Permainan Tradisional Yang Dilupakan
Permainan Tradisional Yang Dilupakan
Pada masa kini Permainan tradisional seperti wau, gasing, congkak dan sebagainya yang popular suatu ketika dahulu kini semakin dipinggirkan dalam arus perdana. Perkembangan teknologi yang pesat membuatkan masyarakat masa kini lupa akan kebudayaan khususnya tentang permainan tradisional. Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam khalayak ramai khususnya generasi masa kini. Masyarakat dahulu menjadikan permainan tradisional sebagai cara untuk memupuk semangat ukhwah antara penduduk di samping mengisi masa lapang dengan kerja yang lebih berfaedah. Tidak terlambat untuk kita mempelajari dan mengembalikan semula permainan tradisional yang semakin dilupakan.
Polis Sentri
Permainan ini merupakan satu permainan di antara polis dan pencuri, di mana mereka akan mengundi untuk dibahagikan kepada dua kumpulan. Untuk memulakan pengundian, lagu akan dinyanyikan, seperti ini “Polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga”. Jadi pihak polis bertanggungjawab untuk menangkap kesemua pencuri dan memasukkannya ke dalam sel. Jika dia berjaya berbuat demikian, dia dikira menang. Tetapi, pencuri yang dipenjarakan boleh dikeluarkan oleh pencuri lain yang belum ditangkap dengan mencuit tangan mereka.
Congkak
Congkak adalah permainan yang dimainkan oleh dua pemain pada blok berbentuk bot kayu dengan dua baris yang mempunyai tujuh lubang bulat dan dua lubang besar di kedua-dua hujung yang dikenali sebagai “rumah”. Kebanyakannya ia dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Terdapat tujuh buah batu-batu kecil / guli dalam setiap lubang dan matlamatnya adalah untuk mengisi batu-batu kecil / guli dengan jumlah yang banyak ke dalam rumah anda.
Galah Panjang
Permainan galah panjang adalah sejenis permainan yang melintasi garisan-garisan berhalang. Tujuan permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain berlari melepasi halangan. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan dan bilangannya seramai sepuluh orang. Ianya juga dimainkan di kawasan tanah rata dan lapang dan permainan ini tidak memerlukan sebarang alatan.
Guli
Permainan guli ialah sejenis permainan menuju atau melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga dua belas tahun. Permainan ini dimainkan tidak lebih dari lima orang.
Wau
Permainan Wau merupakan permainan tradisi selepas musim menuai. “Wau” dimainkan untuk melegakan keletihan selepas bekerja di ladang. Kebanyakan wau dimainkan oleh golongan dewasa kerana bentuknya yang agak besar dan berat. Golongan kanak-kanak pula bermain layang-layang yang berbentuk petak dan agak kecil berbanding wau agar ia lebih mudah untuk dimain. Terdapat pelbagai jenis wau dan antaranya yang popular adalah Wau Bulan.
Gasing
Gasing adalah satu permianan tradisional yang bertujuan menguji kepintaran pemain memusingkan gasing supaya gasing dapat berpusing dalam jangka masa yang panjang. Permainan ini dimainkan oleh lelaki dewasa dan kanak-kanak yang berumur Sembilan tahun ke atas. Jumlah pemain bagi permianan ini adalah 2 orang atau lebih dan dimainkan di kawasan yang lapang dan rata. Alat yang diperlukan untuk permainan ini ialah gasing timah, tali gasing, lopak, bong, bulu ayam, getah kecupu, bilah, dan sedikit minyak pelincin.
Batu Serembam
Permainan ini adalah satu permainan yang mana batu-batu kecil dilambung dan kemudiannya disambut kembali. Permainan ini melibatkan sekurang-kurangnya 2 orang pemain dan biasanya dimainkan oleh golongan perampuan. Alat yang digunakan dalam permainan ini ialah 5 biji batu dan biasanya ia dimainkan di dalam rumah.
Baling Selipar
Permainan baling selipar, permainan ini terdiri kepada 2 kumpulan. Satu kumplan mestilah menjatuhkan selipar yang disasarkan dan satu kumpulan lagi mestilah mematikan pihak lawan dengan menggunakan selipar juga. Caranya, baling selipar kepada semua anggota lawan sebelum mereka berjaya dirikan semula selipar yang dijatuhkan tadi.
Teng Teng
Teng-teng (ting ting, ketinting) sering dimainkan oleh kanak-kanak perempuan berbanding lelaki. Permainan ini menggunakan tenaga tambahan berbanding permainan lain. Teng-teng dimainkan mengikut kumpulan di mana terdapat 2 atau 4 orang di dalam gelanggang. Ia boleh dimainkan di gelanggang badminton atau permukaan berpasir. Pemain akan membaling cip di dalam petak dan melompat ke dalam petak tersebut dengan hanya menggunakan satu kaki. Jika pemain membaling cip di luar petak, maka permainan akan diambil alih oleh pemain seterusnya.