16 September 1963 Penubuhan Malaysia – Daily Rakyat

16 September 1963 Penubuhan Malaysia


Penubuhan Malaysia 1963

Tarikh 16 September 1963 adalah detik yang bersejarah. Penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia.

Bermula melalui cadangan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, pada 27 Mei 1961, disusuli Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu di Singapura pada 23 Julai. Hasil daripada mesyuarat itu, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia telah ditubuhkan dan dipengerusikan Tun Mohammad Fuad Stephens.

penubuhan malaysia

Ia berperanan menjelaskan konsep Malaysia kepada rakyat termasuk di Sabah, Sarawak dan Brunei. Siri mesyuarat berlangsung mulai Ogos 1961 hingga Februari 1962 di Sabah, Sarawak dan Singapura.

Suruhanjaya Cobbold

Pada 17 Januari 1962 Suruhanjaya Cobbold dibentuk dan dipengerusikan Lord Cobbold. Keahliannya ialah Wong Pow Nee, Mohd Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston menjadi wakil kerajaan British.

Suruhanjaya itu meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia. Dari Februari hingga April 1962, Suruhanjaya Cobbold menemui lebih 4,000 orang dan menerima 2,200 memorandum pelbagai pihak.

80 peratus rakyat Sarawak dan Borneo Utara menyokong penubuhan Malaysia dan menerima pakai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Agama Islam juga diterima sebagai agama rasmi Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Penubuhan Malaysia

Suruhanjaya Cobbold juga mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK), Persekutuan Tanah Melayu ditukar kepada Persekutuan Malaysia. Kuasa autonomi dan jaminan khas dalam beberapa perkara diberi kepada Sabah dan Sarawak serta kedudukan istimewa kaum peribumi Sabah dan Sarawak.

Rakyat Sabah dan Sarawak juga mengkaji beberapa tuntutan yang munasabah untuk menjaga kepentingan mereka sebagai Bumiputera sebelum menyertai Malaysia. Tuntutan ini dikenali 20 Perkara Sabah dan syarat Borneo Utara menyertai Malaysia.

Penentangan Penubuhan Malaysia

Pembentukan Malaysia berdepan pelbagai cabaran dengan penentangan dimulakan pada 1962 oleh A M Azhari, pemimpin Parti Rakyat Brunei dan perisytiharan konfrontasi oleh Indonesia melalui Presiden Sukarno.

Penubuhan Malaysia

Di Manila, ada tuntutan supaya Sabah dikembalikan kepada Filipina dengan alasan wilayah itu milik keturunan Sultan Sulu yang memeterai perjanjian dengan Kerajaan British pada 1878.

Pada 21 Jun 1962, laporan Suruhanjaya Cobbold disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan Tanah Melayu.

Tunku Abdul Rahman membentuk jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu. Beliau mempengerusikan jawatankuasa yang dianggotai Tun Abdul Razak, Tan Siew Sin, Datuk Dr Ismail Abdul Rahman dan Datuk V T Sambanthan.

Pada 9 Julai 1963, perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.

Perjanjian ditandatangani wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura dengan persetujuan dicapai untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963.

Tentangan berterusan Filipina dan Indonesia, memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menghantar misi ke Borneo pada 1963 bagi menjelaskan pandangan majoriti rakyat yang menyokong penubuhan Malaysia.

Perisytiharan Malaysia

Upacara perisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963, dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Perisytiharan penubuhan Malaysia dibacakan Tunku Abdul Rahman di hadapan lebih 30,000 rakyat yang turut meraikan hari bersejarah itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Terkini @ Daily Rakyat