Leftenan Adnan : Wira Negara Yang Tiada Gantinya


Jasa Leftenan Adnan dalam menghalang kemaraan tentera jepun dalam Pertempuran Pasir Panjang masih dikenang hingga ke hari ini.

Pada era Perang Dunia Kedua (WWII) pasukan ketenteraan Jepun cukup digeruni oleh mana-mana tentera termasuklah kuasa besar. Pertempuran yang berlaku di Bukit Candu, Singapura ini menjadi saksi kepada kepahlawanan sejati sekumpulan askar Melayu di bawah pimpinan Leftenan Adnan.

Budaya menyambut Hari Kekasih pada 14 Februari setiap tahun bukanlah amalan kita. Lebih baik kita peringati tarikh tersebut untuk mengenang jasa wira negara ini pada setiap tahun.

leftenan adnan masih diingati sampai sekarang

Kredit Foto : Berita Harian

Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Leftenan Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Beliau merupakan anak sulung dari tiga adik beradik.

Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi turut mengikut jejak langkahnya sebagai anggota tentera.

Ahmad bin Saidi terbunuh ketika kapal perang HMS Pelanduk karam akibat serangan pihak Jepun dalam pelayaran ke Australia.

Adiknya yang bongsu, Amarullah bin Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang bersara dan menetap di Kajang, Selangor.

Adnan menerima pendidikan di Pekan Sungai Ramal dalam aliran Inggeris. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar selama lebih satu tahun.

Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Setahun kemudian, berliau terpilih sebagai rekrut terbaik. Atas perkhidmatannya yang cemerlang, beliau diberi penghormatan sebagai pegawai Melayu pertama apabila dinakkan pangkat sebagai sarjan pada tahun 1936.

leftenan adnan sertai tentera pada usia 18 tahun

Pada tahun 1937, Adnan terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI.

Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai dan menjadi pegawai bertauliah Melayu pertama dalam sejarah.

Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni ‘C’ .

Leftenan Adnan Berkahwin

Sekembalinya Leftenan Adnan Saidi London, beliau mendirikan rumah tangga dengan seorang guru dikampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak: dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin (yang tinggal di Seremban dan Johor), dan seorang anak perempuan. Namun, anak perempuannya meninggal dunia sejurus selepas kejatuhan Singapura.

Pada akhir 1941, Leftenan Adnan ditempatkan di Singapura dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.

Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan pihak Jepun dikhabarkan sedang mara dari utara dan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu, Leftenan Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang.

Anaknya Mohktar pernah berkongsi kali terakhir dia berjumpa dengan ayahnya. “Saya baru berusia 4 tahun. Saya tak sedar itulah kali terakhir saya akan bertemu dengan ayah saya.

Saya dan adik saya bersalaman dengan ayah sebelum dia meninggalkan kami. Dia hanya berpesan sedikit saja iaitu jaga diri dan jangan nakal. Memang jelas ibu kelihatan sedih ketika itu. Tetapi dia tidak mengatakan apa-apa”.

Jepun Mula Menyerang Singapura

Ketika itu, Jepun sangat ingin menyerang Singapura disebabkan kedudukannya sebagai pusat koloni British yang kuat.

Buruk padahnya jika Singapura jatuh ke tangan Jepun. Justeru itu, pihak Britain memilih Arthur Percival sebagai pemerintah tentera mereka di Malaya.

Apabila tentera Jepun semakin menghampiri Singapura pada tahun 1942, semua aset yang dimiliki pihak Britain diserahkan untuk mempertahankan Singapura.

Ini termasuklah Briged Infantri Pertama Malaya diketuai Leftenan Kolonel Mordaunt Ellington di mana salah satu platun diketuai oleh Leftenan Adnan. Pasukan Leftenan Adnan diberi peranan mempertahankan Bukit Candu dari jatuh ke tangan Jepun.

Bukit Candu perlu dilindungi sebaiknya kerana memegang beberapa kepentingan bagi Britain. Pertama, ia menawarkan tempat yang tinggi menghadap pulau dari sebelah utara Singapura.

Kedua, ia merupakan merupakan lokasi infrastruktur penting bagi ketenteraan Britain dan sarat dengan pelbagai kemudahan seperti depot senjata dan hospital perang.

Pertempuran Bukit Candu Saksi Kepahlawanan Leftenan Adnan

Pertempuran mempertahankan Singapura di Pasir Panjang juga dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan bersempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut.

Pada 14 Februari, Jepun telah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas garisan pertahanan dikendalikan oleh Briged Pertama pada 8.30 pagi.

