Pendedahan Membaca Harus Disemai Dalam Diri Sejak Kecil Lagi
Arwah ayah merupakan seorang pengumpul buku. Banyak kitab yang dimilikinya. Di rumah, rak buku penuh dengan kitab-kitab miliknya. Dia bukan kaya. Pekerjaan hanya sekadar seorang pemungut jentik-jentik. Sekolah pun tidak tinggi.
Berhenti awal. Maklumlah miskin. Tetapi dia selalu sebut. “Berhenti sekolah tidak bermaksud berhenti belajar. Tidak bermaksud pendidikan terhenti.”
Dulu memang tidak faham apa yang dimaksudkan oleh ayah. Sekarang baru faham apa yang dimaksudkan oleh ayah. Dia tidak bersekolah tetapi dia tidak pernah berhenti untuk membaca.
Tempiasnya terkena pada aku. Masa sekolah rendah, aku himpun duit beli mingguan kanak-kanak atau majalah Kuntum. Caranya ialah dengan tangkap katak pisang dan jual kepada penternak ikan kelisa.
Itu sahaja cara yang aku tahu ketika itu untuk dapatkan duit semata-mata untuk membeli buku kegemaran. Tangkap katak hanya dalam longkang. Di situ lubuknya.
Ada masanya aktiviti tangkap katak masuk hingga ke dalam longkang lapangan terbang Bayan Lepas. Kira menceroboh masuk ke dalam kawasan larangan. Dengan badan yang cinonit, mudah sahaja merangkah lepasi bilah-bilah besi pagar penghalang.
Ada ketikanya dikejar oleh pihak penguasa. Lari lintang pukang. Balik rumah buat cool. Seolah tiada apa yang berlaku. Kalau dicerita pada ibu atau ayah pasti melekat hanger baju di belakang badan.
Berbalik tentang membaca. Agaknya tabiat ini turun dari ayahku mungkin. Tabiat membaca ini aku bawa sampai masuk Universiti.
Aku suka kumpul buku. Dalam bilik hostel ada mini librari aku sendiri. Dibuat dari kotak kayu limau mandarin. Aku kutip dari pasar malam seksyen 17 PJ. Ini cerita tahun 90an.
Berbalik pada zaman sekarang tentang pendedahan membaca.
Membaca ini sangat luar biasa hasilnya. Ada kajian dari University of Nevada. Mereka lakukan kajian ke atas 27 buah negara termasuk China.
Kajian dapati kanak-kanak di China yang mempunyai 500 buah buku di rumah, 6 tahun lebih terkehadapan dalam pendidikan. Prof Mariah Evans yang ketuai kajian itu bependapat 3 tahun ke hadapan sudah beri impak yang besar.
Mungkin ada yang berpendapat 500 buah buku terlalu banyak untuk dibaca. Prof Evans menyebut 20 buah buku sudah memadai untuk beri kesan baik kepada individu tersebut.
Moral cerita ini mudah. Ibu bapa yang berpendidikan bukan jaminan anak akan cerdik bijaksana. Ibu bapa kaya juga bukan jaminan. Apa yang utama ialah pendedahan kepada pentingnya memupuk minat membaca dalam jiwa anak-anak.
Buku tidak semestinya dimiliki. Buku boleh dipinjam dari perpustakaan. Ada yang dapat di muat turun dalam bentuk e-book secara percuma.
Kunci utamanya ialah baca “Iqra”. Bukankah itu ayat pertama dari Jibril yang gegarkan alam maya ini?
Bagaimana Nak Tanamkan Sikap Suka Membaca Dalam Diri Anak-Anak?
1. Berkomunikasi dengan jelas.
Latihlah diri untuk berkomunikasi dengan jelas dengan anak-anak kita. Sebutkan sesuatu perkataan itu dengan jelas supaya apabila mereka didedahkan kepada bahan bacaan, ini dapat memudahkan mereka untuk menyebut sesuatu perkataan itu dengan jelas dan akan selalu disebut oleh mereka.
2. Bercerita.
Tunjukkan mereka buku yang mempunyai gambar-gambar yang menarik dan bacakan mereka cerita tersebut. Anda boleh praktikkan bergilir-gilir bercerita dengan anak anda untuk memupuk minat membaca dalam diri mereka.
3. Elakkan dari memaksa anak untuk membaca.
Memang tidak dinafikan setiap ibu bapa ingin anak mereka cepat membaca. Namun tahap IQ anak kecil tidak setaraf dengan kita. Mereka perlu diberikan ruang memahami dan belajar dalam suasana yang selesa dan menggembirakan mereka untuk mempercepatkan proses pembelajaran mereka.
4. Jadi contoh yang baik.
Jadikan membaca salah satu aktiviti wajib dalam keluarga. Anak-anak kecil akan mengikut apa yang dilihat oleh mereka. Jangan paksa anak-anak untuk memilih buku untuk dibaca, tapi sediakan mereka buku-buku yang berfaedah dan biarkan mereka memilih sendiri buku-buku tersebut untuk dibaca.
Suntikan moral harus diberikan secara berterusan kepada anak-anak untuk menjadikan membaca itu satu tabiat dalam diri mereka. Pendedahan membaca dari peringkat awal anak-anak sangat memainkan peranan bak kata orang-orang lama, melentur buluh biarlah dari rebungnya.