Setelah 6 Bulan Di Arahkan Tutup, Pulau Boracay Kini Kembali Dibuka
MANILA: Pusat peranginan terkenal, pulau Boracay Filipina kini dibuka semula kepada pelancong dengan peraturan baru yang lebih ketat.
Pulau yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia itu ditutup selama enam bulan bagi membaiki kerosakan akibat kebanjiran pelancong yang tidak terkawal.
Mengikut peraturan baru, pelancong akan dihadkan tidak lebih 19,200 untuk ke pulau itu pada satu masa. Kerajaan Manila cuba mencapai sasaran itu dengan mengawal bilangan bilik hotel yang sedia ada.
Hampir 400 hotel dan restoran yang dianggap melanggar undang-undang alam sekitar tempatan sudah diarah tutup dan syarikat penerbangan serta feri diberitahu untuk mengehadkan perkhidmatan ke kawasan itu.
Pesta ‘LaBoracay’ yang menarik puluhan ribu pelancong telah dilarang di pulau itu. Para pelancong juga dilarang merokok atau meminum minuman keras di tempat awam. Hal ini kerana kerajaan mahu mengembalikan semula keadaan pulau itu seperti sebelumnya.
Pada April lalu, Pulau berkenaan ditutup sebagai usaha besar-besaran bagi memulihkan kemudahannya. Selain itu mengekang pembangunan yang melampau sehingga digelar ‘loji kumbahan’. Hal ini berlaku akibat sikap tidak bertanggungjawab pemaju-pemaju, pemilik hotel dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Kesemua langkah ini bertujuan melindungi keindahan laut dan kualiti pasir pantai yang dikatakan antara faktor yang menggamit jutaan pelancong setiap tahun.
Minggu lalu, setiausaha Pelancongan, Bernadette Romulo-Puyat, berkata beliau berharap imej pulau Boracay yang baharu itu akan membuka ‘budaya pelancongan lestari’ di Filipina.
Sumber : Berita Harian