Proton Saga Black Knight Cipta Sejarah Menjadi Kereta Pameran di Royal Automobile Club London
Tak pernah terlintas di fikiran yang Proton Saga kini dipamerkan di Royal Automobile Club (RAC), London.
Kelab penggemar permotoran ekslusif yang terletak di tengah-tengah kota London ini bukan untuk calang-calang orang , ya! Hanya ahli-ahli berdaftar sahaja yang boleh masuk.
Proton Saga Black Knight itu kini menghiasi Ruang Rotunda iaitu pintu masuk utama kelab tersebut. Kereta rare ini akan dipamerkan selama 2 minggu kerana sudah menjadi kelaziman RAC untuk menukar kereta pameran setiap dua minggu.
“Penganjur Hagerty’s Festival sendiri telah berhubung terus dengan saya bagi menawarkan Proton Saga ini untuk dipamerkan. Ianya (RAC) merupakan satu lokasi yang sangat eksklusif dan suatu pencapaian bersejarah untuk Proton,” jelas pemiliknya, Jon Coupland.
Kenapa Proton Saga Black Knight Dipilih ?
Proton Saga ini bukanlah calang-calang. Ia merupakan satu-satunya kereta Proton Saga Black Knight yang masih bergerak pada hari ini. Kereta model ini juga difahamkan hanya terdapat 201 unit di atas muka bumi !
Lebih istimewa lagi, kereta Proton Saga 1989 ini telah dinobatkan sebagai juara Concours de l’Ordinaire di Hagerty’s Festival of the Unexceptional 2021 yang berlangsung di Lincolnshire, United Kingdom.
Ia juga bukanlah model biasa, sebaliknya 1.5 GL Black Knight Edition adalah model istimewa yang dieksport khas oleh Proton ke negara itu lebih 3 dekad lepas.
Proton Saga milik Coupland ini sememangnya cantik dan dijaga dengan rapi. Nampak macam baru beli !
“Saya menjadi peminat kereta sejak kecil lagi dan baru membeli Proton ini pada 2019. Saya sangat berbesar hati apabila dipelawa untuk ke festival ini. Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menjadi pemenang dalam penyertaan pertama saya!”, ujar Coupland ketika dinobatkan sebagai pemenang pada tahun lepas.
Ciri-ciri Proton Saga Black Knight ini hampir sama dengan Proton Saga 1.5 GL biasa, tetapi Black Knight mempunyai beberapa aksesori tambahan iaitu penutup rim unik, pelekat badan khas, dan spoiler. Yang menariknya, warna badan Black Knight bukanlah hitam, tetapi lebih kepada gunmetal grey.
Menurut Coupland, pemilik asal menyimpan kereta itu sejak 1993 kerana kurang sihat, dan ia hanya memiliki perbatuan (mileage) sekitar 3,600 batu (5,794km).
Saga itu kemudiannya tersadai hingga 2017 sebelum dijual kepada pemilik sebelumnya dan ia dipandu lagi kira-kira 10,000 batu (16,093km).
Kini Coupland memandunya sekali-sekala untuk dipertontonkan di acara-acara seperti Hagerty’s Festival of the Unexceptional.
Pencapaian ini sememangnya patut dibanggakan dan merupakan detik bersejarah yang patut diingati. Jika dilihat senarai kereta yang pernah dipamerkan di sini antaranya adalah Aston Martin Vantage Volante 1966, Alfa Romeo 6C 1750, Mercedes-Benz 300SL Roadster malah jentera Formula 1 Mercedes W10 EQ Power.