8 Kesilapan Kewangan Golongan Muda Yang Perlu Dielakkan
Banyak kesilapan kewangan golongan muda boleh lakukan akibat pengurusan kewangan yang tidak baik. Berdasarkan laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia pada Disember 2019, dianggarkan sejumlah 60 % daripada keseluruhan individu yang muflis di Malaysia adalah daripada golongan muda berusia antara 25 ke 44 tahun.
Dapatan daripada kajian tersebut juga menyatakan bahawa punca utama muflis adalah akibat tabiat golongan muda yang gemar berbelanja melebihi pendapatan.
Kenyataan ini cukup untuk menggambarkan situasi kewangan generasi muda di negara kita. Ditambah pula dengan berlakunya penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan ekonomi negara sejak 2 tahun lepas, ia pasti memberi kesan kepada kewangan masyarakat di Malaysia.
Oleh itu, generasi muda perlulah sedar dan rancang semula kewangan agar tidak terjerumus ke arah status muflis. Elakkan daripada melakukan kesilapan kewangan yang boleh merugikan dan memberi risiko kepada anda.
Senarai Kesilapan Kewangan Golongan Muda Yang Perlu Dielakkan
1. Belanjawan Yang Tidak Diurus Dengan Betul
Perkara ini boleh dikatakan sebagai dilema terbesar generasi muda. Bila sudah terima gaji, anda pasti cenderung untuk reward diri untuk membeli pakaian branded atau gadget terkini.
Tidak salah untuk reward diri sekali sekali, tetapi pastikan anda pandai membezakan keperluan dan kehendak untuk elakkan berbelanja perkara yang tidak penting.
Perbelanjaan perlulah diurus dengan baik agar tidak memberi masalah serius kepada kewangan anda pada hari mendatang.
2. Tidak Timba Ilmu Kewangan Pada Usia Muda
Menurut laporan Program Pengurusan Kredit (PPK), kurangnya ilmu dan perancangan kewangan yang lemah menjadi faktor utama berlakunya muflis di kalangan generasi muda.
Memang mudah untuk golongan muda lakukan kesilapan dalam pengurusan wang kerana kurangnya pendedahan mengenai kewangan. Ia tidak diajar di sekolah atau universiti. Hanya yang benar-benar berminat dan mempunyai kesedaran yang akan mencari ilmunya sendiri.
Bagi menjamin kewangan yang lebih stabil semakin usia anda meningkat, luangkan masa untuk baca buku pengurusan kewangan seperti Rich Dad Poor Dad & Cashflow Quadrant oleh Robert Kiyosaki. Anda juga boleh dapatkan khidmat nasihat daripada pegawai bank untuk anda mula urus kewangan seawal yang mungkin.
3. Beban Hutang Yang Bertimbun
Sesetengah orang pasti tidak terlepas daripada hutang pendidikan tetapi tidak mengapa. Namun, dengan beban hutang yang sedia ada, hati-hati agar anda tidak menambah hutang baru yang boleh menekan kewangan anda seperti hutang kereta atau hutang rumah.
4. Gagal Simpan Duit Kecemasan
Waktu kecemasan boleh berlaku bila-bila masa tanpa diduga. Jika kita ambil contoh wabak Covid-19 yang sedang melanda negara, boleh dikatakan tiada apa yang dapat kita pastikan ketika ini. Ramai yang hilang pendapatan, perniagaan lingkup, kesihatan merosot.
Yang menyedihkan lagi, keadaan ini mungkin akan berlarutan lebih lama lagi. Mahu atau tidak, anda perlu paksa diri untuk simpan duit untuk digunakan ketika kecemasan.
Bermulalah dengan simpanan kecil-kecilan jika tidak mampu. Lagi bagus dan terjamin jika anda boleh rancang duit simpanan kecemasan sebanyak minimum satu tahun gaji.
5. Ambil Kad Kredit Pada Usia Muda
Antara kesilapan kewangan golongan muda sering lakukan ialah melalui penggunan kad kredit. Ia adalah satu financial instrument yang sangat baik jika kita pandai kawal penggunaannya. Namun jika gagal, ia boleh memakan diri sendiri.
Pengguna taksub kad kredit pasti akan cenderung untuk berbelanja dengan mewah, lebih-lebih lagi bila tahu limitnya tinggi. Padahal, semua perbelanjaan adalah hutang dan perlu dibayar semula.
Jika anda tidak mampu mengawal nafsu dan tiada ilmu, lebih baik jangan apply kad kredit kerana ia lebih memberikan keburukan berbanding kebaikan.
6. Melabur di Tempat Yang Salah
Melabur adalah kaedah yang bagus untuk merancang kewangan masa depan, tetapi anda perlulah gali ilmu pelaburan terlebih dahulu.
Jika anda melabur tanpa ilmu dan mudah termakan ajakan kawan atau insentif pelaburan yang tidak telus, dikhuatiri duit anda pula melebur tanpa sebarang pulangan.
Sebagai cadangan, anda boleh pilih pelaburan yang sistematik seperti pembiayaan ASB melalui potongan gaji bulanan.
Pelaburan ASB adalah kaedah pelaburan yang baik, rendah risikonya dan dapat memberikan pulangan setiap tahun.
7. Beli Kereta Mewah Yang Mahal
Pembelian kereta mewah yang mahal merupakan satu lagi kesilapan kewangan golongan muda sering lakukan.
Sebelum beli kereta mewah, tanya semula diri anda sama ada anda mampu untuk bayar komitmen bulanan kereta itu ? Itu tak termasuk lagi dengan insurans dan road tax tahunan serta maintenance yang timggi.
Tidak salah untuk anda beli kereta 2nd hand atau kereta jenama tempatan sahaja untuk elak komitmen yang mahal. Asalkan kereta itu dapat membawa anda ke tempat kerja dan sebagainya, ia sudah cukup baik.
8. Tidak Mengambil Polisi Takaful
Golongan muda biasanya akan skip pengambilan polisi takaful. Alasannya adalah kerana kononnya diri masih muda dan jarang ditimpa penyakit.
Namun, bila sudah ditimpa sakit, duit simpanan juga yang terpaksa dikorek untuk biaya kos perubatan yang tinggi.
Jika anda mempunyai polisi takaful, sudah tentu wang simpanan anda tidak terjejas. Bila hendak memilih pelan takaful, pastikan ia bertepatan dengan kadar kewangan serta keperluan diri.
Kesilapan kewangan golongan muda dapat dielakkan dengan pengurusan kewangan yang baik dan perbelanjaan yang lebih bertanggungjawab. Sebagai dewasa, anda juga perlu fikirkan tentang kewangan untuk digunakan pada masa depan atau pada waktu terdesak.
Pengalaman pahit yang anda pernah lalui boleh menjadi pemangkin untuk anda menjadi orang yang lebih bertanggungjawab pada kewangan anda sendiri. Sebelum anda berbelanja atau ingin komit pada hutang, ukurlah baju di badan sendiri.
Dengan usia muda anda serta keadaan negara dalam waktu pandemik ini, adalah waktu yang baik untuk anda refleksi diri dan rancang semula kewangan. Semoga dengan usaha anda untuk menyimpan duit dan berbelanja dengan lebih hemat dapat membantu anda menempuh hari-hari yang mendatang dengan lebih lancar.