Walaupun terus diserang, mereka berjaya menahan serangan dan melibatkan pertarungan tanpa senjata yang mengakibatkan ramai tentera terkorban pada kedua-dua belah pihak.

Sehinggalah pada 4.00 petang, pihak Jepun berjaya mara dengan bantuan kereta kebal. Menyedari kedudukan mereka yang terjejas, Briged Pertama pun mundur.

Kompeni C yang dipimpin oleh Leftenan Adnan pula diarahkan untuk bergerak ke Bukit Candu. Namun, kompeni Leftenan Adnan dan Kompeni D terpisah akibat minyak terbakar dalam tali air.

Ini juga mengakibatkan kompeni Leftenan Adnan tidak dapat berundur ke selatan. Situasi genting ini tidak mematahkan semangat Leftenan Adnan serta anak-anak buahnya.

Kedua-dua kompeni RAMD ini terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir meskipun diserang dengan bom tangan dan mortar oleh tentera Jepun.

Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni C.  Leftenan Adnan dan orang-orangnya kemudiannya membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap).

Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).

Helah Tentera Jepun Berjaya Dikesan Leftenan Adnan

Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan sedang memantau kontinjen “tentera Sikh” daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara.

Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Leftenan Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British.

Menyedari helah tersebut, Leftenan Adnan dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa tentera Jepun berundur.

Menyedari taktik mereka yang tidak berkesan, tentera Jepun pun melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Leftenan Adnan dan tenteranya.

Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Regimen Melayu akhirnya tewas dan ramai yang gugur syahid. Walaupun Leftenan Adnan terkorban, namun beliau dan regimennya berjaya membunuh lebih daripada 800 askar.

Koperal Yaakob Saksi Detik-Detik Akhir Leftenan Adnan

Korban dalam pertempuran di Pasir Panjang melibatkan enam pegawai British, tujuh pegawai Melayu dan 146 orang askar dari pelbagai pangkat. Sebilangan besar anggota tentera turut dilaporkan cedera.

Ada juga yang terselamat dan berjaya melarikan diri. Salah seorangnya adalah anak buah Allahyarham Leftenan Adnan iaitu Allahyarham Koperal Yaakob Bidin.

Menurut cerita yang disampaikan cucunya, Akhwan Hafis Ahmad Hidzri, Allahyarham Koperal Yaakob diberi amanah untuk menyampaikan rekod Pertempuran Bukit Candu kepada kepimpinan tentera British.

Untuk mengelak ditawan, Allahyarham terpaksa berpura-pura mati. Selepas pihak musuh beredar, Allahyarham Koperal Yaakob bergegas melarikan diri dari Singapura dan kembali ke kampung halamannya berhampiran Temerloh.

Bagi mengelak dikesan tentera Jepun, Allahyarham terpaksa berjalan pada waktu malam dan bergantung kepada air sungai dan buah-buahan liar sepanjang perjalanan.

Perjalanan tersebut mengambil masa 7 hari 7 malam. Setibanya di Tebing Tinggi, Sanggang, Temerloh, Allahyarham Koperal Yaakob bergerak ke kem tentera British di Mentakab dan tunaikan amanah yang diberikan.

Allahyarham Koperal Yaakob turut menceritakan detik-detik akhir wira negara itu. Menurut Akhwan Hafiz, Allahyarham Leftenan Adnan dibelasah teruk apabila ditemui oleh tentera Jepun. Beliau kemudian diseret dan kepalanya diserkup dengan guni.

Kemudian, pihak Jepun menggantung beliau pada sebatang pokok ceri dan ditikam bertubi-tubi dengan bayonet. Setiap kali Allahyarham ditikam, beliau menjerit takbir Allahuakbar sehinggalah menghembuskan nafas terakhirnya. Leher beliau juga dikatakan turut dikelar oleh tentera Jepun.

Sementara versi British pula menyatakan mayat Allahyarham digantung secara terbalik pada sebatang pokok selepas menyerah kalah. Bagaimanapun, cara Allahyarham dibunuh tidak dinyatakan secara jelas mengikut versi mereka.

Mengenang Kepahlawanan Leftenan Adnan

Keberanian Leftenan Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah.

Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Leftenan General Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

“Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang.

Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)…”.

Jasa negara ini akan sentiasa dikenang oleh rakyat Malaysia dan Singapura. Bagi menghayati perjuangan kemerdekaan dan memperingati kisah hidup Leftenan Adnan, sebuah filem berunsur patriotik bertajuk Leftenan Adnan turut dihasilkan sempena wira negara ini.

Perjuangan Leftenan Adnan serta askar Melayu lain dalam menumpaskan kemaraan Jepun dalam Pertempuran Pasir Panjang pasti akan dingati sampai bila-bila.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat