Tunggu Adik Beradik Jemput Tak Kunjung Tiba, Pelajar Tahfiz Kehilangan Kakak, Adik & Abang Sekelip Mata
Dalam hidup ini, selain sentiasa bersedia dengan kematian, kita juga perlulah sentiasa bersedia dengan kehilangan. Kehilangan harta benda dan kehilangan orang tersayang. Tidak kiralah kehilangan tersebut disebabkan seseorang itu berlaku curang ataupun nyawanya tidak panjang.
Namun kehilangan kerana kematian yang tiba-tiba ini sungguh menyakitkan, berhadapan dengan situasi bahawa insan tersayang pergi selamanya merupakan detik-detik yang cukup berat untuk diterima.
Lebih-lebih lagi jika sebelum itu kita sudah bersua muka ataupun bermesej. Lebih sakit lagi apabila kita menanti untuk bertemu dengan insan tersayang namun penantian tersebut berakhir dengan penemuan yang kaku.
Tunggu Adik Beradik Jemput Tak Kunjung Tiba, Pelajar Tahfiz Kehilangan Kakak & Abang Sekelip Mata
Seperti mana yang berlaku kepada seorang pelajar Tahfiz, di mana penantian kegembiraanya berakhir dengan tragedi yang memilukan apabila adik beradiknya terlibat dalam kemalangan. Tragedi itu berlaku sewaktu abang, kakak dan dua adiknya dalam perjalanan menjemputnya di sebuah pusat tahfiz.
Nurul Syafiqah Yusri sepatutnya pulang ke kampung halamannya di Kulai, Johor bersama-sama dengan adik beradiknya. Namun sejak dari pagi menunggu, masih tidak kelihatan insan yang disayanginya.
Sehinggalah pada jam 10 pagi, pakcik saudaranya tiba-tiba datang di Jerantut dan memberitahu bahawa 3 adik beradiknya sudah tiada.
“Saya menghubungi keluarga Sabtu lepas untuk meminta dijemput hari ini. Sejak pagi saya sudah bersiap menanti kehadiran kakak dan abang, tetapi tiba-tiba pakcik yang sampai pada 10 pagi dan beritahu mereka sudah tiada”, katanya semasa ditemui BERNAMA di perkarangan Unit Forensik di Hospital Jengka di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian yang cukup menyebakkan itu, abang Nurul Syafiqah, Ahmad Basyir, 27, kakaknya, Siti Fatimah, 20, dan adiknya, Saiedah, 15, maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas di Lebuhraya Pantai Timur Satu (LPT1) pada Sabtu lepas.
Turut terlibat dalam kemalangan tersebut adik bongsu Nurul Syafiqah, Adawiyah, 11 tahun yang cedera parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh. Menurut Nurul Syafiqah, jenazah adik beradiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 11.
Bapa saudara mangsa iaitu Muhatair Muhammad, 40, turut menyifatkan semua anak saudaranya itu anak yang baik dan sangat rapat antara satu sama lain. Manakala kali terakhir mereka bertemu adalah tiga hari sebelum kejadian.
Kejadian dan ujian yang cukup berat buat Nurul Syafiqah kerana kehilangan 3 orang sekaligus daripada 8 adik beradik. Penantian yang disangka bahagia bertukar duka pasti meninggalkan kesan yang teramat dalam di dalam hatinya.
Apa pun semoga Nurul Syafiqah diberikan kekuatan emosi, mental dan fizikal. Semoga juga adik ini dikuatkan hati dan menerima semua ini dengan hati yang tabah dan redha. Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.
Sumber: BERNAMA
Baca juga: Tiada Latar Belakang Pengajian Agama, Amin Idris Minta Berhati-hati Dengan Ustazah Viral