Dalam fikiran, alangkah baiknya jika siang tiada kerana susahnya hati hendak berdepan dengan manusia. Begitulah keadaan orang yang berhutang. Hatinya tidak tenang. Lebih dibimbangi lagi jika hutang masih tidak lunas semasa ajal menjemput. Lalu, sekuat hati berharap masalah hutang dapat diselesaikan. Pelengkap membayar hutang sudah tentulah dengan kemurahan rezeki. Setiap masa berharap Allah memurahkan rezeki. Berikut adalah beberapa langkah untuk menyelesaikan hutang dan memurahkan rezeki.
1. Doa
Perkara pertama ialah berdoa. Berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar hutang yang ada mudah untuk diselesaikan. Bacalah doa setiap kali selepas solat.
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Mu dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”
2. Mengerjakan Solat-Solat Sunat
Solat-solat sunat merupakan solat tambahan kepada solat fardhu kita. Ia bukan sahaja dilakukan oleh Rasulullah, malah orang-orang soleh juga melakukan amalan yang sama. Solat sunat amat penting untuk memberi banyak manfaat di akhirat kelak. Antara solat sunat yang dianjurkan ialah solat tahajud dan solat sunat dhuha dan ada lagi solat sunat yang lain.
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya pada waktu malam, terdapat satu waktu tiadalah hamba yang Muslim membetulinya dengan berdoa meminta kebaikan kepada Allah kecuali dikurniakan kepadanya yang demikian itu setiap malam.” (Riwayat Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) :
“Setiap tulang sendi seseorang menjelang pagi memerlukan sedekah. Untuk itu, setiap tasbih itu adalah sedekah, tiap-tiap tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah. Semua perbuatan itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.” (Riwayat Abu Dzar)
3. Mengelakkan Diri Daripada Mencipta Hutang Baru
Jika mahu melangsaikan hutang yang ada, prinsipnya adalah dengan tidak mencipta atau menambah hutang baru. Ini untuk memudahkan langsaian hutang yang lama dan tidak menambah beban baru kepada diri anda.
Selain itu, pastikan perbelanjaan anda tidak melebihi pendapatan anda. Ada kehendak yang tidak perlu dituruti. Buat satu bajet atau senarai perbelanjaan. Letak satu jumlah untuk pembayaran semula hutang anda dalam tempoh tertentu dan konsisten dalam pembayaran.
Buat perbincangan pengurusan pembayaran hutang anda dengan pihak yang memberi hutang sekiranya anda mengalami masalah pembayaran.
4. Berusaha Mencari Rezeki Yang Halal
Doa perlu seiring dengan usaha anda dalam mencari rezeki. Anda mesti cari sumber dan rezeki yang halal untuk membayar hutang anda dan untuk menampung keperluan anda sekeluarga.
Jangan mudah terpedaya dengan kekayaan yang datang dari sumber yang diragui, diperolehi dengan jalan menipu dan menganiaya, atau jelas dari sumber yang haram.
Walaupun anda terdesak memerlukan wang, itu tidak bermakna anda harus mengikuti jalan yang dibenci Allah. Hal ini kerana, keberkatan rezeki adalah lebih penting berbanding memilkinya.
Rezeki yang tidak halal memberi kesan bukan sahaja kepada diri yang semakin jauh daripada Allah, hilang ketenangan, asyik berasa kurang, malah meragut keharmonian keluarga.
5. Memperbanyakkan Kebaikan
Jagalah dan berbuat baiklah kepada ibu bapa. Besar pahala melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Begitu juga dengan meringankan tulang membantu mereka yang memerlukan.
Bantulah mereka yang memerlukan dengan ikhlas, besar ganjaran pahalanya. Mungkin ada jiran yang memerlukan bantuan, seorang lelaki buta yang hendak melintasi jalan, membuang tin minuman yang dibuang di tepi jalan, atau kanak-kanak yang terjatuh semasa menunggang basikal.
Apabila anda ke masjid, masukkan sedikit wang ke dalam tabung masjid sebagai sedekah. Walaupun pmberian anda sedikit, tapi besar nilainya bagi mereka yang memerlukan dan besar maknanya untuk usaha dakwah. Jadilah manusia yang baik pada pandangan Allah SWT.
6. Menambah Istighfar Dan Zikir
Tiada manusia yang lepas daripada kesilapan. Namun, itu tidak bermakna tiada pengampunan daripada Allah. Malah, pintu keampunan amat luas untuk umatNya yang melakukan kesilapan dan dosa. Kita tidak mahu jarak anatara kita dengan Allah menjadi jauh kerana dosa yang kita lakukan.
Perbanyakkanlah istighfar dan memuji Allah dengan zikir. Selain itu, bacalah Al-Quran sebaik-baiknya setiap kali selepas solat. Bukan sahaja kita memperolehi pahala, malah diri akan berasa tenang dengan membaca kalimah Allah SWT.