Ada Peluang ke Aurora Untuk Muncul di Langit Malaysia? Ini Fakta Tentang Ribut Suria Yang Anda Perlu Tahu


Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan jangkaan kejadian ribut suria yang akan melanda bumi. Perkara ini telah disahkan oleh Pentadbiran Aeronautik & Angkasa Kebangsaan (NASA) serta Pentadbiran Lautan & Atmosfera Kebangsaan (NOAA).

Perkara ini juga sudah menjadi topik yang agak hangat di media sosial kerana katanya Aurora akan dapat dilihat dari negara latitud tengah (Khatulistiwa).

Sebuah ciapan mengenai kejadian Aurora juga tular di Twitter semalam. Di samping mendakwa tentang kemunculan Aurora di langit Malaysia, ciapan tersebut turut mengajak orang ramai untuk  bersama-sama nantikan kemunculan Aurora malam tadi.

ribut suria dikatakan bakal menyaksikan kejadian aurora di malaysia

Betul ke Ada Aurora di Malaysia ?

Khabar angin tentang kejadian Aurora yang bakal berlaku di Khatulistiwa menjadi semakin kuat apabila dipersetujui oleh seorang ahli fizik cuaca angkasa lepas, Dr Tamitha Skov di Twitter tiga hari lepas.

“Kesan mungkin akan kuat ! Jangkaan Aurora jauh ke latitud pertengahan (Khatulistiwa), radio amatur serta isu penerimaan GPS terutamanya menjelang subuh, senja dan ketika tengah malam” ciapnya.

Ramalan ini telah memberi harapan kepada warganet di Malaysia untuk peluang menyaksikan Aurora sendiri tanpa perlu pergi ke kawasan berlatitud tinggi.

Malangnya, keajaiban tidak terjadi semalam. Kawasan Khatulistiwa seperti Malaysia tidak dapat menyaksikan fenomena Aurora kerana ribut suria yang berlaku hanyalah ribut yang berkekuatan sederhana (berskala G2 / Kp = 6).

Dakwaan tentang kejadian Aurora di Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor yang melihatkan cahaya hijau pada waktu malam juga adalah palsu. Bila diselidik, rupa-rupanya cahaya  hijau yang terang itu datang dari bot menangkap udang dan sotong !

Namun, Aurora masih dapat dilihat di banyak negara yang terletak di kawasan latitud tinggi berikutan ribut suria semalam seperti England dan Ireland Utara.

Kredit : Twitter @GabrielHofs3D

Bagaimana Ribut Suria Berlaku ?

Ribut suria yang juga dikenali sebagai ribut matahari adalah fenomena yang berlaku disebabkan oleh aktiviti matahari. Aktivinya boleh mengganggu medan magnet bumi walaupun kedudukannya sangat jauh dari planet kita.

Fenomena alam ini berlaku akibat suar suria dan pelepasan jisim korona. Medan magnet matahari menyimpan jumlah tenaga yang sangat besar dan keluar dari sistem suria.

fenomena ribut suria

Letusan tenaga ini menghasilkan angin suria dan pecahan zarah yang bergerak ke arah planet kita. Atmosfera bumi melindungi kita dari kesan buruk sinaran matahari dengan menyerap sinaran X sebelum sampai ke permukaan.

Plasma elektrik dari lentingan jisim korona dipesongkan oleh medan magnet bumi mengalihkan ribut tenaga ke kutub utara dan kutub selatan.

Zarah bertenaga yang jatuh ke atmosfera akan menyebabkan ruang atmosfera bercahaya dan menghasilkan Aurora yang indah.

Ribut Suria Pernah Melanda Khatulistiwa !

Agak mustahil untuk Aurora terjadi di langit Malaysia kerana kedudukan negara yang berhampiran Khatulistiwa. Di samping itu, kesan ribut suria juga lebih tertumpu pada negara yang berlatitud tinggi. Namun, ribut suria paling kuat dilaporkan pernah menjangkau langit Khatulistiwa !

Berlaku pada September 1859, ribut suria paling dahsyat yang dikenali sebagai Peristiwa Carrington ini telah menyebabkan kemunculan Aurora di kawasan latitud rendah latitud rendah seperti di selatan dan tengah Mexico, Queensland, Cuba, Hawaii, selatan Jepun dan China. Terdapat juga laporan Aurora kelihatan berhampiran Khatulistiwa iaitu di Columbia.

Catatan Ribut Suria Dahsyat

Selain Peristiwa Carrington, ribut matahari yang melanda pada tahun 1882 dan 1921 disifatkan sebagai antara yang terburuk pernah berlaku. Ketika itu, ia telah menyebabkan perkhidmatan telegraf tergendala dan banyak perkakas elektrik terbakar.

Pada tahun 1972, satu lagi kejadian ribut suria telah berlaku. Ia dilaporkan telah mengakibatkan gangguan elektrik, rangkaian komunikasi dan satelit di seluruh Amerika Utara. Beberapa peranti juga dikhabarkan telah meletup berikutan ribut suria yang dahsyat.

Pada tahun 1989, ribut mathari telah mengakibatkan 6 juta penduduk tiada bekalan kuasa selama 9 jam. Ketika itu, fenomena Aurora juga dikatakan muncul menghampiri kawasan Khatulistiwa.

Kekuatan ribut suria yang melanda Bumi bukanlah jangkaan yang mudah dilakukan. Ia merupakan ramalan yang kompleks dan mencabar walaupun untuk ahli aeroangkasa berpengalaman seperti Dr Tamtiha Skov di Twitter.

Beliau yang masih giat berkongsi perkembangan mengenai kejadian Aurora di Bumi juga akui ribut ini sering berubah dan sangat sukar untuk diramal. Kejadian ribut suria adalah fenomena alam yang kompleks dan sukar dijangka. Tahap kekuatannya juga tidak menentu.

Mujurlah ribut matahari kali ini sederhana sahaja dan tidak menyebabkan kesan buruk pada Bumi. Hanya sedikit gangguan berlaku pada grid kuasa, satelit, kapal angkasa dan komunikasi frekuensi tinggi di kawasan latitud tinggi dan pertengahan.

Jika ribut suria seperti Peristiwa Carrington melanda bumi lagi, ia pasti akan melumpuhkan kehidupan masyarakat dunia yang sangat bergantung kepada penggunaan elektrik dan jaringan internet. Semoga Bumi terlindung daripada ancaman ribut suria yang dahsyat.

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat