Perumahan Atas Mall : Kemajuan Pembangunan atau Simbol Pengasingan Strata Sosial ?
Secara fitrahnya rumah berdiri di atas tanah. Tetapi lain pula ceritanya dengan perumahan atas mall yang ada di Jakarta ini.
Ia bukanlah apartment, tetapi perumahan sebenar seperti yang kita biasa lihat dengan garaj, laman dan fasiliti serta jalan yang ditar.
Yang membezakan perumahan ini dengan perumahan landed hanyalah kedudukannya yang terletak rooftop mall. Kawasan perumahan kayangan ini dinamakan Cosmo Park. Ia berdiri gah di tingkat tertinggi Thamrin City Mall, Jakarta.
Jika dilihat dari atas, ia tidak ubah seperti kebanyakan kawasan perumahan yang kita lihat dengan rekaan serta susunan rumah yang seragam.
Perumahan di awangan ini pasti akan mengingatkan anda kepada beberapa filem bertema futuristik dengan latar masa abad ke-22. Contohnya latarbelakang masyarakat dalam filem Reminiscence, Alita dan Elysium.
Kita dapat lihat golongan kaya dapat tinggal di kawasan yang tinggi manakala yang miskin dibiarkan tinggal di darat dengan masalah paras air laut yang meningkat akibat perubahan cuaca ekstrim di Bumi.
Perumahan Atas Mall Serba Lengkap dan Tawarkan Suasana Damai
Berbalik kepada tajuk kita, kawasan perumahan atas mall ini juga dilengkapi dengan fasiliti lain seperti kolam renang, pasar mini dan tennis court.
Cosmo Park sebenarnya sudah dibina pada 2009 namun hanya mula diketahui warganet selepas 10 tahun apabila gambar perumahan elit yang diambil menggunakan drone mulai tular di media sosial sekitar tahun 2019.
Pemilik kediaman Cosmo Park amat sukakan suasana perumahan terasing ini yang lebih selamat, ada privasi.
Tidak perlulah mereka tinggalkan kota Jakarta yang sering sesak dan riuh akibat populasi yang terlalu ramai. Mereka juga bebas untuk beraktiviti seperti biasa contohnya berkebun, jogging, dan menaiki basikal.
Rumah dua tingkat dengan senibina moden ini dijual dengan harga 6 billion Rupiah (anggaran RM 1.75 juta). Ini merupakan harga pada tahun 2020 dan dijangka lebih tinggi sekarang.
Selain Cosmo Park, sebuah lagi kompleks perumahan mewah dan dan turut viral di media sosial ialah The Villas yang terletak di atas Mall of Indonesia Kelapa Gading, Jakarta Utara.
The Villas pula menawarkan kediaman 3 tingkat mewah dengan senibina yang lebih elegan dan klasik. Ia juga cukup luas dengan perkarangan rumah serta garaj tempat letak kereta.
Sejak kedua-dua perumahan atas mall ini menjadi bualan warganet, konsep perumahan kayangan atas bangunan tinggi menjadi sebuah topik yang mencetuskan kontroversi.
Parasite Versi Indonesia ? Perumahan Atas Mall Jadi Buah Mulut Netizen
Selain mempersoalkan struktur perumahan sama ada kukuh atau tidak bila dilanda gempa bumi, netizen tidak dapat menidakkan hakikat bahawa perumahan unik ini boleh menjadi titik pemula untuk mengasingkan ahli masyarakat berdasarkan status masing-masing.
Tidak mustahil jika suatu hari nanti sosioekonomi akan terbahagi mengikut ketinggian rumah dari tanah. Barulah betul istilah ‘kayangan’ yang sering digelar netizen kepada golongan berstatus elit dalam masyarakat.
Jika pembahagian rumah diteruskan mengikut strata masyarakat pada masa akan datang, sudah tentu rakyat miskin akan tinggal di atas tanah dan dipandang hina. Generasi yang kaya pula barangkali tidak akan pernah jejak tanah pun sejak dari lahir.
Sama seperti filem Parasite yang jelas membezakan strata sosial melalui gaya hidup dan rumah yang didiami, inilah realiti kehidupan yang boleh kita lihat di Jakarta sendiri.
Adakah jurang sosial akan menjadi lebih ketara pada zaman akan datang ? Hanya waktu yang boleh tentukan.
Apapun perspektif netizen terhadap rumah kayangan ini, konsep perumahan atas mall mungkin boleh jadi solusi bagi masalah keluasan tanah yang terhad di Jakarta.
Menurut Pengarah Eksekutif Jakarta Property Institute, Wendy Haryanto, ini merupakan cara baik untuk menggunakan keluasan tanah sebaiknya di kota metropolitan ini.
Cara ini dapat memaksimakan keluasan tanah terhad melalui pembinaan bangunan fasiliti di bawah seperti bas terminal atau pasar di bahagian bawah kemudian bina perumahan kos rendah di atasnya.
Ini akan menjadi penyelesaian win-win di dengan meningkatkan kebolehpasaran kediaman mampu milik yang menguntungkan pemaju dan pembeli setempat.
Jakarta Bakal Tenggelam ? Perumahan Atas Mall Mungkin Solusinya
Selain isu jurang sosial yang jelas dengan kewujudan perumahan atas mall ini, netizen turut risau dengan struktur bangunan yang dikhuatiri terlalu berat untuk ditampung.
Ditambah pula dengan hakikat bahawa Jakarta akan tenggelam menjelang tahun 2050, perancangan bandar perlulah mengambil isu perubahan cuaca yang semakin serius saban tahun.
Dengan populasi seramai 10 juta orang, Jakarta mungkin perlu bina lebih banyak lagi perumahan atas mall atau bangunan lain. Masalah banjir kilat yang sering melanda bandar ini juga membuatkan ia tidak lagi sesuai untuk dihuni di darat dalam jangka masa panjang.
Warga dunia juga pasti maklum tentang pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Nusantara, Kalimantan Timur yang diumumkan oleh Presiden Jokowi beberapa tahun lepas.
Dilaporkan, pembangunan Nusantara memakan bajet sebanyak US$35 billion atau 466 trillion rupiah. Projek pembangunan mega ini djangka akan mula pada tahun ini sebaik sahaja rang undang-undang ibu negara itu telah diluluskan oleh parlimen.