Tuan Guru Abdul Hadi Awang bijak mengawal situasi di AWANI
Penggunaan mantiq yang tinggi hingga menyukarkan penguasaan moderator terhadap jawapan Tuan Guru.
Berhadapan dengan media, tip paling penting adalah tidak terpengaruh dengan soalan yang diberikan. Kerana orang media memang dilatih untuk memberikan soalan yang memaksa orang yang disoal menjawab mengikut rentak yang dikehendakinya.
Itu yang berlaku dalam wacana secara langsung di AWANI bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang pada saya amat bijak mengawal situasi. Permainan analoginya dengan membuat perbandingan dengan kes-kes sebelum menjawab soalan yang diajukan, ternyata memerangkap pengacara.
Lebih menarik setiap jawapan berlapikan Islam, Islam dan Islam. Ini sekali lagi mengunci mulut pengacara yang berulangkali bertanya tentang PAS. Mantiqnya mudah, jika perkara itu benar menurut Islam, maka PAS akan ikut. Ia memberikan gambaran kepada pendengar betapa kentalnya PAS mempertahankan prinsip Islam.
Mendengar suara serak basah Ayahanda Tuan Guru yang fasih menjawab satu demi satu soalan dengan senyuman, mengundang sebak di dada. Bagaimana sosok tua ini begitu teguh menahan cacian daripada mereka yang membencinya. Apakah kekuatan yang ada dalam diri Tuan Guru hingga menjadikannya kalis terhadap pelbagai tohmahan dan kecaman.
Penonton Astro Awani hari ini dikejutkan dengan tokoh ini. Kalaulah Allah takdirkan Tuan Guru dibangkitkan dalam kalangan orang Arab atau Eropah, dia sudah menjadi pemimpin dan sosok yang dihargai. Terima Kasih Tuhan kerana mengutuskannya dalam kalangan kami, Melayu Muslim rakyat Malaysia.
Teruskan wacana seperti ini dalam masa 5 tahun lagi, islam pasti menyinar lebih terang. PRU 15 akan memberikan jawapan berbeza.