Richard Branson melabelkan Donald Trump Seorang Pendendam
Richard Branson adalah pengasas Virgin Group, sebuah kumpulan pelaburan antarabangsa utama dan salah satu jenama paling terkenal serta dihormati di dunia. Virgin sudah mewujudkan lebih daripada 400 jenama syarikat di seluruh dunia dan mempunyai 60,000 kakitangan, beroperasi di 50 negara.
Richard Branson memuji negara China yang memimpin usaha menangani perubahan iklim dunia dan pemeliharaan alam sekitar.
“Saya bagaimanapun bersyukur kerana China kini muncul dan mengambil alih kepemimpinan dalam membantu alam sekitar, bermula dari negara mereka sendiri.
“Saya fikir, jika dunia boleh bekerjasama, kami boleh membantu seluruh dunia,” katanya pada sesi bertajuk Transformasi dan Kepimpinan Perniagaan: Perjalanan Virgin pada Forum Transformasi Global (GTF) di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau bagaimanapun menzahirkan kekecewaan kerana Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang setakat ini enggan mengiktiraf perubahan iklim sebagai antara isu global yang perlu ditangani bersama.
“Adalah luar biasa kerana dengan semua bukti sains yang ada pada kami, Trump masih enggan melihat (kepentingannya).
Seorang Pendendam
Mengulas mengenai kepemimpinan presiden baharu AS itu, Branson berkata, beliau sedih kerana Trump kini memegang jawatan terpenting dan paling berkuasa di dunia.
“Saya tidak perlu berfikir panjang untuk bercakap mengenai Trump, kerana secara peribadi saya tahu beliau seorang individu yang pendendam.
“Saya pernah makan malam bersamanya sekali dan beliau berkata ada lima individu yang tidak membantunya ketika muflis dan bagaimana dia akan menghabiskan masa untuk menghancurkan hidup mereka.
“Jadi, saya fikir Trump seorang individu yang bahaya dan adalah menyedihkan kerana beliau sekarang ini berada dalam jawatan yang amat berkuasa dan penting,” katanya.
Terbit Majalah
Trump meninggalkan alam persekolahan pada usia 16 tahun untuk memulakan perniagaan pertamanya, menerbitkan majalah Student.
Pada hari terakhir persekolahan, pengetuanya memberitahu Branson, yang mengidap disleksia dan seorang pelajar yang lemah, bahawa dia akn ‘berakhir di penjara atau menjadi seorang jutawan’.
Hari ini, beliau dianggarkan bernilai AS$5.2 bilion (RM23.15 bilion) dengan Virgin Group mempunyai perniagaan dalam bidang penerbangan, muzik dan penerokaan angakasa.