Pulau Redang Jadi Lubuk Maksiat, 23 Orang Ditahan
Rakyat Malaysia sememangnya bertuah kerana negara kita mempunyai banyak pulau-pulau yang cantik. Walau bagaimanapun, adab-adab pergaulan haruslah di jaga semasa di pulau lebih-lebih lagi remaja yang pergi bercuti bersama rakan-rakan yang bebas dari pantauan keluarga.
Puluhan pasangan muda-mudi dicekup pihak berkuasa agama kerana menjadikan pulau di Terengganu ini sebagai tempat untuk melakukan kegiatan maksiat.
Dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) seramai 23 individu, 13 lelaki dan selebihnya wanita yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 39 tahun telah ditahan.
Wakil media yang turut mengikuti operasi tersebut mendapati mereka yang ditahan memberi pelbagai alasan untuk melepaskan diri termasuk mendakwa telah bertunang dan akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi dan ada juga mendakwa mereka adik beradik, namun menukar pengakuan apabila kad pengenalan diperiksa.
Malahan dalam serbuan di Pulau Redang pada Jumaat malam hingga pagi Sabtu lalu, seorang wanita didapati sanggup berada bersama tiga orang lelaki di dalam sebuah bilik.
Seramai 21 orang akan didakwa di bawah Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat dan dua orang lagi di bawah Seksyen 34 enakmen yang sama kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.
Mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim memberitahu Bernama JHEAT akan sentiasa melakukan pemantauan aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam di pulau-pulau di Terengganu dari semasa ke semasa.
“Jangan cuba jadikan pulau-pulau di Terengganu sebagai lokasi untuk golongan muda melakukan maksiat bagi mengelakkan diri daripada dicekup oleh pihak berkuasa. Tindakan sedemikian hanya akan memburukkan imej pulau di Terengganu,” katanya.
Beliau turut menyeru supaya ibu bapa mengawasi dan memberi perhatian kepada pergerakan anak-anak mereka agar tidak sewenang-wenangnya pergi ke pulau-pulau bersama-sama rakan yang bukan muhrim yang mampu mendorong berlakunya perkara menyalahi undang-undang Syariah.