Ceria Namun Mengancam Keselamatan Orang Awam, Pesta Layang-Layang Pakistan Tetap Disambut Tahun Ini


Pada hari Jumaat lepas, ratusan warga muda berkumpul di atas bumbung bangunan bandar Rawalpindi untuk terbangkan layang-layang sempena Pesta Layang-Layang Pakistan meskipun perayaan ini sudah diharamkan sejak tahun 2007.

Punca Pesta Layang-Layang Pakistan Diharamkan

Warga Pakistan diharamkan untuk sertai pesta berdarah ini kerana telah menyebabkan kecederaan orang ramai. Berbanding layang-layang biasa, penyambut tegar pesta ini menjadikan hari Basant sebagai alasan untuk berlawan sesama sendiri.

Penerbang dilihat telah menggunakan bahan-bahan berbahaya seperti besi, serbuk kaca dan tali yang direndam dengan asid serta wayar piano. Tindakan ini telah menyebabkan kecederaan pengguna jalan raya dan orang awam. Ramai yang tercedera akibat tali yang digunakan sehingga ada penunggang motorsikal yang terkelar lehernya.

Selain peluru sesat, layang-layang yang ditembak jatuh ke tanah juga mencetuskan kesulitan kepada orang awam. Namun, risiko padah yang boleh dihadapi orang ramai tidak menghentikan sambutan Basant, Pesta Layang-Layang Pakistan yang dirayakan sempena ketibaan musim bunga.

Perayaan Layang-Layang Pakistan mengundang tragedi berdarah

Perayaan Basant pernah dijulang oleh bekas presiden Pakistan, Pervez Musharraf yang menjadikan perayaan ini sebagai sambutan kebangsaan suatu ketika dahulu.

“Pesta ini mengancam nyawa dan tidak releven untuk disambut, namun golongan muda Pakistan tetap menyambutnya akibat hiburan yang terhad,” ulas Raja Rameez, ahli farmasi muda yang telah mempelawa beberapa orang untuk menyaksikan pesta ini dari atas bumbung rumahnya.

1,500 pegawai polis telah dikerahkan bagi mengawal Pesta Layang-Layang haram ini. Sekumpulan pemain layang-layang turut berjaya diberkas dan disumbatkan ke dalam van polis akibat ingkar.

Menurut pihak berkuasa, hampir 220 warga muda tempatan telah ditahan dan mereka boleh dikenakan saman sehingga 100,000 rupees (anggaran RM 2,400).

“Sambutan Basant merupakan cabaran buat kami kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai” kata Waseem Riaz, pegawai polis yang berpengalaman dalam mencegah sambutan ini daripada terus berleluasa.

Pesta layang-layang Pakistan memerlukan kawalan polis

Pesta Layang-Layang Pakistan Pernah Popularkan Bandar Lahore

Bandar kedua terbesar di Pakistan, Lahore sering menjadi tumpuan bagi perayaan Basant setiap tahun. Suatu ketika dahulu, ia pernah menjadi tarikan pelancong terbesar di negara tersebut.

Sempena perayaan ini, kereta api khas turut disediakan dan hotel-hotel di sekitar Lahore juga padat dengan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Acara ini turut mempromosikan Lahore sebagai pusat budaya negara dan mendorong warga tempatan untuk menyewakan atap rumah mereka untuk digunakan sempena pesta ini.

Sehinggalah Pesta Layang-Layang ini diharamkan, perayaan Basant bertukar menjadi sambutan keluarga secara kecil-kecilan. Perempuan muda biasanya akan memakai pakaian serba kuning bagi menyambut ketibaan musim bunga sempena perayaan Basant.

Memandangkan negara ini secara majoritinya berpegang kepada ajaran Islam, Pesta Layang-Layang Pakistan ini juga turut ditegah kerana membawa pengaruh pagan atau Hindu.

pesta layang-layang pakistan kini diharamkan

“Pesta ini semakin terkubur dan tidak disambut meriah seperti zaman muda kami. Kemungkinan besar anak-anak saya tak akan rasai kegirangan sambutan hari Basant pada masa hadapan. ” kata Murad Alam, seorang lelaki yang turut menyaksikan pesta ini bersama anak-anaknya dari bumbung rumah.

Dilaporkan seramai 65 orang tercedera dalam sambutan Basant pada tahun ini. Menerusi laporan media tempatan, ramai orang awam yang mengalami kecederaan dari peluru yang digunakan untuk menembak layang-layang. Seorang kanak-kanak juga dilaporkan terjatuh dari bumbung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat