Nama – Nama Pulau Pelik di Malaysia
Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai tempat yang unik dan pelik. Mungkin juga ramai yang tidak tahu yang negara kita juga mempunyai nama – nama pulau pelik dan unik. Jom kita semak senarai nama pulau – pulau yang sangat unik dan pelik ini.
Pulau Babi Tengah
Pulau Babi Tengah atau kenali juga sebagai Pulau Tengah adalah pulau milik persendirian. Ia terletak 9 batu nautika dari luar pantai Mersing di Laut China Selatan di luar kawasan pantai timur Johor. Mengambil masa kira-kira 30 minit dari jeti bot Mersing. Pada sekitar tahun 70-an, pulau ini terkenal sebagai kem transit pelarian Vietnam yang kemudiannya ditutup pada awal 80-an.
Pulau Babi Besar
Sekarang dipanggil Pulau Besar, ia adalah sebuah pulau di luar pantai timur Johor. Boleh diakses dengan bot dari bandar Mersing ( kira-kira 30 minit ). Titik tertinggi di pulau ini ialah 258 meter (845 kaki) dari aras laut. Pulau ini dikelilingi oleh Pulau Rawa, Pulau Sibu & Pulau Tinggi. Mempunyai ciri-ciri yang tenang, pantai yang bersih, pasir putih dan air biru jernih.
Pulau Kentut Besar/Kentut Kecil
Kedua dua pulau ini terletak di perairan Pulau Langkawi. Pulau ini merupakan 2 diantara lambakan gugusan pulau yang berada di situ dengan pemandangan yang menarik, pantai pasir putih dan air biru yang sangat jernih.
Pulau Susu Dara
Terletak berhampiran dengan Pulau Perhentian. Di sekitar pulau ini terdapat gugusan pulau kecil iaitu Pulau Susu Dara Besar, Pulau Susu Dara Kecil dan Pulau Tokong. Kebiasaannya pelancong – pelancong yang tinggal di Pulau Perhentian akan dibawa kesini untuk snorkeling.
Pulau Bohey Dulang
Salah satu pulau yang sangat popular di Taman Marin Tun Sakaran di kawasan perairan Semporna, Sabah. Bohey Dulang sangat terkenal dengan permandangan yang menakjubkan di bahagian atas puncak.
Pulau Talang-Talang
Pulau ini adalah kawasan perlindungan marin pertama Sarawak, Taman Negara Talang-Satang meliputi kawasan seluas 19.414 hektar dan telah diwartakan pada tahun 1999 untuk meningkatkan pemuliharaan penyu. Taman ini merangkumi kawasan pantai dan perairan sekitar empat pulau; Pulau Talang-Talang Besar dan Pulau Talang-Talang Kecil (terletak di luar Sematan), dan Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil (terletak di luar Santubong).
Pulau Pom Pom
Terletak di kawasan perairan Laut Sulawesi di sekitar Semporna, Sabah. Kaya dengan tumbuh-tumbuhan tropika dan dikelilingi oleh pasir putih dan perairan biru yang memukau mata memandang. Pulau kecil in mengambil masa kira-kira sejam untuk berjalan dan ia merupakan tempat perlindungan penyu yang selalu datang pada waktu malam untuk bertelur.
Pulau Bum Bum
Berkeluasan kira-kira 40 kilometer merupakan pulau kedua terbesar di Teluk Darvel yang terletak di Semporna, Sabah. Ia dihuni oleh kaum Bajau Laut, sebuah kumpulan etnik peribumi tradisional yang tinggal di laut. Hanya 40,000 penduduk yang menetap di pulau ini.
Pulau Timba Timba
Pulau ini merupakan salah satu gugusan pulau kecil yang terletak di kawasan perairan Semporna, Sabah.
Antara tarikan popular di sini ialah satu garisan pemisah laut yang boleh dilihat dengan begitu jelas. Warna biru gelap dan warna biru terang seakan-akan terpisah dengan kemas dalam satu jajaran lurus.