Ramai Warganet Tampil Menjadi Saksi, Kisah Misteri Objek Di Langit 30 Tahun Lepas Kini Tular Kembali Di Media Sosial


30 tahun dahulu, Malaysia dikejutkan dengan peristiwa penampakan objek-objek aneh di langit merah pada waktu malam.

Semasa kejadian tersebut, sekumpulan pelajar sekolah agama dikatakan telah melihat bermacam-macam objek aneh di langit pada Oktober 1992.

Berlaku di Klang, pelajar-pelajar ini mendakwa telah melihat hampir 26 objek berbagai bentuk seperti kalimah Allah, mayat yang dikafan, janin bayi, kala jengking dan beberapa objek lain yang menggerunkan.

Sesetengah pelajar juga dilaporkan telah melihat objek mengerikan lain seperti manusia berkepala anjing, perempuan berkepala khinzir, sebiji mata warna merah dan banyak lagi.

dipercayai terdapat 26 Objek aneh di langit yang muncul pada malam itu

Kredit Foto : Berita Harian

Pelajar-pelajar ini menyaksikan objek-objek aneh di langit malam ketika dalam perjalanan pulang dari kelas prep. Dianggap sebagai suatu keajaiban, kejadian ini dikhabarkan berlarutan dari selama hampir 4 jam bermula 11.30 malam hingga 3.00 pagi.

Berita penampakan objek aneh ini tersebar dengan sangat pantas  dan mendapat liputan akhbar tempatan secara meluas.

Peristiwa ini sememangnya menimbulkan kegerunan luarbiasa di kalangan masyarakat lebih-lebih lagi penduduk sekitar Klang.

Orang ramai menyangka kemunculan lakaran aneh itu adalah petanda kiamat sudah teramat hampir dan akan berlaku tidak lama lagi.

 

Kejadian objek aneh di langit menggemparkan malaysia

Memetik Berita Harian, warga setempat sanggup membina tiga buah kapal besar kerana menganggap kejadian ini merupakan petanda bagi banjir besar yang amat teruk.

Akibat panik dan ketakutan, penduduk sekitar Klang tidak berfikir panjang untuk menyumbangkan duit dalam satu derma kilat sehingga ketiga-tiga kapal ini berjaya disiapkan.

Ahli agama pula berpendapat kejadian kemunculan objek aneh di langit itu tidak mustahil berlaku dengan kekuasaan Allah SWT.

JAIS Turun Padang Siasat Misteri Objek Aneh di Langit

Bagi menjawab kegusaran penduduk tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan bagi kes ini dengan menemubual 11 orang pelajar dan 4 orang guru. Laporan menunjukkan keterangan semua saksi adalah sama dan tiada sebarang percanggahan ditunjukkan.

Sekaligus, JAIS memperakui kebenaran kisah ini kepada orang ramai melalui sidang media pada 10 Oktober 1992. Hal ini menyebabkan segelintir pihak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menjual gambar objek aneh bertepatan dengan peristiwa tersebut.

Difahamkan, segelintir pelajar yang menjadi saksi kejadian ini turut mengalami trauma yang teruk. Ada yang hilang selera makan, sering ketakutan, selalu menangis dan banyak menghabiskan masa bersendirian untuk beribadah.

Justeru itu, kerajaan pada ketika itu kemudiannya mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Agama Islam dari Jabatan Perdana Menteri untuk lakukan siataan mengenai kes ini.

Hasil penyiasatan mendapati dakwaan tentang kejadian ini adalah rekaan semata-mata. Lebih mengejutkan lagi, laporan ini mengatakan apa yang disaksikan oleh 200 pelajar itu adalah khayalan mereka sahaja.

Siasatan turut menegaskan bahawa pemikiran para pelajar tersebut telah dipengaruhi oleh pendekatan pendewaan yang diajar oleh ustaz mereka.

Ustaz yang terbabit dalam kejadian tersebut dikatakan pengamal ajaran sesat dikenali sebagai ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Nuh).

Ustaz ini juga dipercayai dalang utama dalam kutipan derma bagi menyiapkan tiga buah kapal yang kononnya dibina bagi menghadapi Hari Kiamat.

Warganet Tampil Jadi Saksi Kejadian Objek Aneh di Langit

Kini selepas hampir 30 tahun, peristiwa ini diungkit kembali oleh warga media. Beberapa saksi pada malam tersebut turut tampil mendakwa bahawa kejadian tersebut adalah benar.

“Kejadian 200 pelajar berhimpun ditempat perhimpunan lewat malam di tahun 1992 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin Kg Jawa Klang.

Bersaksikan langit yang merah seakan senja pekat objek-objek membentuk di langit. Astaghfirullah…dahsyatnya fitnah selepas itu. Kami pun tidak tahu pasal ajaran sulaiman.

Ustaz, ustazah kami elok saja mengajar kami berpandukan buku-buku teks juga, kami tiada pun terlibat dengan ajaran sesat, tapi guru-guru kami disoal siasat dan kami disuruh mendiamkan diri. Allahuakbar…besar benar fitnahnya,” dakwa seorang saksi yang mengulas melalui Facebook.

Rata-rata saksi tampil kebanyakannya mengiyakan kejadian aneh tersebut dan menyifatkan dakwaan yang mengatakan ustaz mereka mengamalkan ajaran sesat adalah fitnah belaka.

netizen masih tidak boleh lupakan penampakan objek aneh di langit

Kredit Foto : Majoriti

Warganet Membidas Fakta Salah Mengenai Kemunculan Objek Aneh di Langit

Selain mengatakan ia tercetus daripada pemikiran ajaran sesat, ada juga sesetengah pihak yang mengatakan objek-objek di langit tersebut terhasil daripada laser dan hologram.

Namun, kenyataan ini juga dibidas oleh ramai warganet yang rata-rata berada dalam lingkungan usia 40 tahun.

penampakan objek aneh di langit menjadi bualan hangat netizen

“Terkesima tengok benda macam itu di langit, secara langsung depan mata. Kalau tengok sendiri mesti orang tidak percaya dan cakap kau gila kan tapi ramai-ramai.

Jadi pihak sekian-sekian kata itu ajaran sesat bagai memang fitnah. Kakak aku cerita memang jelas awan berbentuk dan bentukan awan itu macam penceritaan, ia berubah satu demi satu. MasyaALLAH untungnya mereka dapat tengok.

Ada yang kaitkan pula dengan ajaran sesat. Itulah fitnah paling besar untuk mereka. Paling lawak, ada pula muncul buat kenyataan itu semua tembak pakai laser, projektor.

Ya Rabbi. Itu belum lagi buka cerita pasal ada segelintir pelajar nampak air membeku ketika masa di bulan Ramadan, pasal dengar tumbuhan bertasbih, banyak kisah kakak aku cerita yang berlaku di Hisyamuddin zaman dulu,” kata pengguna Facebook Dino Morisette.

“Kami duduk di Kampung Jawa, memang nampak dan ia bukanlah fitnah. Siapa yang duduk di kawasan Kampung Jawa Klang ketika itu pasti nampak, bukan sahaja budak sekolah agama..” ulas salah seorang saksi melalui platform Tiktok.

Susah untuk merumuskan sama ada peristiwa ini benar-benar berlaku atau tidak ekoran percanggahan kenyataan daripada pihak JAIS dan Jabatan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, peristiwa ini kekal misteri sehingga ke hari ini dan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan di kalangan saksi kejadian aneh meskipun sudah berlaku tiga dekad lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat