan dengan kebankrapan, segelintir yang percaya beliau, malah beliau tahu beliau berbohong,” katanya.
Kata Najib, di sebalik semua tohmahan yang dilemparkan itu, kebenarannya adalah berjuta-juta pekerjaan telah diwujudkan, negara mengalami pertumbuhan yang kukuh dan konsisten, kadar inflasi dan pengangguran yang rendah serta pengurangan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.1 peratus tahun lalu.
Dalam pada itu beliau berkata, pelbagai inisiatif juga telah dilaksanakan bagi memastikan transformasi berterusan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovatif dengan kemampanan dan keterangkuman menjadi sebagai terasnya.
Jelas beliau, pelaburan berterusan dalam modal insan, kesalinghubungan serta pembaharuan dan transformasi ekonomi negara juga telah menunjukkan hasil antaranya peningkatan pihak luar yang berminat untuk menjalankan perniagaan.
“Sebagai contoh, Malaysia berjaya menarik sejumlah RM36 bilion pelaburan asing pada 2015 dan angka ini meningkat kepada RM59 bilion pada tahun lalu. Ini menjurus kepada perkongsian yang baik dan berkembang,” katanya.