Nyalakan Satu Lampu Dirumahmu
Arwah emak saya dulu membela itik jawa betina sekawan. Awal pagi emak menyuluh kedalam lau (reban) mencari telor itik. Saya dan abang diberi seorang tiga biji untuk dijual dikedai dalam perjalanan kesekolah, dapatlah 15 sen untuk bekal makan nasi lemak 10 sen dan ais kepal 5 sen disekolah. Sedih mengenangnya, tetapi itulah satu perancangan emak saya untuk pastikan anaknya ada belanja disekolah. Ayah menyimpan padi dalam kepok (setor kecil) sebagai perancangan untuk makan selama 6 bulan sekeluarga, ada jala untuk cari lauk dalam taliair. Apa jadi pun, padi masih ada untuk ditumbuk menjadi beras agar kami tidak kelaparan, ubi kayu juga ditanam dikeliling rumah.
Itu perancangan orang dulu untuk survive, kita kini lebih merancang dengan pendidikan, simpan harta, pelaburan dan sebagainya yang kearah kejayaan. Dari awal pagi telah merancang apa hendak dimakan, hendak dibeli, dimasak, merancang untuk bershopping, bersantai, beriadah dan sebagainya. Ada plan untuk harian, mingguan, bulanan bahkan tahunan untuk hidup. Itu perancangan duniawi yang begitu teliti.
Cuba kita renung, dalam perancangan hidup kita, apakah kita juga merancang peribadatan sama detailnya dengan perancangan duniawi, atau kita biarkan hanyut, ada masa buat, tidak ada masa, tinggal. Atau bila tiba masa baru buat, kalau larat, buat kalau tak larat, tinggal. Dalam jadual harian, dimana letak solat kita, kerana solat kena didulukan dari seluruh hal yang lain dan sebaiknya dibuat diawal waktu. Solat sunat mana mahu dikerjakan. Adakah kita merancang untuk bangun malam, berqiamullail dengan tidur sekejap waktu siang “berqailullah” tidur awal, atau kita hanya mengharap jika terjaga sahaja, memanglah tidak akan terjaga kerana syaitan mengunci dengan 3 kunci bila kita tidur. Jadi jika kita jujur untuk bangun malam, rancanglah untuk bangun malam, bukan sekadar niat, tetapi perancangan berserta usaha. Jangan tunggu program qiamullail, baru nak bawa tikar bantal ke masjid, nak tunggu 10 terakhir ramadan, baru nak berkampung dimasjid, nampak sangat ciri munafiknya, kepuraannya.
Rancang juga nak puasa sunat, jangan tunggu orang ajak dan peringat, berilmu tentang ibadat bukan bagai menggantung ayat quran didinding rumah sahaja.
Begitu juga perancangan untuk bersedekah jariah, jangan sampai diminta, baru nak hulur, nampak sangat bila terpaksa bari nak hulur, nampak sangat kurang qualiti ikhlasnya. Rancang untuk buat kerja kebajikan, jangan tunggu program gotong-royong, program community servis csr jabatan baru nak tunjuk pulun, itu juga petanda kepuraan, biarlah orang politik saja bergelumang dengannya. Jangan juga tunggu untuk memberi makan fakir miskin, yatim dan orang ramai bila berkenduri anak nak kawin, saudara mara mati, jawabnya sekali dua sahaja lah membuat jamuan dalam hidup. Rancanglah untuk membiayai emak ayah ,adik-adik, dengan rezeki kita yang dikongsi, jangan tunggu hingga diminta, dirayu, ditanya.
Dan rancanglah berbagai urusan ibadat lagi, jangan tunggu bila terasa, kerana tidak akan terasa, jangan tunggu bila berada, tidak akan terasa berada, jangan tunggu bila berlaku sesuatu, jelas sangat tidak ikhlasnya kita. Jangan juga membina alasan, kerana alasan untuk tidak berbuat baik itu dari syaitan,tetapi rancang untuk berbuat baik itu dari Allah, moga dipermudah dan dibuka jalan. Yang utama rancang dulu, plan to work, jika kita merancang untuk tidak buat, tentulah kita tidak buat, tetapi jika kita rancang untuk buat, kita akan berusaha untuk buat, moga Allah permudahkan. Plan to work.
Saya nak mengajak anda memikir hal ini, rancang untuk berbuat ibadat dan kebaikan. Berhentilah dari memberi alasan, plan not to work. Jom kita mula dengan bangun malam, malam ini. Jangan berharap jika terjaga sahaja, rancang tidur awal, kunci jam, kurangkan makan malam, niat masa nak tidur. Jika terjaga solatlah sekurang 2 rakaat dan baca quran. Jika Angelica Hale seorang kanak-kanak menyanyi difinal Amecan Got Talent 2017 dengan lagu Symphony, mendapati begitu ramai menyalakan handphone tanda sokongan, marilah kita nyalakan satu lampu dirumah kita malam ini disepertiga akhir malam, untuk menyatakan kita juga merancang untuk kehidupan yang lebih baik diakhirat. Wallabua’lam abdghaniharon.