Dah Plan Nak Buat Apa Dengan Duit RM10k KWSP ? Ini Cadangan Yang Anda Boleh Ikuti Untuk Manfaatkan Wang Tersebut Sebaiknya
Pengumuman tentang kelulusan untuk keluarkan lagi RM10k KWSP buatkan ramai orang tersenyum dan bersyukur. Ada yang menghela nafas lega apabila mendapat berita ini, ada juga yang tidak sabar untuk berbelanja sakan !
Apa rancangan anda bila dapat duit itu nanti ?
Sebelum perkara ini diulas dengan lebih lanjut, kita perlu faham sekarang terdapat dua kategori masyarakat yang wujud pada zaman yang menduga status kewangan ramai masa kini.
2 kategori tersebut adalah :
Golongan Memerlukan
Kumpulan ini diduga dengan pelbagai cabaran seperti banjir, hilang pekerjaan dan sebagainya. Agak sukar untuk mereka teruskan komitmen bulanan dan hidup seharian.
Golongan Tidak Terjejas
Kumpulan ini masih mampu untuk teruskan hidup. Biasanya golongan ini makan gaji setiap bulan, masih ada income tambahan dan tiada masalah untuk selesaikan komitmen bulanan.
Kebanyakan orang yang keluarkan RM10k KWSP ini adalah bagi kategori pertama. Bagi anda yang masih berkemampuan, rasanya bab pengeluaran duit KWSP bukanlah isu.
Keluar RM10k KWSP Sekarang Akan Buat Kita Miskin Akan Datang ?
Sesetengah ‘pakar’ di media sosial juga menganggap pengeluaran duit KWSP pada waktu ini akan merompak masa depan kita. Memang betul pun kalau disimpan sehingga 30 tahun duit di KWSP akan berkembang dengan lebih banyak.
Namun, tidak bagi yang sedang kesesakan wang ketika ini. Sedangkan mereka nak hidup hari ini pun susah, kenapa mereka nak fikir masa depan ?
Jadi, apa salahnya mereka gunakan RM10k KWSP untuk bertahan ketika ini. Jika diikutkan keadaan semasa ini, wang RM 10,000 itu pun bukannya boleh bertahan lama.
Bagi yang mempunyai komitmen sekitar RM 3,000 ke RM 4,000 sebulan, wang RM10k KWSP ini hanya akan bertahan selama 3 hingga 4 bulan.
Cuma bagi kategori kedua ni, nampaknya ada yang menggunakan peluang ini untuk berbelanja mewah, seperti beli phone terbaru dan shopping sakan untuk Hari Raya. Sekadar berpesan, kalau boleh manfaatkanlah duit itu sebaiknya.
Cadangan Untuk Manfaatkan RM10k KWSP Sebaiknya
Bagi yang dah keluarkan duit KWSP ini dan tak tahu nak maanfaatkannya dengan cara terbaik, ini ada beberapa cadangan yang anda boleh jadikan panduan :
Reserve Cash
Kalau anda jenis yang tidak menyimpan duit simpanan kecemasan selama 6 bulan, ini peluang anda untuk keluarkan dan simpan duit itu di tempat yang selamat. Lebih baik asingkan terus duit tersebut dalam akaun yang anda jarang anda gunakan.
Bayar Hutang !
Tidak salah untuk anda gunakan duit tersebut untuk bayar hutang yang sudah lama membelenggu anda seperti hutang PTPTN atau hutang kereta. Namun sesetengah orang berpendapat tidak banyak bezanya bayar hutang kereta lumpsum dengan bayar bulanan kerana nilai bunganya yang rendah. Semuanya terpulang kepada anda.
Masuk Ke Akaun ASB
Cara ini juga ramai yang cadangkan. Katanya jika disimpan di ASB, maka akan lebih senang untuk anda keluarkan duit bila perlu. Berbanding dengan menyimpan di KWSP, sampai pencen nanti barulah anda boleh keluarkan.
Ada juga yang kata daripada simpan di ASB, lebih baik dibiarkan dalam KWSP kerana nilai dividennya lebih tinggi dan menguntungkan.
Sekali lagi, terpulanglah kepada anda. Yang penting jangan sampai anda kekurangan duit pula menjelang hari tua nanti.
Melabur
Selain ASB, terdapat banyak platform untuk anda labur bagi kembangkan lagi nilai wang anda seperti kriptowang, hartanah, emas dan unit amanah. Semua kaedah ada kelebihan dan kekurangannya sendiri.
Namun, ia juga boleh mendatangkan berisiko jika dilakukan tanpa bimbingan dan kajian terlebih dahulu. Kalau tak ada ilmu, seeloknya jangan tergesa-gesa untuk melabur. Takut anda pula yang rugi nanti.
Upgrade Skill
Duit RM 10,000 itu juga boleh jadi batu loncatan untuk anda improve kemahiran diri. Pelajari kemahiran yang boleh menjana duit sampingan seperti wiring, komunikasi, menjahit dan sebagainya. Kemahiran sebegini biasanya memerlukan sedikit modal sebelum anda benar-benar mahir dan boleh jana duit daripadanya.
Jika anda boleh cari kemahiran yang anda sukai dan selesa, ia juga akan menjadi kelebihan buat anda. Di samping itu, ia boleh juga jadikan side income pada waktu yang tidak menentu ini.
Sertai Kursus Online
Selain kursus kemahiran, anda juga boleh sertai pelbagai kursus online yang sudah lama anda idamkan. Antara kursus online yang popular pada masa kini adalah kursus bahasa asing, kursus pemasaran, kursus perniagaan, kursus penguasaan Excel dan Office serta penghasilan konten.
Semua kursus ini akan melayakkan anda mendapat sijil. Carilah kursus yang releven dengan kerjaya anda. Bila anda hadir kursus sebegini, anda bolehlah letaknya dalam resume sebagai salah satu pencapaian dan kemahiran peribadi.
Akhir kata, duit KWSP tersebut sememangnya hak anda. Ikut suka hatilah nak gunakannya untuk apa, tiada siapa akan halang meskipun anda ingin gunakannya untuk bercuti atau berbelanja sewenang-wenangnya.
Namun, apa salahnya untuk gunakan duit itu untuk tambahkan lagi ilmu dan kemahiran untuk diri sendiri ? Kalau nak gunakan duit itu sebagai wang kecemasan atau membayar hutang pun boleh.
Untuk pengetahuan anda, wang KWSP sebanyak RM 10,000 adalah bersamaan caruman anda selama 2 tahun bekerja. Takkanlah anda nak habiskan dalam masa 3 ke 4 hari ?
Dalam pengumuman Perdana Menteri mengenai kelulusan pengeluaran KWSP tempoh hari, beliau juga sempat berpesan kepada rakyat agar tidak keluarkannya kecuali dalam keadaan yang betul-betul mendesak.
Beliau juga berharap pencarum KWSP dapat membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat pengeluaran.
Lebih-lebih lagi bagi golongan muda, jangan pula mata anda dikaburi dengan wang 5 angka ini sampai anda muflis sebelum tua ! Seeloknya rancanglah kewangan anda demi kebaikan sendiri.