KELUARGA BATU LONCATAN DALAM ARENA POLITIK: Mukhriz Perlu Tunjuk Prestasi, Khairy Gelojoh


Datuk Ibrahim Ali hari ini menegaskan apa jua tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad tiada kaitan dengan anak bekas perdana menteri itu, Datuk Mukhriz Mahathir, dan berkata menteri besar Kedah itu perlu menunjukkan prestasi kepimpinan sendiri.

20150123_perkasa_thestar

Presiden Perkasa itu berkata, Mukhriz hanya menjadikan Dr Mahathir batu loncatan dalam arena politik pada peringkat permulaan sahaja sebagaimana Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggunakan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sekarang dia kena tunjuk prestasi, bukan kerana bapa dia lagi dah. Kalau dia tunjuk prestasi, dia boleh naik. Apa pun Dr Mahathir buat, tak ada kena mengena dah. Dia sendiri perlu buktikan dia layak menjadi pemimpin.

“Naik turun Mukhriz atau sesiapa secara kebetulan saja. Mukhriz sekarang dah jadi menteri besar. Naik turun Mukhriz bukan kerana Dr Mahathir atau isu tetapi prestasi Mukhriz dari sekarang,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.

“Mula-mula saja macam Khairy beruntung jadi menantu Pak Lah. Ibrahim Ali juga beruntung kalau jadi menantu Pak Lah. Cuma saya anak orang kampung. Bapa saya bukan bekas pemimpin Umno, bukan orang besar, bangsawan,” katanya merujuk Abdullah yang juga merupakan perdana menteri kelima.

Ibrahim berkata Khairy tidak bermula dari bawah dan menggunakan Abdullah untuk mendapatkan tempat dalam arena politik tempatan.

Katanya, dengan menggunakan Abdullah, Khairy mendapatkan tempat menjadi ahli Parlimen, ketua pemuda Umno dan menteri belia dan sukan.

“Khairy kalau tidak jadi menantu Pak Lah, saya fikir tidak tahulah ketua pemuda bahagian, dia boleh menang ke tidak.

“Saya keluar dari bawah. Dia mari-mari lepas kahwin dengan anak Pak Lah, terus jadi naib ketua pemuda Umno kerana berpayung di bawah bapa mertua perdana menteri,” katanya.

Mengulas kelewatan Mukhriz menyatakan pendirian menyokong Najib, Ibrahim berkata pendekatan itu yang terbaik memperlihatkan tokoh seorang negarawan yang diwarisi bapanya.

Katanya, pendirian Mukhriz itu mampu mengelak hubungan di antara Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertambah keruh.

“Yang sibuk orang luar, yang ada kepentingan mungkin hendak menyusahkan Mukhriz. Sikap Mukhrizlah bagus dia boleh pilih sokong bapa dia atau sokong Najib. Mukhriz walaupun muda sudah terbentuk sikap negarawan dalam dirinya.

“Dia cuba menjaga kedua-dua pihak. Dia hormati pandangan bapanya sebagai negarawan yang bercakap untuk negara dan rakyat serta tahu Najib lantik dia.

“Saya rasa antara Mukhriz dengan Khairy, Khairy lebih gelojoh dalam konteks ini. Kalau dia (Mukhriz) beri reaksi nyatakan pendirian A atau B, ia akan mengeruhkan lagi suasana,” katanya.

Ibrahim juga diminta mengulas sokongan Pemuda Umno yang menjulang Najib pada Isnin semasa mengadakan pertemuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Katanya, Najib sendiri tidak senang dengan julangan itu yang memaparkan seolah-olah presiden Umno itu juara dalam pertembungan di antara 2 pucuk pimpinan itu.

“Najib faham cuma penyokong ini kadang-kadang lebih sudu dari kuah maknanya hendak tunjuk kesetiaan pada Najib, mereka parahkan orang lain.

najib_razak-khairy-UMNO_youth_support-pwtc-130415-TMI-KAMAL_ARIFFIN

“Bila Najib dijulang Pemuda Umno sampai senget, dari muka Najib, saya tengok beliau pun tidak setuju. Dia tidak cakap sepatah pun. Saya fikir Najib pun tidak berdaya,” katanya. – 16 April, 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat