Wahed Invest Didakwa Tak Patuh Syariah, Dikenakan Penalti RM 1.25 juta


Baru-baru ini Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) mendakwa bahawa syarikat Wahed yang berpangkalan di New York telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan pelanggan dan gagal untuk patuhi garis panduan yang ditetapkan SEC.

Bagi yang belum tahu, Wahed merupakan sebuah perkhidmatan pelaburan dalam talian yang dipercayai. Lebih 20,000 pelanggan di sekitar Amerika Syarikat, United Kingdom dan Malaysia telah gunakan perkhidmatan Wahed kerana ia turut menawarkan pelaburan berlandaskan syariat Islam buat pelabur yang ingin jalankan pelaburan dari sumber yang diyakini.

wahed invest didakwa tak patuh syariah

Kedit Foto : halalfocus.net

Wahed Invest Didakwa Melanggar Banyak Undang-Undang Berkaitan Pelaburan Patuh Syariah

Namun, Wahed kini mencetuskan kontroversi di kalangan pengguna. Menurut SEC, apabila Wahed Invest telah mengiklankan kewujudan dana proprietarinya sendiri sejak September 2018 hingga Julai 2019, namun ia sebenarnya tidak wujud sama sekali.

Mereka juga telah berjanji kepada pelabur untuk imbangi semula (rebalancing) akaun para pelabur secara berkala namun mereka juga tidak lakukan sedemikian.

SEC turut melaporkan bahawa Wahed Invest telah melancarkan dana dagangan bursa (EFT) propietari pada tahun 2019. Mereka telah gunakan aset penasihat pelanggannya untuk membuat dagangan EFT tanpa pendedahan terlebih dahulu kepada pelanggan tentang sebarang risiko yang dihadapi.

Sebagai pembekal perkhidmatan nasihat berlandaskan syariah, Wahed Invest turut menekankan kepentingan proses pembersihan pendapatannya di laman web mereka.

Namun, perkara ini dibidas oleh laporan pihak SEC. Dalam tempoh tersebut, SEC menyatakan bahawa Wahed turut melabur ekuiti yang tidak diiktiraf patuh syariah seperti yang dijamin oleh mereka sebelum ini.

Sebagai penasihat pelaburan, Wahed Invest perlu memastikan bahan pemasaran mereka tidak mengelirukan dan konflik yang berlaku perlu didedahkan kepada pelabur secara telus.

Penasihat pelaburan berdaftar seperti Wahed juga perlu praktikkan polisi dan prosedur bertulis yang telah dibuat untuk menjadi panduan penasihat sewaktu membuat pelaburan untuk pesertanya.

Dalam pada itu, Wahed Invest akui dakwaan yang dibuat oleh SEC tentang pelanggaran undang-undang berkaitan perkhidmatan nasihat pelaburan yang ditetapkan. Pihak Wahed Invest juga bersetuju untuk membayar penalti sebanyak $300,000 (anggaran RM 1.25 juta)

wahed invest

Adakah Isu Ini Berkait Dengan Wahed Malaysia ?

Isu ini turut hangat diperkatakan di kalangan pelabur Wahed Invest di Malaysia. Bagi menjelaskan keadaan, Wahed Malaysia iaitu Wahed Technologies telah mengeluarkan kenyataan rasmi.

Melalui kenyataan tersebut, mereka memaklumkan bahawa pihak mereka mempunyai penasihat syariah mereka tersendiri. Ini bagi memastikan proses pelaburan yang dilakukan pelanggan di Malaysia mematuhi prinsip Syariah.

Sekaligus, Wahed Malaysia turut menyatakan bahawa isu yang berlaku ini hanya melibatkan Penasihat Pelaburan Wahed di Amerika Syarikat dan tidak melibatkan syarikat-syarikat Wahed yang lain termasuk di Malaysia.

wahed invest di malaysia keluarkan kenyataan mengenai isu ini

Jadi, pengguna Malaysia yang menerima Wahed Invest secara rasmi tidak terkesan dan tiada kaitan dengan isu ini.

Walau bagaimana pun, perlu diingatkan bahawa kejadian ini telahpun berlaku pada fasa awal penubuhan Wahed Invest.

Berdasarkan kronologi, Wahed Invest telah diumumkan pada tahun 2017 . Pada bulan Julai 2019, barulah mereka tubuhkan dana untuk Wahed FTSE USA Shariah ETF (HLAL) yang menjejak pelbagai syarikat patuh syariah di Amerika Syarikat.

Kemudian barulah ia menembus pasaran Malaysia sekitar Oktober 2019 setelah dilancarkan secara rasmi.

Apa-apa pun, kita nantikan kenyataan rasmi terkini dari pihak Wahed Invest sendiri mengenai isu ini.

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat