Polis Sita Aset ‘Influencer’ Akibat Sering Tayang Kekayaan di Media Sosial
Trend menunjukkan kekayaan di media sosial bukanlah perkara baru pada zaman ini. Orang sebegini dikatakan lebih cenderung untuk dihormati warganet kerana kejayaan yang dimiliki. Secara tidak langsung, golongan ini juga akan mengajak pengikut mereka untuk ikuti jejak langkah dan ‘bisnes’ mereka untuk turut berjaya.
Namun kekayaan yang dipamerkan makan tuan apabila seorang influencer dari Indonesia yang dikenali sebagai Doni Salmanan ditahan oleh pihak Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia.
Polis Sita Aset ‘Influencer’ Bernilai RM 18.7 Juta
Menerusi operasi tersebut, difahamkan aset Doni Salmanan dianggarkan bernilai 64 bilion rupiah (RM 18.7 juta) hasil penglibatannya dalam skim penipuan Quotex dirampas.
Memetik Tribunnews, Pengarah Siber badan itu, Asep Edi Suheri berkata, nilai tersebut melibatkan rampasan sebanyak 97 aset dan barang berharga milik Doni Salmanan.
Antara rampasan yang terlibat termasuk wang tunai berjumlah 3.3 bilion rupiah (RM 968,000), dua buah rumah di wilayah Candra Asih, Kota Baru Parahyangan dan Soreang Banjaran, Bandung.
“Ada dua bidang tanah yang masing-masing mempunyai keluasan pertama 0.05 hektar di Candra Asih, manakala, tanah seluas 0.04 hektar di Soreang Banjaran.
“Pihak polis juga merampas 18 unit kenderaan motosikal pelbagai jenama seperti Ducati, Kawasaki, Honda dan Yamaha,” katanya.
Menurut Asep, pihak polis turut menyita enam kenderaan mewah seperti Lamborghini, Porsche, BMW, Toyota Fortuner dan Honda CRV.
“Kita juga menyita 27 dokumen seperti sijil hak milik, buku simpanan bank, kad debit ATM. Turut dirampas adalah 20 peranti elektronik seperti telefon bimbit, kad sim, komputer riba dan IPAD,” katanya.
Asep berkata, sebanyak 22 jenis pakaian dari pelbagai jenama mewah seperti Hermes, Dior dan Canali turut dirampas.
Doni Salmanan Mohon Maaf
Berikutan penahanan yang dibuat oleh pihak polis, Doni Salmanan dilihat turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh warga Indonesia.
“Saya ingin meminta maaf kepada seluruh masyarakat Indonesia yang telah mengenal dunia trading baik, binary option atau forex, crypto dan sebagainya,” kata Doni Salmanan di Gedung Bareskrim pada Selasa lepas.
‘Skim pelaburan’ yang dijalankan secara besar-besaran ini ternyata telah merugikan ramai orang. Dikhabarkan terdapat individu yang kerugian sehingga 380 juta rupiah (RM111,500) berikutan terpedaya dengan skim penipuan yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda.
Malah, terdapat juga wanita hamil yang kehilangan berat badan sehingga 12 kilogram berikutan terjerat dengan pinjaman dalam talian kumpulan ini.
Polis Indonesia Giat Buru Influencer
Sebelum kes Doni Salmanan menjadi hangat, Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia turut merampas aset mencecah 57.2 bilion (RM16.7 juta) seorang influencer yang dikenali sebagai Indra Kenz melibatkan kes penipuan pelaburan menerusi aplikasi Binomo.
Berikutan serbuan yang dilakukan terhadap influencer, Ahmad Saroni selaku wakil polis Indonesia memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedia memburu lebih ramai individu yang terlibat dengan skim pelaburan yang menyebabkan kerugian besar orang ramai.